Khamis, 17 Oktober 2013

PRK DUN Sungai Limau

Orang Umno Kena Tutup Mulut

PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Tun Dr Mahathir mengesahkan sudah menghantar empat nama calon kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, untuk dipilih seorang darinya mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau nanti.

Bercakap di Kuala Kangsar, Mukhriz memberitahu, Muhyiddin akan berbincang dengan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN untuk diumumkan nama calon yang terpilih dua hari sebelum hari penamaan calon 23 Oktober depan.

Keempat-empat nama yang dicalonkan itu kini bolehlah berdoa, berikhtiar, melobi dan melakukan apa sahaja agar nama mereka terpilih sebagai calon.

Biasalah, sesiapa sahaja yang disenaraikan, boleh melakukan ikhtiar untuk memastikan nama mereka lepas.
Seorang pemerhati politik berkata, mereka juga boleh berjumpa dukun, bomoh atau orang alim yang mereka yakini mampu “mengapungkan” nama mereka, sebelum Muhyiddin mengumumkannya secara rasmi.
Cuma, sebaik sahaja Muhyiddin mengumumkannya selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, kesemua mereka yang tidak terpilih, termasuk penyokong mereka, perlulah tutup mulut dan berhenti daripada berikhtiar, melobi dan menceritakan perkara-perkara yang tidak perlu.

“Saya lihat, dalam Umno, inilah perkara yang paling sukar dilakukan. Tutup mulut dan akur sesiapa sahaja yang terpilih,” kata seorang peniaga kedai makan di Sungai Petani yang mengaku dia pengundi di DUN Sungai Limau.

Orang Umno dan para penyokong Umno kena belajar disiplin ini, katanya berkali-kali. Umno dan BN akan selamat dan menang mudah di Sungai Limau kali ini, jika semua ahli Umno, semua orang Umno dan semua penyokong Umno akur serta patuh dengan keputusan pucuk pimpinan.

Menurutnya, setiap seorang Muslim mestilkah yakin jika nama mereka terpilih, bererti ia suatu tanggungjawab yang harus dipikul. Tetapi jika namanya tidak terpilih, bererti Allah tidak mengizinkannya.
Bekerjalah bersungguh untuk berjumpa dengan setiap pengundi dan beri keyakinan kepada pengundi bahawa BN kini sudah bersedia memikul tanggungjawab menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Sungai Limau yang selama ini diwakili oleh wakil rakyat PAS.
Insyaallah, BN menang kali ini dengan kerjasama semua pihak, khususnya ahli parti yang masih segar dengan transformasi pemilihan di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi (MT).

“Saya kagum dengan penyokong parti pembangkang. Bila ketua mereka membuat pengumuman, mereka terus bekerja tanpa mempertikaikan siapa yang dinamakan itu. Mereka tidak bersetuju tetapi mereka meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan puak dan kumpulan masing-masing,” tambahnya.
Oleh yang demikian, peniaga kedai makan ini merayu semua pihak dalam Umno supaya melakukan perkara yang sama, menerima sesiapa sahaja yang bakal diumumkan sekaligus menghadiahkan kemenangan calon BN kepada Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Paduka Muhkriz dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.




Tiada ulasan: