Ahad, 21 Jun 2009

Ekspresi di bawah pokok, di DUN atau di Parlimen?


Oleh Zamzuri Damanhuri

TERIMA kasih diucapkan kepada penghantar komen mengenai isu MP Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang menjerit, ‘hidup rakyat, bubar DUN’ sebagai satu ekspresi emosi (lihat http://lesungbatu.webs.com).

Penghantar komen yang menamakan dirinya sebagai ‘penyapujagat’, satu perkataan yang datangnya dari dua perkataan, iaitu ‘penyapu’ dan ‘jagat’, memberikan saya sedikit fahaman mengenai latar belakang sipenulis ini.

Mudah-mudahan, jika ada ketenangan di dalam kotak fikirannya, jiwanya sejuk dan tidak terbakar oleh emsional, rasanya penyapujagat (harap-harap jagat ini bukan jagat kesan bopeng-bopeng jerawat di wajah) kerana jagat dan sejagat dua perkara yang berbeza, boleh menerima hujah sebagai bahan polemik.

Penyapujagat mungkin seronok, bila berpolitik, mesti menjerit, ikat kepala dan menentang sistem. Berbaring atas jalan raya juga mungkin penyapujagat setuju kerana yang berbaring adalah orang-orang Melayu berserban dan berjubah. Tidak ada langsung wajah anak-anak Cina atau India yang berbuat demikian. Penyapujagat tahukan?

Bila kita seronok, kita mungkin berfikir, orang lain juga seronok seperti kita seronok. Jika ia betul-betul begitu, cukup baik. Kira ‘A’.

Tetapi, kita kena juga berfikir, adakah kemungkinan keseronokan kita menyebabkan orang lain tidak seronok?

Bila orang lain tidak seronok, mungkinkah kita menyinggung perasaan mereka? Ah! Peduli apa dengan perasaan orang lain, barangkali kita berfikiran sedemikian.

Kena ingat (yang ini, saya dan penyapujagat kena ingat), orang politik, jangan asyik memikirkan perasaan dia sahaja. Dia menang kerana ada orang menyokong dia. Dia mengangkat sumpah kerana ada sistem yang sedemikian. Dia berpakaian begitu rupa kerana itu sistem atau peraturan menetapkan sedemikian.

Maknanya, dia berurusan dengan orang lain. Penyokong adalah orang dan sistem dan peraturan ada orang yang mengawasinya.

Saya cukup yakin, Mohamad Nizar ketika datang ke Parlimen, dia tahu apa itu institusi Parlimen. Penyapujagat juga barangkali tahu apa itu Parlimen. Kalau Penyapujagat tidak tahu, mana mungkin dia boleh guna perkataan ekspresi, perkataan yang cukup tinggi ertinya dalam penggunaan bahasa.

Jadi, kalau Mohamad Nizar tahu apa itu Parlimen, mesti tahu berpakaian cara mahu masuk ke Parlimen, tahu peraturan dan adap ke Parlimen, mengapa harus menjerit dan melilit kepala? Samalah dengan seorang Ahli Parlimen bawa kanak-kanak untuk menyambut hari jadi di Parlimen.

Mungkin dia rasa tidak salah tetapi dia bukan Ahli Parlimen tunggal di Parlimen Malaysia. Parlimen Malaysia mempunyai ratusan Ahli Parlimen. Maka, hormatilah Parlimen itu kerana ia bukan tempat menjerit, bukan tempat memakai lilit kepala dan bukan tempat menyambut hari jadi kanak-kanak.

Masa Mohamad Nizar bersidang di bawah pokok, tiada alat penghawa dingin dan tidak ada dewan, mungkin Mohamad Nizar kena bercakap agak kuat, takut orang lain tidak boleh dengan kerana bising tetapi di Parlimen, masa dan peraturan akan membenarkan Mohamad Nizar untuk ekspresi apa yang dia mahu.

Waktu dia menjerit itu, bukan waktu dia. Itu waktu mengangkat sumpah. Kalau hendak bercakap dan ketika bercakap mahu menjerit, gunakan peraturan mesyuarat. Ini Parlimen. Ada peraturannya. Itulah sebabnya ada Speaker. Masa Speaker benarkan, silalah bercakap dan menjeritlah. Tetapi kalau belum masanya, jangan buatlah. Ini bukan di bawah pokok. Ini bukan di dalam rimba.

Penyapujagat mungkin boleh faham peraturan Parlimen dan mungkin juga tidak. Kalau penyapujagat mahu menjerit sama, seperti Mohamad Nizar menjerit, mahu mengikat kepala, sama seperti Mohamad Nizar mengikat kepala, silakan. Tetapi bukan di Parllimen. Buatlah di Tanjung Karang, tempat sendiri yang agak jauh dari manusia. Menjerit dalam hutan atau di bawah pokok durian, ‘hidup rakyat, bubar DUN’ .

Jeritlah siang malam, pagi dan petang. Tiada siapa nak marah dan tiada siapa yang akan menggantung penyapujagat dan Mohamad Nizar dari menghadiri Persidangan Parlimen.

Malangnya, kalau kita menjerit di ‘rumah orang’ mestilah orang halau kita keluar. Kalau kita menjerit di depan rumah orang, tentulah suatu perbuatan yang biadap dan tidak bertamadun. Tetapi kalau di bawah pokok durian, dalam hutan di Tanjung Karang, mustahil pokok durian dan seman samun di hutan itu marah.

Peribahasa Melayu ada berkata, ‘masuk kandang kambing mengembek’. Ini bererti, kita kena tahu adap dan sopan bila ke tempat orang. Bukan orang Melayu dulu suruh kita jadi kambing, mengembek. Bukan itu maksudnya.

Timbul di fikiran saya, kenapa Mohamad Nizar berkelakuan seperti ini? Pertama saya percaya kata-kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, itu baru satu peratus perangai Mohamad Nizar… maknanya, dia ni memang teruk perangainya.

Kedua, ada orang suruh dia buat begitu. Tentulah orang yang menyuruh dia berbuat begitu ada di situ, di Parlimen.

Tidak kiralah apa sebabnya, tindakan Mohamad Nizar mendapat sokongan dari penyapujagat. Penyapujagat menyifatkan perbuatan itu tidak salah dan kenapa pula tidak boleh. Maknanya, dari segi adapt, penyapu jagat tidak tahu dan tidak belajar erti hukum agama, hukum akal dan hukum adat.

Macam seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor yang separuh bogel di rumahnya itu. Ketika di dalam rumah, Musyidul Am Pas kata, tidak salah kerana itu hak peribadinya tetapi apabila ia tersebar, bermakna, dia bukan bersendirian di rumah itu. Yang ini salah. Bersekedudukan.

Jika bersekedudukan pun tidak salah, yang mana pula salah? Jadi, bila hendak menjerit, jeritlah sorang-sorang. Ia tidak salah. Tetapi bila sudah menjerit di Parlimen, di depan Speaker, di depan Ahli-Ahli Parlimen lain, ia tidak betul walaupun mungkin sekadar mahu ekspresi emosi.

Jadi, bila dari segi agamanya boleh, tetapi akal dan adat kata tidak boleh, janganlah buat. Kalau dari segi adat boleh, tetapi dari segi agama dan akal kata tidak boleh, janganlah buat. Kalau dari segi akalnya boleh, tetapi dari segi adat dan agamnya kata tidak boleh, janganlah buat. InsyaAllah, tiada siapa yang berkecil hati jika kita tahu yang mana dibolehkah dan yang mana tidak dibolehkan dari segi agama, akal dan adat.

Mudah-mudahan, penyapujagat dapat menjawab tulisan saya ini dengan hujah dan bukan maki hamun. Saya menerima hujah sebagai latihan untuk mengasah minda. Saya menerima kritikan kerana kritikan adalah cermin kepada kesilapan. Sama-samalah kita mencari kebaikan yang berpunca dari perbezaan.

2 ulasan:

PUTRA MERDEKA berkata...

salam tuan,
itu pon kalau penyapujagat ada akal, agama dan adat....

citra-bangsa berkata...

Gondang berpandangan sama seperti Putra Merdeka. Namun, hari ini emosi sudah mengatasi kewarasan manusia.