Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
KENYATAAN Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu akan diserahkan semula kepada pucuk pimpinan negeri itu apabila semua pihak sedia menyelesaikan kemelut politik yang dihadapi, menunjukkan ‘ada sesuatu’ yang masih terlindung dan perlu dibongkar.
Berita Harian, Selasa 28 April 2009 melaporkan ‘Pulang jawatan Pengerusi Umno jika atasi kemelut’ memberitahu Naib Presiden Umno itu yang kini mengetuai Perhubungan Umno Negeri meminta Umno negeri meminta kumpulan bertelagah mengutamakan kepentingan parti berbanding manfaat peribadi.
Kalau Hishammuddin sanggup mencari apa sebenarnya masalah yang berlaku, tentunya tugas utama beliau ialah menyiasat kenapa ada 10 ADUN memboikot persidangan DUN Terengganu baru-baru ini. Boikot adalah suatu kesalahan besar kerana jika pun 10 ADUN ini tidak bersetuju atau ingin memaksa individu atau institusi menerima syarat tertentu, bukan dengan memboikot persidangan DUN.
Kalau ada rasa tidak puashati, mengapa persidangan DUN diboikot? Adakah orang seperti ini perlu dikekalkan lagi bertanding dalam pilihan raya umum akan datang?
Umno Terengganu tidak ada apa-apa masalah sebenarnya. Ia bermula daripada tindakan Datuk Seri Idris Jusoh yang membuang seramai mungkin ketua bahagian daripada menjadi calon dalam PRU 12 yang lalu. Apabila Idris ‘dibuang’ dia macam terkejut pula. Ketika dia membuang orang, dia tidak terkejut tetapi apabila dia dibuang, dia terkejut.
Disebabkan Idris terkejut, maka tentulah ramai juga ADUN-ADUN yang terkejut sama. Ini kerana semua ADUN yang terpilih bertanding dalam PRU 12 yang lalu adalah pilihan Idris. Mana mungkin mereka tidak terkejut kerana Idris yang memilih mereka pun terkejut sama. Cerita terkejut ini sepatutnya tidak berpanjangan kalau masing-masing tahu prinsip dan etika kehidupan di dunia. Di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.
Hari ini, kebetulan Datuk Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar. Berilah peluang kepadanya membuktikan kebolehannya. Sokonglah beliau dengan penuh rasa tanggungjawab kerana beliau tidak pernah minta dilahirkan untuk menjadi Menteri Besar. Tetapi apabila diberi kepercayaan itu, kenapa kita sebagai manusia biasa, mahu menghalangnya dengan memboikot persidangan DUN?
Pucuk pimpinan Umno perlu lebih bertegas. Tindakan disiplin perlu diambil ke atas 10 ADUN yang memboikot persidangan DUN ini. Kalau dibiarkan, mereka mungkin melakukannya lagi. Atau, kebodohan mereka ini akan dicontohi pula oleh ADUN-ADUN dari negeri-negeri lain.
Menurut kata Hishammuddin, beliau mengenali semua pemimpin Terengganu secara dekat. Beliau sudha mula pantau dan hubungi mereka untuk mendapat pandangan. Semua memberi beliau maklumat balas yang amat menyakinkan, malah komen daripada ahli biasa pun cukup menggalakkan.
“Saya percaya, insya-Allah, apa juga yang keruh dapat dijernihkan supaya saya dapat laporkan perkembangan yang baik kepada Presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) dan Tuanku (Yang di-Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin)
“Nasihat saya, jangan heboh, letak parti dan negeri sebagai keutamaan. Ingat, saya tak akan layan pertimbangan peribadi atau individu tertentu supaya tugas saya lebih mudah ditunaikan,” beliau dipetik sebagai berkata.
Satu perkara yang Hishammuddin perlu ambil kira (saya ulang: ambil kira) ialah jangan terpedaya dengan cerita ahli Umno (baca: bekas pemimpin yang tewas di peringkat bahagian) yang kononnya Nampak ikhlas mahu memperkuatkan Umno tetapi tindak-tanduk mereka, berlainan dari apa yang diperkatakan.
Ada di antara ADUN yang 10 orang ini, sibuk dengan kolam ikan tetapi di luar akan bercakap soal ‘kasih dan sayangnya kepada Umno dan negeri’. Ada juga diantara ADUN ini bercerita kononnya dia sepatutnya sudah jadi Menteri dalam kabinet yang baru Najib susun tetapi disebabkan ada orang yang menghalangnya, maka dia terlepas peluang itu.
Hishammuddin perlu tahu, semua cerita-cerita itu mahu menunjukkan bahawa mereka ini, yang terlibat dalam memboikot persidangan DUN semuanya baik-baik belaka, sebaliknya yang bersama-sama Menteri Besar, berada di sebaliknya.
Mereka yang memang di peringkat bahagian, sama ada mempertahankan jawatan atau yang berlawan, dianggap sebagai ‘jahat’ manakala yang kalah di peringkat bahagian, mahu digambarkan sebagai ‘baik’. Mungkin mereka akan menjaja cerita, semua yang menang (kecuali Idris Jusoh) kerana politik wang tetapi mereka yang kalah, tidak mempunyai wang untuk ditaburkan!
Din Adam dan Zakaria Ariffin tentunya ‘faham’ apa yang dimaksudkan di sini kerana Din dan Zakaria kebetulan tewas di Dungun.
Tanpa apa-apa galakan dan dorongan dari seseorang yang dianggap sebagai ‘pemimpin bertaraf dunia di Terengganu’ mustahil Datuk Rosli Mat Hassan ditentang di Dungun, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilawan di Hulu Terengganu oleh Mohd Nor Othman, Datuk Jidin Shafie diserang di Setiu oleh Ramlan Ali (salah seorang Geng 10) dan Datuk Nasir Ibrahim Fikri hampir-hampir tumbang di Kuala Nerus apabila Basir menentangnya bersama-sama Che Azmi Abd Rahman.
Inilah ‘sejarah’ yang Hishammuddin perlu cari dan gali. Kalau ‘sejarah’ ini mahu diupakan begitu sahaja, nescaya ia akan berulang lagi nanti dan masalah yang dikatakan melanda Terengganu, akan berterusan.
Kalau benar seperti yang dilaporkan Berita Harian tulisan dua wartawan Magendran Rajagopal dan Shaarani Ismail bahawa kemelut Umno Terengganu berpunca daripada persaingan kumpulan penyokong bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dengan pentadbiran sekarang yang bemula sejak Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Said menjawat jawatan itu sepelas pilihanraya umum lalu pada 8 Mac 2008.
Jadi, jelaslah di sini, bukan Datuk Ahmad Said yang bersalah tetapi ‘ada persaingan’ antara kumpulan penyokong bekas Menteri Besar. Apa lagi yang bekas penyokong bekas Menteri Besar mahu ‘saingi’ sebenarnya? Apa lagi yang mahu mereka rebut sebenarnya? Apa lagi yang mahu mereka perjuangkan sebenarnya? Apa lagi yang mereka cari sebenarnya?
Kalau difikir secara mudah, tidak ada apa-apa kemelut politik Umno di Terengganu kalau Geng 10 tahu dan faham bahawa mereka sekarang berada di era peralihan. Biasalah, bukan semua boleh dapat apabila berlaku pertukaran pucuk pimpinan. Bukan semua boleh jadi Exco, bukan semua bleh jadi orang penting dan bukan semua boleh nikmati seperti sebelum berlaku pertukaran ini.
Tetapi, janganlah Geng 10 menafikan mereka masing-masing masih lagi menjadi Pengerusi Syarikat-Syarikat GLC walaupun perkara ini ingin mereka sembunyikan dari pengetahuan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno.
Sabtu, 2 Mei 2009
Hishammuddin kena cari apa masalah sebenar Umno Terengganu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan