Oleh Abdul Wahab Idrus
SEBAIK sahaja selesai mengadakan pertemuan dengan semua ketua bahagian dan ADUN-ADUN dari Terengganu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata;
“Semua pemimpin dan ahli Umno Terengganu sepakat untuk meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan dan melupakan segala perselisihan yang mungkin tercetus selama ini.”
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu tidak sempat ke Kuala Terengganu kerana kesibukan barangkali dengan mengarahkan semua ketua bahagian dan semua ADUN (BN) datang berjumpa dengan dia di Pejabat Menteri Dalam Negeri, di Putrajaya.
Berbeza dengan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, kedua-kedua pemimpin ini turun ke Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk mempengerusikan mesyuarat Umno dan berjumpa ketua-ketua bahagian, Hishammuddin memilih untuk dia menunggu di Putrajaya, ketua-ketua bahagian dan ADUN-ADUN yang datang ke pejabatnya di Putrajaya.
Dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Pulau Pinang) dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal (Kedah) juga turun ke Pulau Pinang dan Kedah untuk memulakan mesyuarat kerana mereka semua barangkali tidak sesibuk Hishammuddin.
Selepas ini, mungkin Datuk Seri Mohd Najib terpaksa memikirkan semula sama ada Hishammuddin perlu terus menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu atau tidak kerana dia terlalu sibuk.
Kata Hishammuddin lagi, dia berpuashati kerana semua pihak bersetuju supaya sebarang persepsi mengenai perpecahan dalam Umno Terengganu dihapuskan segera.
“Alhamdulilah, semua pihak sedar bahawa kepentingan parti dan negeri diberi keutamaan.
“Persepsi sama ada benar atau tidak berlaku perpecahan dan wujud puak-puak tertentu dalam parti perlu dikikis,”katanya.
Sebelum itu, barisan kepimpinan Umno Terengganu termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar yang juga ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang dikatakan ‘orang kesayangan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Patrick Lim’ mengadakan pertemuan buat pertama kali di Putrajaya.
Dalam perkembangan yang sama, Hishammuddin dikatakan akan mengumumkan perlantikan Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari Umno Negeri Terengganu yang baru, bagi memastikan Umno Terengganu mula bergerak kea rah membuat persiapan menjelang pilihan raya umum ke 13.
Menurut Hishammuddin, semua pihak juga bersetuju bahawa matlamat perjuangan parti hanya akan tercapai sekiranya Umno terus berpegang kepada perkara-perkara pokok seperti kesetiaan kepada raja, akur kepada pucuk pimpinan dan negara serta mengutamakan masa depan rakyat.
“Saya mengarahkan mereka supaya dalam masa terdekat turun ke bahagian masing-masing dan sampaikan mesej ini kepada akar umbi.
“Ini merupakan titik permulaan kepada penyusunan dan merapatkan semula barisan di Terengganu sebagai persediaan menjelang PTU 13 nanti,” ujarnya.
Namun, banyak pihak kecewa dengan desas-desus yang mengatakan Hishammuddin terpengaruh dengan cerita-cerita dari Geng 10 kononnya jika Ahmad Said tidak digantkan, pecatlah Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Rosli Mat Hassan, Ketua Penerangan, Datuk Zubir Embong dan Bendahari, Datuk Roslan Awang Chik bagi memberi tempat kepada anggota Geng 10.
Secara rambangnya banyak pihak meramalkan Hishammuddin akan melantik Datuk Din Adam, bekas Exco Kerajaan Negeri yang tewas dalam usahanya merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri bagi memberi muka kepada Geng 10.
Khabarnya, Hishammuddin juga cukup yakin dengan Idris Jusoh yang dikatakan cukup hebat dan layak digelar pemimpin bertaraf dunia yang tidak pernah pun hadir mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri sepanjang Datuk Ahmad Said menjadi pengerusi.
Geng 10 yang menimbulkan masalah, dikatakan akan diberi macam-macam jawatan bagi menutup mulut mereka dari terus menyerang Datuk Ahmad Said kerana sebahagian besar dari anggota Geng 10, adalah di kalangan mereka yang ditolak di peringkat bahagian.
Serentak dengan itu, beberapa pihak menanti dengan penuh debaran apakah benar jika mahukan jawatan, timbulkan masalah.
Geng 10 dikatakan akan ‘dimaafkan’ kerana enggan menghadiri sidang DUN Terengganu walaupun itu adalah satu kesalahan besar yang perlu dikenakan tindakan.
Malahan, khabarnya Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zuber yang dikaitkan dengan penghantaran SMS bernada ugutan juga dikatakan mungkin tidak akan didakwa kerana kepakarannya dalam strategi politik yang selama ini digunapakai Idris dikatakan lebih diperlukan daripada mendakwanya kerana isu penghantaran SMS.
Datuk Rosol Wahid khabarnya bakal dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Negeri kerana kebolehannya menyusun ‘road show’ seperti yang pernah dilakukannya ketika mahu menyerang Datuk Ahmad Said.
Kesemua Geng 10 yang berketuakan Idris Jusoh khabarnya sudah bersiap sedia untuk memulakan langkah terbaru, menguasai semua Umno Terengganu di bawah Hishammuddin kerana mereka yakin Idris tetap pemimpin bertaraf dunia yang dikagumi Datuk Seri Mohd Najib, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Hishammuddin.
Tidak hairanlah, jika di Mara, Idris yang dilantik oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Pengerusi Mara khabarnya sedang menyusun strategi untuk menjadikan Mara jauh lebih baik dari Jabatan Perdana Menteri kerana Idris yang dikatakan pemimpin bertaraf dunia sedang ‘mencorakkannya’.
Teori ini tidak pernah terbukti lagi tetapi sekadar mencari tempat untuk menunjukkan dia terlalu hebat sebenarnya. Kesihan Mara….di bawah Idris apakah yang bakal terjadi.
Ahad, 24 Mei 2009
Hishammuddin kata Umno Terengganu sepakat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan