Selasa, 25 Ogos 2009

Politik Terengganu : Pandangan Hambali dipertikai


Oleh Saiful Malek Muda

MENGAMBIL masa tiga bulan untuk menunggu sesuatu pembetulan dibuat nampaknya menjadi penantian yang benar-benar membuang masa, malahan boleh menyebabkan orang sudah lupa apakah isunya yang dipertikaikan.

Tulisan penulis tersohor, Hambali Abdul Latif yang tersiar dalam blonya http://hambali1.blogspot.com bertarikh 20 Mei 2009 bertajuk MAMPUKAH PUTRAJAYA ATASI KEMELUT POLITIK TERENGGANU? yang kemudiannya dipetik sebuah blog lain http://ohsedapnya.blogspot.com akan dianggap benar jika tidak diperbetulkan.

Bukanlah saya sepatutnya mempertikaikan tulisan Hambali ini tetapi menanti penulis lain mengulas tentunya ibarat menanti ‘kucing bertanduk’ kerana mereka lebih suka membaca dan mendengar kisah ‘kejatuhan’ Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar daripada mempertahankan kebenaran.

Sebagai penulis, sepatutnya, desas-desus kononnya pertemuan antara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dan Ketua-ketua bahagian Umno dari Terengganu dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak boleh (diulang: tidak boleh) dianggap sebagai penentu kepada kekal atau tidak Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Mustahil (diulang: mustahil) Hishammuddin yang bakal menentukan kedudukan seseorang Menteri Besar.

Namun, ada penulis yang sudah cukup gah namanya di pesada penulisan politik tanahair masih mahu mempercayai desas-desus tersebut, malahan sanggup menulis dalam blonya dengan tidak memperdulikan kewajarannya.

Bagi pengikut fanatik blog ini, tentunya bibit-bibit kepercayaan dan kesangsian sudah mula bertelur. Mereka yang tidak percaya sekali pun, barangkali ternanti-nanti, apakah keputusan yang bakal diumumkan oleh Hishammuddin sebaik sahaja pertemuan itu berjaya diadakan di kantor Menteri Dalam Negeri, Putrajaya.

Saya meminta sesiapa juga yang ingin ‘mendoakan’ agar Datuk Ahmad Said supaya jatuh sebagai Menteri Besar, memikirkan semula niat mereka itu kerana setakat ini, apakah yang sudah Datuk Ahmad perlakukan sesuatu yang tidak wajar kepada rakyat dan negeri Terengganu?

Adakah Datuk Ahmad Said memainkan peranan mahu menjadikan beberapa ADUN yang bertindak memboikot persidangan DUN tempohari sebagai mangsa dalam pemilihan Umno di peringkat bahagian? Sikap dan cara bertindak Datuk Ahmad Said jauh berbeza dengan sikap dan cara bertindak pemimpin Umno Terengganu yang lain.

Beliau tidak sibuk-sibuk memasang calon menentang orang-orang yang tidak digambarkan sebagai orangnya sedangkan ada seorang pemimpin Terengganu, yang kini sudah bergelar ‘mantan’ masih menyusun beberapa gerak kerja untuk menjatuhkan orang itu dan menjatuhkan orang ini, termasuk berusaha keras menganjurkan pertemuan dan perjumpaan khusus untuk memburuk-burukkan kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman.

Suatu ketika, ada wartawan diupah supaya menulis gambaran kononnya Datuk Ahmad Said adalah ‘samseng’ tetapi dalam masa yang sama, mereka ini yang mengupah samseng mengiringi mereka ketika datang ke Sidang DUN, dengan hanya berseluar pendek!

Nafikanlah catatan ini jika ada yang berani!

Sepatutnya, penulis-penulis termasuk yang mempunyai blog peribadi turut menulis bagaimana biadapnya seorang ADUN dari kalangan Geng 10, mencerca Datuk Ahmad Said di hadapan Hishammuddin dan diperhatikan dengan begitu seronok oleh mantan Menteri Besar Terengganu yang turut hadir ketika itu.

Perlu ditekankan di sini, dari lapan ketua bahagian Umno di Terengganu, tujuh bersama-sama Datuk Ahmad Said manakala hanya seorang sahaja yang tidak pernah mahu menghadirkan diri ke mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, ketika Datuk Ahmad Said menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Malangnya, disebabkan ada seorang ketua bahagian tidak mahu menghadirkan diri ke mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri, tiba-tiba Presiden Umno, tidak mengekalkan Datuk Ahmad Said sebagai pengerusi semula ketika menyusun pengerusi-pengerusi baru, selepas pemilihan Umno, Mac 2009 yang lalu.

Dengan tidak terlantiknya Datuk Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, beberapa penulis mengambil sikap ‘membelasah’ Datuk Ahmad tanpa mengambil kira ‘fitnah jahat’ ini dibuat oleh siapa dan mengapa ia dilakukan!

Seoah-olah, apabila Datuk Ahmad tidak dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, seperti dunia mahu kiamat. Kononnya berakhirlah karier Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar sedangkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri sebenarnya bukanlah satu jawatan ‘wajib’ disandang oleh Menteri Besar.

Lagi pun, ketika Idris Jusoh tidak lagi menjadi Menteri Besar Terengganu, beliau yang melepaskan jawatan itu dan Presiden Umno ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menamakan Datuk Ahmad sebagai penggantinya dan bukan satu jawatan yang Datuk Ahmad mengajak bahagian-bahagian keluar beramai-ramai untuk tunjuk perasaan menuntut supaya jawatan itu diserahkan kepada dirinya!

Penulis yang memetik kenyataan seorang Adun yang tidak mahu dikenali kepada Malaysiakini kononnya kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang mengatakan Datuk Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar Terengganu juga amat dikesali kononnya kerana kenyataan itu tidak sepatutnya dibuat sebelum semua ADUN-ADUN dan Ketua Bahagian mengadakan pertemuan dengan Hishammuddin.

Opp! Siapa gerangan ADUN cap ayam ini yang lebih besar dari Timbalan Presiden Umno? Adakah ADUN ini bekas boss penulis Abdul Mubin Ismail? Malang sungguh nasib Terengganu kerana mempunyai seorang ADUN yang tidak ada kelas langsung. Dia pula boleh menentukan siapa yang lebih layak membuat pengumuman siapa yang sepatutnya menjadi Menteri Besar dan siapa yang tidak. Kelas mana ADUN ini? Sama kelas dengan Abdul Mubin ke?

Sila baca tulisan yang disiarkan dalam blog Hambali seperti disiarkan sepenuhnya di bawah;

Wednesday, May 20, 2009

MAMPUKAH PUTRAJAYA ATASI KEMELUT POLITIK TERENGGANU?

hambali1.blogspot.com (Wednesday, May 20, 2009)

Hari ini yang ada di negeri Terengganu rakyat sahaja.

Semua orang ‘berpolitik’ di Terengganu - ada di Kuala Lumpur. Semua orang politik - ADUN, Ketua Bahagian dan Menteri Besar ada di Kuala Lumpur. Mesyuarat mingguan Exco juga diadakan di Kuala Lumpur.

Malam ini mereka ke Putrajaya. Agenda kemuncak akan berlaku di Putrajaya.

Ramai yang menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu malam ini. Selain kedudukan Menteri Besar, siapa akan menduduki Setiausaha Perhubungan, Bendari dan Ketua Penerangan UMNO Terengganu. Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain.

Apa tidaknya. Sesetengah menganggap mesyuarat malam ini yang akan menghimpunkan semua ADUN Terengganu dan Ketua-Ketua Bahagian dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein itu sebagai ‘jalan terakhir’ menentukan kedudukan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Dengan kata lain, teka teki bila dan siapa akan menggantikan Ahmad Said, dikatakan bergantung kepada keputusan mesyuarat malam ini.

Kerana itu tidak pelik kalau ada di kalangan 18 ADUN BN Terengganu yang sebelum ini mahu Ahmad Said disingkirkan, kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Menteri Besar itu, dikekalkan.

Menurut mereka, kenyataan tersebut "terlalu awal" kerana perjumpaan dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein belum diadakan.

Menurut laporan Malaysiakini semalam, seorang ADUN yang enggan namanya disiarkan berkata, sepatutnya kenyataan itu dibuat selepas perjumpaan dengan Hishamuddin diadakan malam ini.

Hishammuddin dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan ADUN dan ketua Umno bahagian Terengganu itu, di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya malam.

Malah, kata ADUN berkenaan, beliau dan rakan-rakannya akan cuba menimbulkan isu sebenar dalam perjumpaan dengan Hishammuddin tersebut, iaitu Ahmad Said mesti diganti.

"Ini fokus sebenar 18 ADUN berkenaan. Kami berjuang untuk kepentingan parti, negeri Terengganu dan rakyat negeri itu. Walau apapun, kumpulan kami tetap patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti," katanya tanpa mengulas lanjut.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Terengganu sempena pelancaran hari guru peringkat kebangsaan Sabtu lalu, dilaporkan berkata, Ahmad kekal sebagai menteri besar.

Muhyiddin dikritik oleh sesetengah ADUN kerana membuat kenyataan mempertahankan kedudukan Ahmad Said mendahului Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Tidak tahulah SIAPA BESAR dalam konteks membuat kenyataan mengenai kedudukan Ahmad Said antara Timbalan Presiden UMNO berbanding Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Yang pasti Ahmad Said yang telah diturun pangkat dari jawatan pengerusi Umno Terengganu kepada timbalan pengerusi akan terlebih dahulu bertemu Hishamuddin sebelum mesyuarat penuh membabitkan semua ADUN.
Bagi yang waras, mesyuarat ini dilihat sebagai ‘mendengar’ daripada ‘menghukum’. Mendengar ialah memberikan ruang kepada ADUN dan pemimpin UMNO, termasuk Ketua-Ketua Bahagian menyatakan pendirian mereka.
Biarkan mereka menghentam apa sahaja. Dengan kata lain Putrajaya akan menjadi medan di mana Ahmad Said akan ‘dibelasah’ habis-habisan.
Persoalannya, apakah Hishamuddin akan membiarkan medan itu untuk membenarkan Ahmad Said dibelasah sedemikian rupa?
Persoalannya juga, sejauh mana luahan itu akan dijadikan asas untuk memutuskan untuk mengguggurkan Ahmad Said?
Pada pengamatan saya, Hishammuddin boleh mengambil apa-apa tindakan berhubung urusan parti, tetapi pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar bukan ditentukan oleh parti sahaja.
Kalau parti sahaja menentukan perlantikan Menteri Besar, sudah pasti Datuk Seri Idris Jusoh boleh menjadi Menteri Besar.
Dalam politik Terengganu, Barisan Nasional dan UMNO perlu bertindak bagai ‘menarik rambut dalam tepung’ – Rambut Jangan Putus, Tepung Jangan Tumpah.

Saya tertarik dengan kata-kata Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zaabar Adib baha kemelut politik Terengganu kelihatan semakin reda sejak kebelakangan ini namun saya melihat rasa tidak puas hati -kenapa Datuk Ahmad Said yang masih terpacak di situ - tetap membara.

Kata Mohd Zaabar, kemelut yang berlaku sejak lebih sebulan lalu tidak akan selesai jika ada pihak yang berkeras mahu mempertahankan prinsip masing-masing.

"Kalau ada yang tidak memikirkan keutamaan bersama kemelut ini akan berlanjutan. Kemelut ini merugikan rakyat, saya berharap ia dapat diredakan segera. Tetapi sudah nampak ia semakin reda.

"Kita serahkan kepada pimpinan UMNO untuk menyelesaikan kemelut tersebut," katanya.

Persoalannya, bolehkah Putrajaya selesaikan kemelut politik Terengganu. Bolehkah UMNO melalui Hishamuddin meredakan kemelut ini?

1 ulasan:

Che Leh Jangok berkata...

Biarlah hamba ulangi seloka hamba ini:
Zaman dahulu: ada raja melaga ayam = tergadai sekerat negeri.
Zaman kini: rakyat jelata melaga ayam = terancam nyawa seluruh umat. (bawa balik selsema burung)
Zaman dihadapi: ramai orang bijak menjadi bijak kerana bijak melagalagakan pemimpin....... =
mengancam kedaulatan sebuah negara.
Musuh2 yang sedang mengipas kalian sedang memerhati mencari peluang.