Oleh Ahmad Haji Ishak
citra_bangsa@yahoo.com
SATU perkara yang patut bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh bersyukur sekarang ialah banyak isu timbul kebelakangan ini betul-betul menyelamatkannya dari menjadi sasaran media dalam isu kesediaannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.
Isu cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu mengadakan pertemuan untuk mengujudkan kerajaan perpaduan, yang kemudiannya disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, juga menyebabkan isu Idris-SPRM disenyapkan media.
Mengamuknya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bersetuju dengan cadangan Hadi-Najib, menyebabkan Nik Aziz meminta Nasharuddin keluar dari Pas dan mengosongkan kerusi Parlimen Bachok juga menyebabkan media lebih suka mengejar Nasharuddin daripada mencari Idris.
Isu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sering menghubungi Idris di luar negara sebelum mengadakan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri juga tidak mendapat apa-apa reaksi dari media massa kerana ada isu Nik Aziz mahu mengajak Najib berdebat.
Sebenarnya, jika sesiapa faham kesan runtuhan bumbung stadium, mereka akan lebih menumpukan perbincangan mengenai isu ini daripada melayan karenah Nik Aziz yang tidak pernah rasional dalam bercakap.
Namun, disebabkan media massa lebih berminat memainkan isu Nik Aziz dengan keletah seperti kebudak-budakkannya, maka Idris Jusoh yang mahu dinobatkan oleh Exco dan wakil-wakil rakyat Terengganu era kepimpinan Idris dahulu sebagai seorang pemimpin Terengganu yang bertaraf dunia, maka amanlah lena Idris.
Orang Terengganu tidak mungkin boleh melupakan apa yang sudah dibuat oleh Idris dan Geng 10 yang memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, April lalu. Kesemua anggota Geng 10 itu, Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam, Muhamad Ramli Noh, Mohd Zawawi Ismail, Abdul Halim Jusoh, Alias Abdullah, Zakaria Abdullah, Ramlan Ali, Mohd Pehimi Yusof dan Idris sendiri.
Kalaulah tidak ada isu kerajaan perpaduan, isu Nik Aziz mengamuk hingga mahukan Nasharuddin keluar dari Pas dan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan rasanya Idris mungkin memilih untuk ‘menyambung pelajaran’ keluar negara lagi bagi mengelak dari dikejar wartawan dan wakil media.
Sejarah politik Idris, sejak zaman dia menjadi Ketua Pemuda negeri dahulu, apabila timbul cerita memboikot konvensyen Umno negeri, beliau ke luar negara (ke Jordan) dengan alasan menyambung pelajaran.
Kalau orang biasa, mungkin pemimpin seperti Idris ini digelar sebagai seorang yang suka melempar batu sembunyi tangan.
Dalam isu runtuhan bumbung stadium, walaupun Idris bersedia menerima ‘kunjungan’ SPRM, mustahil Idris tidak tahu menahu mengenai perlantikan kontraktor dan pemilihan syarikat yang bertanggungjawab membina stadium ini.
Sebelum ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan kemungkinan SPRM akan menemui tiga bekas Exco dalam zaman Idris menjadi Menteri Besar iaitu Datuk Wan Hisham Wan Salleh, Rosol dan Din yang dikatakan antara mereka yang ‘banyak tahu’ dalam kes perlantikan kontraktor membina stadium ini.
Seperti Idris, Wan Hisham antara bekas Exco yang cukup berani meminta SPRM menyiasat dirinya tetapi Din dan Rosol dikatakan lebih banyak berdiam diri daripada bercakap meminta SPRM turut menjemputnya ke pejabat untuk ‘bersembang-sembang’ mencari maklumat.
Geng 10 seboleh-bolehnya mahu mendiamkan sahaja isu runtuhan bumbung stadium ini kerana mereka lebih sibuk mahu meneruskan hasrat memboikot semua program Umno dan program kerajaan negeri yang dihadiri Menteri Besar.
Hishammuddin mungkin tidak tahu yang Geng 10 terus ‘berdendam’ dengan Menteri Besar walaupun mereka sudah mengadakan pertemuan dengan Hishammuddin dan dikatakan berjanji mahu menyelesaikan masalah ‘memboikot’ demi kejayaan Umno dan BN dalam PRU 13 akan datang.
Entah apa yang dijanjikan Geng 10 kepada Hishammuddin selepas salah seorang dari mereka menjatuhkan air muka Datuk Ahmad Said, hakikatnya mereka masih terus menjayakan hasrat mereka untuk tidak melibatkan diri dengan semua aktiviti Umno dan kerajaan.
Geng 10 mungkin mencontohi Idris yang tidak pernah menghadirkan diri walau sekali dalam mesyuarat badan perhubungan ketika Datuk Ahmad menjadi pengerusi.
Dalam mesyuarat badan perhubungan buat kali pertama yang dipengerusikan Hishammuddin, Idris masih gagal menghadirkan diri tetapi dipertahankan Hishammuddin dengan kata-kata, Idris masih berada di luar negara dan dia sering menghubungi Idris, sekurang-kurangnya dua hari sekali.
Begitu tinggi penghormatan Hishammuddin terhadap Idris yang sudah kehilangan segala-galanya dalam politik Negeri Terengganu.
Idris tidak lagi menjadi Menteri Besar dan Idris telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Namun, ramai yang tertanya-tanya kenapa Hishammuddin tergamak memberitahu media yang dia sering berhubung dengan Idris, seolah-olah mahu merujuk mengenai hal-ehwal politik Terengganu kepada Idris sedangkan Menteri Besar Terengganu sekarang bukan Idris lagi.
Ada yang melahirkan kehairanan mengapa Hishammuddin seolah-olah terpengaruh dengan cerita-cerita yang direka-reka oleh Geng 10.
Pada suatu ketika, banyak pihak mendakwa Hishammuddin akan melantik salah seorang dari anggota Geng 10, Din Adam sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Dakwaan perlantikan Din Adam ini dibuat kerana ramai yang tahu hubungan antara Din dengan Hishammuddin dikatakan agak rapat kerana Din adalah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Dungun, ketika Hishammuddin menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Menurut cerita orang yang rapat dengan Din, kesetiaan Din kepada Idris terlalu utuh hingga ada yang berkata, Din pernah bercakap di mana-mana, dia masih menganggap Idris masih Menteri Besar Terengganu dan ketuanya di Terengganu adalah Idris dan bukan Menteri Besar yang ada sekarang.
Tidak hairanlah Din Adam didakwa pernah menolak tawaran menjadi Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu yang ditawarkan kepadanya kerana dia hanya akan menerima tawaran jika tawaran itu datangnya dari Idris.
Tidak pula diketahui sama ada Din Adam masih memanggil Idris dengan gelaran YAB Datuk Seri Idris Jusoh kerana dia tidak tahu ada Menteri Besar lain di Terengganu, selain Idris.
Bila Din bersikap sedemikian dan berkali-kali mengatakan kepada kawan-kawannya yang dia tidak pernah mengiktiraf Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, tidak hairanlah jika ADUN-ADUN yang lain, turut tidak mengiktiraf Datuk Ahmad.
Din didakwa beberapa pihak yang rapat dengan bekas Exco Belia dan Sukan Negeri ini yakin dia akan menjadi Menteri Besar Terengganu jika Istana Terengganu tidak mahu menerima Idris.
Dalam masa yang sama Rosol Wahid dikatakan turut berminat menjadi Menteri Besar Terengganu walaupun pernah menafikannya.
Seorang lagi anggota Geng 10 yang berkeyakinan akan menjadi Menteri Besar ialah Alias Abdullah yang mendabik dada mengatakan dia bukan jenis ‘ADUN cap ayam’ yang bermaksud di antara Geng 10, dialah yang paling layak menjadi Menteri Besar.
Din adalah ADUN Bukit Besi, Rosol pula ADUN Ajil manakala Alias adalah ADUN Alor Limbat. Kesemua ADUN-ADUN ini tidak berani menghadirkan diri dalam mana-mana majlis yang dihadiri Datuk Ahmad Said kerana masing-masing bimbang akan dicop sebagai ‘sudah meninggalkan perjuangan’ Geng 10.
Khabarnya Hishammuddin tahu semua cerita ini tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk menegur dan menasihatkan anggota Geng 10 supaya kembali turun padang dan menghadiri semua program anjuran Umno dalam DUN masing-masing.
Apa yang lebih malang, Hishammuddin seolah-olah takut untuk ‘bertindak’ terhadap Geng 10 yang jelas merosakkan Umno di Terengganu.
Selasa, 7 Julai 2009
Idris Jusoh diselamatkan isu debat Nik Aziz-Najib
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
dengar cerita ada 2 org pemimpin umno kuala terengganu menyambut hisamudin ketika tiba di airport kerana menjangka menerima perlantikan mana-mana jawatan bpunt. tapi bila nama tak naik terus tak ada masa pegi hantar hishamudin balik. he he he
Catat Ulasan