Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat apakah pemberian projek Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Kompleks Sukan Negeri Gong Badak dibuat dengan telus dan tidak berlaku sebarang penyelewengan?
Siasatan perlu dijalankan, ekoran ada kelibat tiga pegawai SPRM dilihat mengambil gambar serta mengumpul butiran kejadian itu untuk tindakan selanjutnya kerana beberapa pihak mempertikaikan mengapa begitu tinggi harga stadium ini dan apakah ia menepati prosedur kelulusan satu-satu projek kerajaan.
Jesteru, banyak pihak mengharapkan jangan ada yang menjadi ‘kambing hitam’ dalam isu ini kerana banyak lagi projek ‘kilat’ di Terengganu yang dibangunkan sepanjang 2004-2008, dikatakan atas ‘kuasa’ seorang dua orang besar di Terengganu.
Ketika ada yang mencadangkan supaya kontraktor yang terlibat disenarai hitamkan, tetapi ada juga dakwaan dibuat kononnya cara pemberian projek ini betul-betul dibuat atas dasar kroni dan harga projek sudah ‘ditokok tambah’.
Pengarah SPRM Terengganu, Ahmad Sabri Hussin turut berada di kawasan runtuhan dan kemungkinan sudah dapat menghidu sesuatu ketidak telusan telah berlaku dalam pemberian projek ini. Menteri Besar, Datuk Ahmad Said diminta memberikan kerjasama sebaik mungkin dengan mana-mana pihak yang mahu menyiasat isu ini walaupun perlantikan jururunding bebas turut dilantik untuk mengetahui nilai dan punca bumbung stadium ini boleh runtuh.
Dalam masa yang sama, beberapa blog yang banyak menyerang kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar sebelum ini tidak mengulas langsung kejadian ini kerana masing-masing mungkin sedang sibuk menyusun alasan bagi mengalihkan perhatian rakyat kepada isu lain dan mahu mereka melupakan isu bumbung stadium runtuh.
Jesteru ada pihak mencadangkan supaya SPRM Terengganu turut menjalankan siasatan terhadap projek-projek lain walaupun tiada runtuhan berlaku kerana kebanyakkan projek pembangunan di Terengganu sering menjadi ‘pertikaian’ sejak sekian lama.
Khabarnya, tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang memboikot persidangan DUN April lalu, juga ada kaitan dengan isu projek dan pembangunan Terengganu yang dikatakan tidak begitu rancak dalam era kepimpinan Datuk Ahmad jika dibandingkan dengan pembangunan dalam era kepimpinan Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Idris Jusoh (DSIJ).
Seorang peniaga di Marang, Azman Anuar yang ditemui berkata, adalah lebih baik projek pembangunan tidak rancak tetapi sesuatu projek itu dibangunkan dengan penuh jaminan keselamatannya daripada projek tumbuh macam cendawan selepas hujan.
Kata Azman, mereka yang menyarang Datuk Ahmad Said sepatutnya malu kerana apa yang nyata sekarang, yang lemah dan perlu dipertikaikan kepimpinannya bukan era sekarang tetapi era sebelum ini yang digembar-gemburkan sebagai kepimpinan bertaraf dunia.
Sementara itu, seorang bekas ketua Umno bahagian yang enggan namanya disebut memberitahu, kepincangan pentadbiran era terdahulu perlu disiasat tetapi siasatan mestilah dibuat secara lebih telus kerana khuatir ianya akan menyembunyikan beberapa fakta yang berkaitan.
“Saya sedang menunggu siasatan dan pendakwaan SMS bernada ugutan dahulu yang agak lama dan kini timbul pula cerita bumbung stadium runtuh. Saya bimbang, orang ramai akan melupakan cerita SMS bernada ugutan dan sibuk bercakap pasal bumbung stadium yang runtuh pula.
“Ketika isu bumbung stadium sedang hangat, jangan pula isu SMS bernada ugutan hingga 10 ADUN memboikot sidang DUN terlepas pandang pula,” ujarnya yang mengharapkan pihak yang bersalah didakwa dan jika terbukti, dihukum dengan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.
Separuh dari bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dibina dengan kos RM292 juta sebagai tempat utama temasya Sukan Malaysia (Sukma 2008) runtuh, kira-kira pukul 9.30 pagi, 2 Jun lalu, kira-kira setahun ia siap dibina dan dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Runtuhan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.
Setakat ini SPRM belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai runtuhan bumbung stadium ini tetapi dengan lawatan mengejut Menteri Kerja Raya, Datuk Shahziman Abu Mansor dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, beberapa pihak yakin SPRM akan turut menyiasat secara terperinci kes ini. – Dipetik dari http://lesungbatu.webs.com
Khamis, 4 Jun 2009
Runtuhan Stadium : Siasat cara pemberian projek
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan