Selasa, 24 Januari 2012

Melayu masuk DAP, murtadkah?

Oleh Ali Bin Khamis



TERGAMAM juga bila mendengar cabaran dari Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) Abu Bakar yang meminta DAP menyenaraikan berapa ramai orang Melayu yang sudah bersama-sama parti mereka, selain dari tiga orang yang mendapat liputan meluas baru-baru ini.

Apakah DAP mempunyai cukup keberanian menjawab cabaran KJ ini? Atau tiga-tiga orang Melayu yang terbaru menyertai DAP ini akan tampil menjawab sekaligus menyerang KJ dalam isu ini?

Melayu masuk DAP bukan murtad. Selama ini pun, mereka yang masuk DAP ini tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada Umno dan BN. Lebih baik mereka ini, seperti durian buang buruk, masuk DAP kerana mereka pun tidak layak menyertai PAS atau PKR.

Pertamanya, dalam PAS, biasanya bab sholat dan ibadat ini perkara paling penting. Mereka yang tidak menjaga sholat dan ibadat, lebih baik jagan masuk PAS kerana takut malu bila sampai waktu sembahyang, nanti bimbang ada yang beri alasan seluar mereka tidak bersih menyebabkan mereka tidak boleh sembahyang.

Jadi, bila masuk DAP, kata kawan-kawan yang pernah kenal dengan beberapa orang dalam DAP, minum arak perkara biasa. Tiada larangan langsung. Cuma, sesekali Lim Kit Siang akan tegur kalau orang Melayu dalam DAP minum arak, kalau dia nampak.

Sejauh mana kebenaran cerita ini, tidak boleh sesiapa mengesahkan kerana ia cerita dari mulut ke mulut. Nak percaya boleh, tak percaya pun boleh. Cuma, jangan sesiapa menuduh orang Melayu masuk DAP sebagai murtad. Cuma, dari segi adatnya, Melayu akan memilih antara Umno atau PAS.

Kalau DAP ada senarai yang panjang, eloklah dedahkan. Jawab cabaran KJ ini. Dalam Umno, nak cari seorang pemimpin yang berani dan cerdik macam KJ cukup susah. Berdebat pun beliau hebat walaupun surat khabar yang pro Umno sendiri kurang mahu memberi peluang dan publisiti kepada KJ.

Umno akan kerugian besar kalau KJ ini disisihkan. Inilah pemimpin pelapis yang mempunyai pandangan yang agak luas dan betul-betul pandai membaca kemahuan anak-anak muda. Apa yang beliau lakukan terhadap “peluang-peluang mencari kerja” kepada mahasiswa cukup berkesan.

Mana ada pemimpin lain yang muda-muda atau yang tua-tua mempunyai fikiran dan strategi macam KJ ini?

Berbalik kepada Melayu masuk DAP, kalaulah mereka boleh menjadi MB di Pahang dan Negeri Sembilan selepas ini, baguslah. Sekurang-kurangnya MB Pahang dan Negeri Sembilan masih lagi orang Melayu walaupun mereka tidak mewakili parti Melayu.
Tetapi kalau mereka hanya menjadi alat dan perkakas DAP, malanglah Melayu yang mempunyai perangai masuk parti kerana emosi ini. Tapi, apa boleh buat, ini pilihan mereka dan mereka berhak menentukan hala-tuju politik diri mereka selepas mereka duduk dalam Umno, hanya menjadi sampah yang dibuang merata-rata.

Mereka bertiga ini tidak ada nilai di dalam Umno. Kalau mereka bernilai, tentulah mereka diberikan peranan sama dan setaraf dengan nilai mereka itu. Tetapi mereka ini bukan sahaja tidak bernilai sebaliknya, tidak ada sesiapa pun yang perasan kehadiran mereka di dalam Umno.

Itulah sebabnya, mereka mencari tempat baru, yang mungkin meletakkan nilai mereka sedikit tinggi daripada nilai mereka di dalam Umno. Itu yang mereka cari barangkali. Tetapi kalau niat mereka lain dari itu, saya tidak tahu kerana itu antara mereka dengan Allah.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini sering dikatakan membelasah Umno di dalam tulisan-tulisan mereka. Pun saya tidak pasti kerana saya tidak mengikuti blog mereka dan jauh sekali membaca tulisan mereka. Kecuali seorang, yang dua lagi itu bukan penulis tetapi menjadi penulis “jadi-jadian”. Bila mereka rasa tulisan mereka popular, mereka menjangkakan mereka juga sudah semakin popular.

Usahlah kita bercakap soal bersyukur di sini. Ada yang pernah jadi ADUN atas tiket BN dan ada juga yang pernah bertanding atas tiket Semangat 46 sebelum masuk DAP. Mereka ini bersyukur juga tetapi mungkin cara mereka bersyukur berbeza dengan bersyukur yang kepimpinan BN mahu.

Mungkin bersyukur mereka selepas mereka meninggalkan Umno dan menyertai DAP. Mereka percaya budi yang mereka makan dan terima selama ini, adalah hasil perjuangan DAP dan inilah masanya mereka nak membalas budi DAP itu.

Saya juga suka kalau DAP dapat mendedahkan siapakah lagi ahli DAP dari kalangan orang Melayu. Seperti cabaran KJ, supaya orang Melayu, Umno, BN, PAS dan PKR tahu siapakah Melayu bertuah itu. Dulu, saya pernah mengharapkan bekas MB Perak, Nizar Jamaluddin supaya masuk DAP kerana dia pandai bercakap Cina.

Tidak pula saya tahu dia berjiwa Cina atau tidak. Tidak juga saya tahu dia keturunan Cina atau tidak tetapi saya pernah terbaca satu tulisan yang mengatakan Nizar boleh berucap dalam Bahasa Cina. Itupun saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya tetapi saya yakin, bila saya tengok gambar dan wajah Nizar, dia memang ada mirip orang Cina.
Yang tiga orang Melayu masuk DAP baru-baru ini, saya tidak tahu apakah mereka beristerikan orang Cina atau tidak. Saya juga tidak tahu apakah mereka boleh berbahasa Cina atau tidak. Saya juga tidak tahu apakah mereka berketurunan Cina atau tidak. Yang pasti mereka kini sudah menyertai DAP, parti yang selama ini cukup dikenali sebagai sebuah parti Cina.

Mereka tidak boleh masuk MCA kerana mereka bukan Cina. Mereka boleh masuk Umno kerana mereka Melayu. Mereka boleh masuk PAS kerana mereka Islam. Dalam PAS ada Cina Islam dan ada India Islam.

KJ kena ulang-ulang lagi cabaran ini supaya DAP mendedahkan senarai nama Melayu yang sudah menyertai parti itu. Ramai nak tahu siapakah lagi orang Melayu yang sudah berdaftar dengan DAP dan mungkin dengan pendedahan tersebut akan menyebabkan lebih ramai orang Melayu menyertai DAP kerana meminati orang Melayu yang sudah mendahului mereka.

Sama-sama kita tunggu dan jangan mereka murtad sebelum menyertai DAP sudahlah.


Tiada ulasan: