Oleh Abdul Wahab Idrus
RAMAI mungkin terkejut, bila Nik Aziz Nik Mat tiba-tiba melenting. Semua orang disifatkannya sebagai boneka Umno, jika bercakap soal kerajaan perpaduan. Yang paling teruk kena serang dengan Nik Aziz, ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Sibuklah Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayob memujuk Nasharudin supaya pergi berjumpa dengan Nik Aziz, supaya masalah ini dapat diselesaikan secara anak beranak. Masing-masing risau jika betul-betul Nasharudin akan bertindak keluar dari Pas seperti kehendak Nik Aziz.
Fikir-fikir punya fakir, rupa-rupanya Nik Aziz ada strategi. Ini dinamakan serampang dua mata. Dia marahkan Nasharudin kerana Nasharudin kalahkan ‘blue eyes boy’ Nik Aziz, Husam Musa bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Pas.
Jadi, nak marah ketika Muktamar Tahunan baru-baru ini, macam tidak menghormati demokrasi pula, jadi inilah masanya yang paling sesuai untuk melepaskan kemarahannya. Bila Nik Aziz marah, semua pemimpin Pas kelam-kabut tetapi tidak bagi Pesuruhjaya Pas Kedah, Ustaz Azizan Razak. Beliau mempertahankan Nasharudin dengan mengatakan Nik Aziz tidak wajar meminta Nasharudin keluar dari Pas dan meletakkan jawatan Timbalan Presiden.
Siapa lagi dalam Pas yang ada keberanian seperti Ustaz Azizan? Pas sudah tidak ada pemimpin yang berkaliber seperti Allahyarham Ustaz Fadzil Md Nor. Nik Aziz tidak akan seberani sekarang jika Ustaz Fadzil masih ada.
Ustaz Azizan dipetik sebagai berkata, Nik Aziz perlu mendapatkan maklumat lebih jelas daripada Hadi berhubung idea penubuhan kerajaan perpaduan sebelum membuat kenyataan melulu.
Azizan berkata, adalah tidak wajar Nik Aziz membuat kenyataan melulu dan meminta Pas, Nasharuddin meletak jawatan jika masih menyokong idea mewujudkan kerajaan perpaduan.
“Perkara ini (penubuhan kerajaan perpaduan) bukan boleh diputuskan satu atau dua orang pemimpin saja, sebaliknya ia adalah keputusan ahli parti.
“Berilah Presiden menjelaskan dulu bagaimana idea sebenarnya konsep kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu dan jangan terlalu awal membuat kesimpulan atau mengeluarkan kenyataan melulu.” Ujar Ustaz Azizan.
Strategi kedua Nik Aziz, jika betul-betul Nasharudin berundur dari jawatannya, tentulah anak saudaranya, Tuan Ibrahim Tuan Man akan jadi ‘pemangku’ Timbalan Presiden. Maka, dapatlah ‘orang Kelantan’ menguasai Pas, selepas Datuk Seri Hadi Awang ‘membuang’ Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaafar dari Kelantan dan melantik Datuk Mustafa Ali, orang Terengganu menggantikannya.
Bila orang Kelantan terpelanting dari hirerki kepimpinan Pas, Nik Aziz rasa ‘terhina’. Padahal, di Kelantanlah Nasharudin bertanding dalam pilihan raya. Di Kelantanlah Salahuddin Ayob bertanding. Di Kelantanlah Dr. Hatta Ramli bertanding, tetapi, bila orang Kelantan bertanding Jawatankuasa Pusat Pas pun, kalah!
Nik Aziz kecil hati. Nik Aziz rasa terhina. Nik Aziz rasa dipermainkan oleh perwakilan Pas dari Perak, Johor dan Negeri Sembilan, negeri di mana datangnya Dr. Hatta, Salahuddin dan Nasharudin.
Hari ini, Husam Musa yang kalah, masih memikir-mikir, apakah perlu menerima tawaran menduduki salah satu kerusi Jawatankkuasa Pusat Pas. Husam yang pernah menjadi Naib Presiden Pas mungkin sudah menyakinkan Nik Aziz, jika dia bertanding jawatan nombor dua dalam Pas, Hadi Awang tidak akan terlalu dominan dengan ‘Terengganunya’.
Mungkin juga Husam mahu mendapatkan pandangan Nik Aziz terlebih dahulu, sama ada dia boleh dibenarkan ‘bekerja’ di bawah orang Terengganu (Hadi).
Jadi, harapan Nik Aziz kini, mungkin Tuan IbrahimTuan Man boleh dijadikan ‘pelapis’ orang Kelantan dalam Pas.
Tuan Ibrahim sekarang menetap di Pahang, tetapi dia berasal dari Kelantan. Selepas ini tidak mustahil Tuan Ibrahim akan bertanding di Kelantan kerana hanya kerusi Parlimen di Kelantan sahaja yang Pas boleh ‘menang mudah’.
Buat apa beri kerusi itu kepada Dr. Hatta, Salahuddin dan Nasharudin kalau mereka semuanya tidak berusaha berkempen memenangkan ‘orang Kelantan’ dalam kepimpinan Pas?
Risau Nik Aziz jika selepas ketiadaan Hadi, Nasharudin pula yang mengetuai Pas. Nasharudin bukan orang Kelantan. Pas sudah berkuasa di Kelantan selama empat penggal, tetapi Pas dari negeri-negeri lain macam tidak menghormati orang Kelantan untuk dinobatkan sebagai pemimpin besar Pas. Nik Aziz terasa sungguh. Disebabkan itu, siapa sahaja cari pasal, tunggu… Nik Aziz akan belasah. Sasaran pertama Nik Aziz kini ialah Nasharudin.
Di kalangan orang politik, mereka geli hati dengan ‘kemarahan’ Nik Aziz ini. Ketika dia pernah mengaku boleh berkawan dengan syaitan, kini dia jadi kelam-kabut pula bila ada ura-ura kepimpinan Pas mahu mengadakan kerajaan perpaduan dengan Umno.
Nik Aziz bimbang, selepas ini, Husam tidak dapat menggantikannya sebagai MB Kelantan. Nik Aziz yang sudah 20 tahun menjadi MB Kelantan kalau boleh tak mahu berundur lagi tetapi demi kasih sayangnya kepada Husam, kini khabarnya dia sudah mahu berundur dengan harapan Husam akan menjadi penggantinya.
Kalau Husam menang jawatan Timbalan Presiden, Nik Aziz mungkin tidak jadi pemarah. Nik Aziz ni sudah tua. Sepatutnya orang tua, penuh dengan kesabaran. Malangnya, dia tidak mempunyai kesabaran seperti orang tua lain. Dia tiba-tiba jadi pemarah hanya kerana dia sudah terlalu sayangkan ‘mereka yang berbogel di rumah’ tidak salah dan mesti dibela.
Dia cukup-cukup mempertahankan tuhan pun mencarut. Dia juga sering bercakap, Nga Kor Ming boleh membaca Quran, walaupun sebutannya tidak betul kerana Nga Kor Ming adalah pemimpin DAP yang kini sudah cukup rapat dengan Pas.
Tapi dengan Umno, Nik Aziz melenting! Sebab apa? Sebab dalam Umno tidak ada wakil rakyat berbogel di rumah dan gambar berbogel itu tersebar dalam internet. Kalau ada wakil rakyat Umno berbogel, apakah Nik Aziz akan membelanya seperti dia membela wakil rakyat PKR yang berbogel?
Isnin, 22 Jun 2009
Nik Aziz marah Nasha kerana Nasha kalahkan Husam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan