Jumaat, 28 Ogos 2009

PM tak perlu layan Geng 10, suruh mereka buat kerja jaga kawasan

Oleh Ahmad Hj Ishak

PERDANA Menteri terpaksa memberi jaminan bahawa Umno Pusat sedang berusaha mententeramkan Umno Terengganu ekoran dakwaan pelbagai pihak kononnya politik Terengganu dilanda kemelut.

Berita portal mstar dipetik, Najib yang melantik Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu mengulas beberapa laporan yang mendakwa berlaku pergolakan dalam Umno Terengganu.

Sejak Mac tahun ini, beberapa pihak yang dikatakan pro-Idris Jusoh sering turun naik ke Kuala Lumpur membuat laporan yang tidak diketahui sejauh mana kebenarannya kepada pihak-pihak pimpinan tertinggi Umno, supaya menggugurkan Datuk Ahmad Said dari kerusi Menteri Besar.

Kumpulan yang dikatakan dianggotai 10 ADUN Umno Terengganu itu, sesekali dikatakan sudah menjadi 12 dan ada juga yang mendakwa sudah menjangkau 18 orang, tetapi yang ketara, hanya 10 orang yang sering dikatakan ‘ke hulu ke hilir’ di Kuala Lumpur, Putrajaya dan rumah-rumah pemimpin.

Mereka sentiasa membawa cerita baru, mengenai kelemahan Datuk Ahmad Said yang kononnya akan menyebabkan BN kalah dalam PRU 13 akan dating, jika Menteri Besar tidak berubah.

Apa yang pelik, pihak Datuk Ahmad Said tidak pula mengatur rombongan untuk mempertahankan diri dari ‘serangan hendap’kawan-kawannya itu sebaliknya sibuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di Terengganu.

Beberapa rakaman percakapan dan ucapan pihak-pihak yang menentangnya turut tersebar tetapi Datuk Ahmad tidak membenarkan sesiapa pun dari kumpulannya menghantar pita rakaman itu ke pimpinan tertinggi kerana tidak mahu membebankan pucuk pimpinan.

Ketika Datuk Ahmad mengatur program ‘makan buah’ dengan anak-anak Terengganu di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan, mengaturkan bas untuk balik beraya di kampong halaman di Terengganu, pihak-pihak yang pro-Idris masih lagi bercakap di mana-mana; “Perdana Menteri sudah dimaklumkan perkara ini (kemelut) dan berjanji akan menyelesaikannya dalam masa segera.”

Timbul pertanyaan di sini, apa perlunya pucuk pimpinan di Kuala Lumpur melayan semua perangai mereka ini? Ketika mereka mencari kesalahan dan kesilapan Datuk Ahmad Said, apakah mereka dalam Geng 10 tidak pernah cuai dalam menjalankan perkhidmatan kepada rakyat?

Apakah mereka tidak pernah melakukan kesilapan dan apakah mereka sahaja yang betul hingga menyebabkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Umno perlu mendengar da melayan fitnah yang senagaja mereka susun itu?

Baca kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak, Perdana Menteri dalam ‘portal berita mstar’ Jumaat, 28 Ogos 2009.

Najib: "Kita berusaha tenteramkan Umno Terengganu

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, Umno sedang berusaha untuk mententeramkan pergolakan politik parti itu yang berlaku di Terengganu.

"Kita sedang berusaha untuk mententeramkan keadaan," kata Presiden Umno ketika diminta mengulas mengenai pergolakan Umno yang berlaku di Terengganu pada masa ini.

Umno Terengganu kini sedang mengalami krisis berikutan masalah dalaman yang dihadapi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Terbaru, laporan sebuah portal turut menyatakan sembilan wakil rakyat Umno negeri itu bercadang meninggalkan parti untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh salah seorang ADUN, Datuk Rosol Wahid.

Sementara itu, Najib turut menafikan campur tangan kerajaan dalam isu penangguhan hukuman sebat yang dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak.

"Kita tidak campur tangan. Itu hak Mahkamah Syariah untuk memutuskan.

"Itu budi bicara Mahkamah Syariah," katanya.

Pada 20 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas Kartika selepas dia mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Kartika sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu Isnin lalu namun ia ditangguhkan selepas Hari Raya Aidilfitri oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus.

Tiada ulasan: