Jumaat, 17 Julai 2009

Hishammuddin : Tugas besar yang menuntut sedikit pengorbanan


Oleh Daud Haji Ibrahim
daud772@yahoo.com

MELIHAT gambar muka depan The Star dan Berita Harian Khamis, 16 Julai 2009, betapa banyaknya kotak-kotak berisi fail-fail permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan sijil kelahiran, tentulah ia memberi erti kepada dua perkara.
Pertama, tidak kecekapan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikannya dan kedua, tidak ada ‘dateline’ terhadap proses permohonan yang menyebabkan berlaku timbunan tersebut.
Tugas yang menanti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebenarnya cukup besar tetapi jika Menteri Dalam Negeri ini sanggup melakukan sedikit pengorbanan, timbunan yang ada itu pastinya akan dapat diselesaikan.
Betullah kata pepatah, gambar menceritakan segala-galanya. Gambar semalam itu menceritakan betapa Menteri Dalam Negeri sebelum ini, mungkin tidak berkesempatan menyelesaikan semua permohonan tersebut hingga menyebabkan Hishammuddin terpaksa memberitahu orang ramai, bebanan itu sedang ditanggungnya.
Tentunya, dalam timbunan itu ada permohonan yang sudah menunggu keputusan sejak 10 tahun yang lalu, atau dalam bahasa yang lebih mudah, sejak lima Menteri Dalam Negeri sebelumnya termasuk Tan Sri Syed Hamid Albar, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Azmi Khalid dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mungkin timbunan kotak-kotak berisi fail itu bukan di zaman Hishammuddin sahaja tetapi ia berlaku di zaman menteri-menteri lain juga. Cuma, yang berbeza, Menteri Dalam Negeri terdahulu tidak sempat bergambar dengan latar belakang kotak-kotak tersebut berbanding dengan Hishammuddin.
Amaran terhadap agen seperti yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri yang mahu mengenakan tindakan tegas jika berlaku suapan, banyak pihak mencadangkan supaya Naib Presiden Umno ini turut ‘menjengah’ juga suapan jika ia berlaku di kalangan pegawai-pegawai KDN.
Ramai yang berharap Hishammuddin ‘turun padang’ atau menghantar pegawai-pegawainya menyiasat rungutan orang ramai yang melihat pegawai-pegawai KDN yang berada di barisan depan termasuk Imigresen, Polis dan yang lain-lain lebih melayan agen dan orang asing daripada melayan permohonan rakyat tempatan.
Majikan memang boleh membuat permohonan sendiri, tetapi jika proses permohonan memakan masa yang panjang dan terpaksa berulang-ulang kali ke jabatan-jabatan berkenaan khususnya Imigresen, ia cukup menyiksakan.
Itulah sebabnya peranan agen amat diperlukan dalam urusan ini. Walaupun terpaksa membayar upah yang mahal kepada agen (bukan suapan), tetapi masa yang ada kepada majikan sebenarnya lebih ‘mahal’ daripada upah yang dibayar kepada agen.
Lagipun, pegawai-pegawai di barisan depan jabatan-jabatan berkenaan lebih ‘mesra agen’ daripada ‘mesra pelanggan’. Pergilah berurusan dengan jabatan-jabatan ini… pengalaman tersebut akan dapat ditemui nanti.
Memetik kenyataan Hishammuddin yang mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai komitmen KDN menangani isu berhubung permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia, permit masuk sijil pendaftaran kelahiran, pekerja asing dan pendatang tanpa izin; beliau berkata KDN akan menyegerakan pemprosesan permohonan kewarganegaraan yang tertangguh dan mensasarkan status permohonan dapat diputuskan pada penghujung tahun ini.
Sehubungan dengan itu, Hishammuddin berkata beliau sendiri akan meneliti kira-kira 30 peratus daripada 379 kotak berisi permohonan yang belum diproses.
Sebenarnya kenyataan Hishammuddin ini amat menyedihkan banyak pihak kerana beliau hanya mahu meneliti sekitar 30 peratus sahaja permohonan yang ada dan menjanjikan ‘deadline’ sehingga hujung tahun sedangkan jika Hishammuddin menggunakan strategi beliau bekerja ketika berkempen semasa bertanding Naib Presiden Umno dahulu, semua fail dalam kotak yang bertimbun itu boleh diselesaikan hujung bulan Julai ini sahaja.
Jumlah 379 kotak itu tidak menjamin ia akan berkurangan kerana mungkin permohonan baru akan masuk lagi ke KDN dan segala permohonan yang tertangguh akan menyebabkan kesulitan dan kesusahan yang amat sangat kepada pemohon dan majikan.
Mengambil contoh permohonan menyambung permit kerja yang memerlukan kelulusan Menteri Dalam Negeri, jika ia tertangguh sehari sekali pun, pemohon akan didenda dengan jumlah yang cukup besar dan biasanya majikanlah yang terpaksa menanggung bebanan tersebut.
Adaah lebih baik, jika Hishammuddin ‘berkorban masa’ untuk menyelesaikan kesemua 379 kotak fail permohonan itu dalam masa yang singkat dan jika perlu, dapatkan bantuan semua pegawai-pegawai KDN untuk bekerja ‘lebih masa’ dengannya di pejabatnya.
Kata pepatah, kerja bertangguh tidak menjadi dan ramai yang percaya, jumlah 379 kotak itu akan bertambah jumlahnya apabila sampai ke penghujung tahun ini dan setiap minit, permohonan juga akan bertambah.
Walaupun ia mungkin tidak bertambah di setor penyimpanan kotak-kotak itu, tetapi ia mungkin bertambah di pejabat-pejabat agensi di bawah KDN mengikut kategori permohonan.
Bilakah masanya Hishammuddin boleh melihat kes-kes lain, selain dari kes permohonan taraf kewarganegaraan, permit masuk, sijil pendaftaran kelahiran, pekerja asing dan pendatang tanpa izin termasuk hal-hal kebajikan kakitangan KDN dan agensi-agensi di bawahnya?
Atau perlukan Perdana Menteri, buat sementara waktu memindahkan agensi-agensi di bawah KDN ini ke kementerian lain seperti yang dilakukannya terhadap LPKP dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke Jabatan Perdana Menteri, MARA ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Koperasi ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan sebagainya?
Mungkin Hishammuddin tidak berniat untuk memberitahu Perdana Menteri yang agensi di bawah KDN terlalu besar dan banyak tetapi secata tidak langsung Hishammuddin seperti mahu meminta tolong Perdana Menteri, maafkan beliau jika berlaku kelewatan di dalam memproses kelulusan satu-satu permohonan.
Ini belum dimasuk kira tugasnya sebagai Ketua Umno Bahagian Sembrong, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno dan tugas-tugas hakiki melayan kawan-kawan di pejabat dan luar waktu bekerja!

Tiada ulasan: