Sabtu, 9 Mei 2009

Rosol kena bantu cari Dr. Ramzi

Rosol kena bantu cari Dr. Ramzi

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

TERKEJUT tidak, tetapi terperanjat. Terperanjat tak sama dengan terkejut? Mungkin sama dan mungkin tidak. Dalam bab politik Terengganu, sukar jika sesiapa tidak terkejut bila mendengar kenyataan Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC 11 Hamzah Mohd Jamil yang mengesahkan polis sedang mencari Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.
Siapa Dr. Ahmad Ramzi ini? Dia terkejut atau tidak? Atau dia juga tidak terkejut tetapi terperanjat. Atau dia tidak terperanjat tetapi terkejut? Yang mana satu ya? Dia tidak terkejut kerana dia sudah tahu polis mencarinya barangkali. Kalau dia tidak tahu, mana mungkin dia ‘menghilangkan diri’?
Kesihan anak-anak dan isterinya. Bila dia hilang, macam orang hilang kereta. Kecoh juga. Macam kita hilang anak kucing, kelam-kabut juga. Macam orang hilang kunci kereta, aduh, pening memikirkan.
Cuma satu, jangan hilang akal. Kalau hilang akal, hilanglah segala-galanya. Rasanya kawan-kawan politik di Terengganu, khususnya Datuk Rosol Wahid (ADUN Ajil), YB Abdul Halim Jusoh (ADUN Permaisuri) dan YB Zakaria Ariffin (ADUN Paka) bukan jenis orang yang mudah hilang akal. Mereka boleh hilang kawan, hilang jawatan, hilang kasut dan hilang duit, tetapi mereka ini dari kalangan yang tidak mungkin hilang akal.
Mungkin Zakaria Bidin (lihat www.konspirasipolitikmelayu.blogspot.com boleh membantu polis mencari di mana hilangnya Dr. Ahmad Radzi. Lihat tulisannya semalam di blog tersebut yang mengajak orang ramai membantu Polis Terengganu mencari di manakah gerangan Dr. Ahmad Radzi menghilang.
Datuk Rosol Wahid yang sudah tidak lagi menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu pastinya dapat membantu polis dalam hal ini. Kebetulan SMS ugutan diterima oleh Datuk Rosol, bersama YB Abdul Halim dan YB Zakaria. ‘Tiga Abdul’ ini tentunya ada seorang yang paling bijak. Kalau dalam Filem Allahyarham Tan Sri Ramlee, antara Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub, ada seorang yang paling bijak…kekeke! Tahukan siapa yang pealing bijak itu? Yang bijak, bantulah polis Terengganu. Yang bodoh sikit, bantulah yang bijak membawa kereta, atau menunggu kereta yang bijak, supaya kerja mencari Dr. Ahmad Ramzi berjaya dan dia dapat diserahkan kepada Polis Terengganu.
Bukan bertujuan mahu menuduh atau menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah membuat keputusan siapa yang benar dan siapa yang salah, tetapi seluruh rakyat Terengganu seharusnya terkejut apabila bekas calon BN di Parlimen Marang ini, Dr. Ahmad Ramzi tiba-tiba hilang.
Maklumlah, kepandaian Dr. Ahmad Ramzi kerana berkelulusan PhD dalam bidang ‘strategik politik’ mungkin merupakan satu-satunya ‘anak Terengganu’ (ini bukan jarang anak Melayu) malahan, mungkin dialah satu-satunya pakar strategik politik yang diperlukan oleh Idris ketika menjadi Menteri Besar dahulu.
Bayangkan, betapa sedihnya Geng 10 apabila Dr. Ahmad Ramzi tiba-tiba hilang? Ini bukan kisah kanak-kanak yang hilang ketika mengikut ibubapa mereka ke expo buku dan pasaraya. Ini kehilangan seorang anak Melayu yang mempunyai kepakaran.
Ruginya Negeri Terengganu jika kehilangan anak Terengganu yang mempunyai kepakaran ini tidak dicari. Bagaimana agaknya Geng 10 hendak bergerak selepas ini, kerana yang hilang ini bukan calang-calang pakar. Ini bukan seorang ‘pakar cap ayam’ tetapi pakar yang pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu. Pernah dipilih menjadi calon BN di kawasan Parlimen Marang. Khabarnya ketika ini sedang ‘bertugas’ di salah satu biro di Ibu Pejabat Umno.
Tidak tahulah pula, gajinya dibayar oleh Umno Malaysia atau dia bekerja sukarela tetapi khabarnya ‘kepakarannya’ amat-amat diperlukan bukan sahaja oleh Geng 10 tetapi oleh Ibu Pejabat Umno Malaysia.
Cuma, amatlah malang jika kepakaran yang Dr. Ahmad Ramzi ada, digunakan untuk mencipta kad sim klon dan menghantar SMS bernada ugutan, hingga menyebabkan 10 ADUN di Terengganu terpaksa berkumpul di Felda Residen, Kuala Terengganu kerana khuatir akan keselamatan masing-masing.
Mereka tidak ke siding DUN Terengganu pada 13 April 2009 kerana bimbang akan keselamatan mereka. Walaupun yang menerima SMS ugutan itu hanyalah Tiga Abdul tetapi yang terpaksa menjaga keselamatan diri masing-masing, kerana anak-anak masih kecil-kecil, hutang masih banyak dan isteri masih comel, termasuk tujuh lagi ADUN yang akhirnya berjumlah 10 ADUN.
Khabarnya, Geng 10 yang berniat mahu memboikot sidang DUN Terengganu bukan jenis ADUN cap ayam. Semua hebat-hebat belaka. Mungkin tidak ada yang hanya berkelulusan SRP dan SPM, malahan, semuanya berkelulusan tinggi, walaupun tidak setinggi kelulusan Dr. Ahmad Ramzi.
Maka, ada penulis sebelum ini yang menulis dengan nada kesal kerana pihak polis lambat menyelesaikan penyiasatan SMS bernada ugutan yang diterima tiga ADUN, sepatutnya disanjung dan ekoran dari tulisan itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu sudah menjelaskan polis sedang mengesan Dr. Ahmad Ramzi dan waran tangkap akan dikeluarkan jika Dr. Ahmad Ramzi gagal dikesan dalam masa 72 jam,
Hari ini, sedikit demi sedikit kebenaran sudah muncul dan kebatilan akan diketahui juga. Walaupun perbuatan salah dibuat oleh seseorang yang betaraf pakar (ini tidak dikaitkan dengan kelulusan dan kepakaran Dr. Ahmad Ramzi), tetapi apabila kebenaran muncul, segala kebatilan akan terhapus jua.

Tiada ulasan: