Ahad, 24 Mei 2009

MB Perak : Apa yang Nizar kejar?


Oleh Malek Saiful Muda

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata dia tidak terkejut menerima keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kedudukan Menteri Besar Perak, kerana ia sudah dijangka.
Malangnya, ketika Nik Aziz menjangka keputusan akan memihak kepada kebenaran, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masih tidak dapat menerima hakikat tersebut.
Malahan, dia sudah membayangkan untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan sebagai menghabiskan proses undang-undang, ketika dia selalu mempertikaikan ketelusan hakim dan mahkamah apabila keputusan tidak memihak kepadanya.
Serentak dengan itu, amatlah baik jika Nik Aziz sebagai orang tua dalam Pas menasihatkan penyokong-penyokongnya, belajarlah menerima hakikat bahawa 28 kerusi ADUN di Perak adalah kumpulan minoriti manakala 31 kerusi DUN adalah majoriti.
Sehingga hari ini, mereka yang berada di pihak minoriti sedaya upaya mahu membubarkan DUN, termasuk Naib Presiden Pas, Husam Musa menulis surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir supaya mempersembahkan kepada Paduka Seri Sultan Perak untuk DUN Perak dibubarkan.
Kononnya, mereka mahu bergayut kepada ‘rakyat’ kononnya jika DUN dibubarkan, rakyat akan menjadi hakim. Mereka sedar, rakyat sudah mereka tipu dengan cerita kononnya BN merampas kuasa di Perak dan siding DUN Perak yang di bawah pokok adalah sidang yang sah.
Ketika DAP tahu Speaker DUN Perak kini sudah bertukar dari V. Sivakumar kepada Datuk Ganesan, masih ada yang mahu bercakap, kononnya Speaker lebih berkuasa dari semua makhluk di dunia ini hingga dia tidak boleh dipecat.
Sebenarnya Speaker pun dilantik oleh ADUN-ADUN. Apabila ADUN-ADUN sudah memilih Ganesan secara suara majoriti (ulang : majoriti) mengapa masih ada ADUN di kalangan minoriti (diulang : minoriti) boleh mendabik dada kononnya dia masih Speaker?
Orang Pas mungkin tahu, kalau mereka tinggal 28 kerusi, mereka kurang dari 31 tetapi disebabkan Pas ni berkawan dengan DAP dan PKR, maka mereka seperti tidak pandai mengira pula sekarang.
Dulu, ketika mereka mendapat 31 kerusi, mereka mengakui mereka adalah ‘majoriti’ di DUN Perak tetapi apabila mereka sudah tinggal 28 kerusi, macam mana mereka boleh mengatakan mereka masih majoriti?
Apakah mereka tidak malu dengan budak-budak sekolah rendah yang sudah tahu jawapan, antara 28 dengan 31, yang mana lebih besar? Tentulah jawapannya 31 lebih besar tetapi disebabkan DAP dan PKR bersama Pas, maka mereka tidak nampak langsung yang 31 ‘suara’ itu sudah bersama-sama BN.
Rasanya mustahil orang Pas tidak tahu bahawa BN sudah menguasai DUN Perak. Mereka tahu tetapi bagi menjaga hati DAP dan PKR, maka mereka bersetuju mengatakan 28 itu adalah lebih besar dari 31.
Mohamad Nizar tentunya tahu, walaupun buat seketika Mahkamah Tinggi memutuskan dia adalah Menteri Besar yang sah, tetapi mustahil Mohamad Nizar tidak tahu bahawa dia sudah tidak menguasai suara majoriti dalam DUN Perak.
Bukan main seronok Mohamad Nizar apabila dapat masuk semula ke Pejabat Menteri Besar. Cukup cepat dia menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang walaupun dia tahu, bukan kuasa dia untuk menggantung dan memecat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang.
Mungkin Mohamad Nizar mencontohi tindakan bekas Speaker Perak, V. Sivakumar yang memecat serta-merta Setiausaha Dewan, Abdullah Atong Sabri walaupun V. Sivakumar tentunya tahu, untuk memecat dan menggantung tugas seseorang pegawai kerajaan, ada peraturan dan perintah yang perlu diikuti.
Hari ini, rakyat Perak perlu tahu, apakah sebenarnya yang Mohamad Nizar kejar? Adakah dia mengejar kedudukan sebagai Menteri Besar? Kalau dia bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar semula, masuklah DAP. Kebetulan DAP tidak ada calon Melayu di Perak, selepas Fadzlan Yahaya sudah tidak aktif lagi.
Bubarkan sahaja Pas di Perak. Ajak penyokong Pas menyertai DAP. Itu yang sepatutnya Pas dan Mohamad Nizar buat. Bukan buat desakan supaya DUN Perak dibubarkan. Buatlah sesuatu yang kita boleh buat tetapi kenapa nak buat sesuatu yang di luar kemampuan kita?
Nizar dilihat lebih patuh kepada DAP daripada patuh kepada Pas. Maka, lebih baik jika Nizar masuk DAP dan tinggalkan Pas. Kalau Nizar dalam DAP, tiada siapa yang akan mempertikaikan tindak-tanduk Nizar sebagai ‘pejuang DAP’.
Malahan, tidak mustahil, jika Mohamad Nizar berada dalam DAP, jawatannya lebih tinggi dari apa yang dia sandang dalam Pas. DAP pastinya akan menyanjung Mohamad Nizar jauh lebih baik dari sanjungan yang Mohamad Nizar terima dalam Pas.
Mohamad Nizar akan diterima oleh DAP tanpa apa-apa halangan kerana sudah banyak jasa Mohamad Nizar curahkan kepada DAP selama dia berkawan rapat dengan DAP. Malahan, ramai yang percaya Datuk Nik Aziz tidak akan menghalang Mohamad Nizar meninggalkan Pas dan menyertai DAP sebagaimana Nik Aziz tidak menghalang Nga Kor Ming menyebut sepotong ayat al-Quran ketika memberi ceramah politik.
Seluruh rakyat Perak sudah sewajarnya mengadakan sholat sunat bagi menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah yang sudah memperlihatkan kebenaran dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan.
Dengan keputusan tepat ini, rakyat tentunya faham bahawa Mahkamah Rayuan lebih faham dari orang-orang Pas, DAP dan PKR bahawa apabila Sultan Perak sudah melantik Menteri Besar yang baru, ia memberi erti, Menteri Besar yang ada kenalah berhenti atau tersingkir kerana Menteri Besar yang ada itu sudah kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Tiada ulasan: