Oleh Zainal Yusof
citra-bangsa@yahoo.com
TIGA sayap Umno Terengganu mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di Kementerian Dalam Negeri, sehari dua yang lalu.
Baguslah kalau pertemuan seperti ini diadakan tetapi janganlah sekali dalam tempoh Hishammuddin menjadi pengerusi ini kerana pertemuan yang kerap diadakan akan dapat menyelami denyut nadi ketiga-tiga sayap parti itu dalam keadaan Umno Terengganu dikatakan dilanda kemelut.
Begiitu juga ketua-ketua bahagian, perlu Hishammuddin temui sekerap yang mungkin, bukan sekadar menghantar pegawai khas mengadakan perjumpaan kerana bimbang pegawai khas menapis apa yang patut disampaikan, ikut selera pegawai khas.
Hishammuddin kena tahu, ‘sifat kepala batu’ Geng 10 yang masih ‘memboikot’ Menteri Besar walaupun Hishammuddin mendakwa masalah di Terengganu sudah selesai dengan pertemuan antaranya dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Terengganu dan ketua-ketua bahagian, sebelum mengadakan mesyuarat pertama Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu baru-baru ini.
Apakah Hishammuddin tahu bahawa beberapa kawasan DUN yang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kunjungi kerana program-program dan lawatan-lawatan, tidak dihadiri oleh ADUN di kawasan tersebut?
Khabarnya, di DUN Jabi Menteri Besar sudah sampai tiga kali sejak peristiwa memboikot persidangan DUN Terengganu April lalu, tidak sekali pun ADUN Jabi, Ramlan Ali hadir sama di majlis Menteri Besar itu.
Adakah Ramlan masih menerima arahan dari bossnya dalam Geng 10 supaya tidak menghadirkan diri dalam program-program yang dihadiri Menteri Besar walaupun dalam DUN nya sendiri?
Apakah perkara ini diketahui oleh Hishammuddin? Jika Hishammuddin tahu, apakah beliau akan mengarahkan ADUN mesti hadir majlis yang turut dihadiri Menteri Besar atau Hishammuddin akan mencadangkan kepada Menteri Besar supaya jangan menghadiri majlis-majlis di DUN yang diwakili oleh Geng 10?
10 DUN yang dimaksudkan ialah Tepuh, Kuala Berang, Permaisuri, Bukit Besi, Paka, Ajil, Alor Limbat, Jabi, Jerteh dan Kota Putera.
Kalau Hishammuddin tahu semua ini, apakah tindakan yang boleh dikenakan kepada ADUN yang ‘sombong bodoh’? ini?
Satu kelebihan yang ada pada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ialah beliau tidak pernah mempunyai masa untuk melayan semua karenah Geng 10 ini kerana tugasnya mengadakan pertemuan dengan rakyat di seluruh Negeri Terengganu tidak boleh terhenti hanya kerana gelagat Geng 10 yang kesemuanya merasakan mereka layak menjadi ‘Menteri Besar’.
Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu mendapatkan KPI terhadap semua Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN, inilah masanya untuk ‘membuat KPI’ kepada 10 ADUN di Terengganu yang sudah terlajak begitu jauh, mengkhianati Umno dan BN.
Najib juga sepatutnya sudah diberitahu oleh Hishammuddin perangai Geng 10 ini kerana Umno memang tidak memerlukan mereka ini walaupun mereka merasakan ‘mereka hebat dan bukan jenis ADUN cap ayam’.
Tidak hairanlah kalau penulis terkenal Datuk A. Kadir Jasin menulis dalam blognya tidak lama dulu bahawa Geng 10 ini, termasuklah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai cetek fikiran.
Lebih malang lagi, dalam Geng 10 ini, ada tiga ADUN yang bercadang mahu menjadi Menteri Besar, kerana mereka yakin dengan ‘apa yang mereka lakukan sekarang’, Perdana Menteri akan bersetuju menukar Menteri Besar Terengganu.
Maknanya, Geng 10 tidak sebulat suara menyokong hanya seorang sahaja dari mereka (Geng 10) yang patut dan layak ditonjolkan sebagai calon Menteri Besar Terengganu. Ketika mereka berusaha mahu memfitnah Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda sebagai ‘punca kepada semua ini’, mereka lupa kecanggihan sistem komputer boleh memerangkap mereka.
Ketika Hishammuddin mengakui beliau sering berhubung dengan Idris ketika Idris berada di luar negara sebelum mengadakan mesyuarat badan perhubungan negeri baru-baru ini, tetapi Idris masih tidak dapat menghadirkan diri ke mesyuarat badan perhubungan yang dikosongkannya ekoran perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Kemelut yang ditimbulkan oleh Geng 10 akhirnya menyebabkan Presiden Umno melantik Hishammuddin menjadi pengerusi perhubungan, bersama-sama Najib sendiri sebagai pengerusi perhubungan Selangor, Tan Sri Muhyiddin, pengerusi perhubungan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, pengerusi perhubungan Kedah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pengerusi Pulau Pinang.
Geng 10 juga yakin, salah seorang dari anggotanya akan dilantik menjadi setiausaha perhubungan Umno negeri kerana hubungan rapat mereka dengan Hishammuddin tetapi ia tidak berlaku.
Namun, Geng 10 menyifatkan usaha mereka menimbulkan kemelut cukup berjaya kerana Najib akhirnya tidak mengekalkan Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, sebaliknya menamakan Hishammuddin menggantikan tempatnya.
Berbaloilah usaha Geng 10 berbondong-bondong ke Kuala Lumpur suatu ketika dahulu untuk mengadakan pertemuan dengan Najib dan Muhyiddin dengan tujuan memburuk-burukkan imej Ahmad Said di Terengganu.
(Artikel ini turut disiarkan dalam http://lesungbatu.webs.com)
Rabu, 1 Julai 2009
Geng 10 masih memboikot program Umno
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan