Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
SALAH seorang penyokong kuat bekas MB Terengganu, Idris Jusoh, Datuk Rosol Wahid berkata dalam sebuah akhbar harian (Sinar Harian Khamis 21 Mei 2009), dia tidak mahu jadi MB Terengganu kerana tahu kemampuan dirinya.
Kenyataan Rosol ini dibuat mungkin kerana ada beberapa pihak menyebut, ketika kemelut politik Terengganu sedang bergelora, Rosol dilihat antara orang politik yang terkedapan menentang kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai MB Terengganu sekarang.
Dalam masa yang sama, Rosol, bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu turut mengulangi kenyataannya bahawa sebaik sahaja Idris tidak menjadi MB Terengganu lagi, dia terus melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha perhubungan.
Barangkali tujuan dia bercakap mengenai perletakan jawatannya itu ada kaitan dengan perlantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Perhubungan yang ‘sepatutnya’ menyebabkan Setiausaha perhubungan sekarang, Datuk Rosli Mat Hassan juga melepaskan jawatan Setiausaha perhubungan seperti yang pernah dia lakukan.
Dalam kemelut yang Geng 10 mulakan di Terengganu, cakap-cakap yang berupa serangan kepada kepimpinan Datuk Ahmad Said sebenarnya turut menyerang Datuk Rosli Mat Hassan yang didakwa sebagai ‘orang kanan yang paling berkuasa’ kepada Datuk Ahmad.
Ada satu cerita, entah betul entah tidak, tetapi elok dicatatkan di sini, bahawa Rosol pernah bercakap kepada seseorang di Terengganu, jika pihak istana tidak mahu Idris Jusoh jadi MB, ‘akulah’ (Rosol) yang akan mengambil tempat Idris. Cerita dari mulut ke mulut ini tidak boleh dibuktikan tetapi, menurut orang yang bercerita, Rosol memang pernah menunjukkan dirinya sendiri adalah bakal MB Terengganu jika Idris ditolak.
Malahan, satu ceirta lain pula memberitahu, Rosol adalah ADUN yang paling berani menggegar (mengoncang pintu pagar istana) ketika majlis angkat sumpah dibatalkan kerana mahu mendesak istana mesti menerima Idris sebagai MB Terengganu.
Tidak tahulah sejauh mana kebenaran cerita ini tetapi jika ia benar, malanglah nasib Rosol kerana ketika dia mendewa-dewakan Idris sebagai pemimpin Terengganu yang bertaraf dunia, dia terlupa bahawa dunia tidak menerima Idris, kalau orang Terengganu sendiri menolak Idris.
Hari ini, ketika Rosol mengatakan dia tidak berhasrat mahu menjadi MB Terengganu, ramai yang bertanya, adakah Rosol mahu Idris kembali menjadi MB Terengganu kerana setakat ini tidak nampak Rosol faham prinsip kepartian.
Kata mereka, adakah Rosol lupa, ketika dia menjadi calon dalam pilihan raya, bukan kerana dia hebat dan kelulusannya tinggi tetapi kerana Umno, dia di situ. Jika dia sedar kerana Umno dia di situ, kenapa dia tidak mempertahankan institusi kepimpinan Umno itu dengan membuat pelbagai karenah hingga menyebabkan Presiden Umno terpaksa melantik salah seorang Naib Presiden menjadi Pengerusi perhubungan?
Umno ini adil. Umno ini banyak berjasa kepada rakyat, termasuk Rosol. Ketika Rosol menjadi Timbalan Ketua Umno Bahgaian Hulu Terengganu, Rosol dipilih bertanding dalam pilihan raya. Apabila Rosol menang, Rosol dilantik menjadi Exco.
Namun, Umno tidak pula mendesak Rosol yang gagal mempertahankan kerusi timbalan ketua bahagian mengosongkan kerusi ADUN Ajil yang disandangnya kerana Umno tidak zalim sebegitu rupa.
Malangnya, ada ADUN-ADUN di Terengganu yang naik kerana Umno, tetapi apabila ‘tokoh bertaraf dunianya’ tidak dikekalkan sebagai MB Terengganu, mereka pusing ke seluruh negeri, mencerca kepimpinan Umno Negeri Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu, kononnya gagal mentadbir negeri.
Apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka idamkan, mereka mahu merosakkan segala-galanya hingga pucuk pimpinan di peringkat Pusat terpaksa campur tangan, kononnya mahu membantu Terengganu daripada terus bergelumang dengan kemelut.
Ada yang tidak tidur malam apabila Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengesahkan tidak ada pertukaran MB Terengganu ketika ini kerana ‘perjuangan mereka’ mahu menukar MB Terengganu.
“Siapa pun kami boleh terima asalkan bukan Datuk Ahmad Said,” kata mereka kepada beberapa teman mereka di Kuala Lumpur.
Malangnya, cerita yang mereka cipta ini mendapat perhatian Kuala Lumpur. Jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu bertukar tangan. Datuk Ahmad Said yang sebelum ini adalah Pengerusi Badan Perhubungan digantikan dengan Hishammuddin.
Khabarnya, apabila nama Hishammuddin diumumkan menjadi Pengerusi Perhubungan, melompat-lompat gembira seorang dua bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu dalam era Idris Jusoh menjadi MB, kononnya mereka yakin boleh menghasut Hishammuddin supaya merombak kepimpinan Umno negeri, habis-habisan.
Mereka yakin, Hishammuddin boleh mereka bohongi dengan menambah-nambah cerita buruk Datuk Ahmad dan jika Hishammuddin terpengaruh dengan cerita mereka, mereka anggap itu suatu kejayaan buat mereka.
Selain SMS, mereka berusaha berjumpa sendiri dengan Hishammuddin. Selain mempengaruhi pegawai-pegawai Hishammuddin, mereka berusaha terus menerus menjaja cerita kononnya Datuk Ahmad Said perlu digantikan dan Datuk Rosli Mat Hassan mesti diberhentikan dari jawatannya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan.
Ada blogger yang pro bekas Exco ini menggunakan blog mereka untuk menyerang Datuk Ahmad dan Datuk Rosli dengan alasan jika tidak berjaya ‘buang’ Datuk Ahmad sebagai MB Terengganu, ‘buang’ Datuk Rosli sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu pun sudah memadai.
Bak kata pepatah, tak dapat tanduk, telinga pun dia pulas. Jika tanduk itu Datuk Ahmad Said, telinga itu adalah Datuk Rosli.
Rosol terlibat atau tidak dengan gerakan ini, tiada siapa yang boleh mengesahkannya . Begitu juga dengan Idris Jusoh. Sama ada dia tahu atau tidak semua cerita ini, tiada siapa yang boleh mengesahkannya.
Cuma, jika benarlah ad aura-ura mahu menghantar Idris menjadi ‘duta’ ke mana-mana sahaja negara di dunia ini, masalah politik di Terengganu akan selesai dan Idris yang didewakan sebagai seorang pemimpin Terengganu bertaraf dunia akan dapat membuktikan bahawa dia memang pemimpin dunia yang tidak lagi diperlukan oleh Umno Terengganu.
Sabtu, 23 Mei 2009
Rosol kata dia tak mahu jadi MB Terengganu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan