Ahad, 24 Julai 2011

Kami jamin boleh bekal buku teks, DBP jawab ‘perang dingin’ Dawama

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberi jaminan pihaknya boleh membekalkan buku teks sekolah rendah dan menengah, nilainya mencecah jutaan ringgit, sebelum sesi persekolahan 2012 bermula meskipun terus dilanda ‘perang dingin’ dengan syarikat pencetak dan pengedar Dawama Sdn Bhd.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, pihaknya ada cara untuk menangani isu tersebut walaupun berhadapan dengan dilema untuk membekalkan buku teks bagi sesi persekolahan tahun depan tepat pada masanya.

“Saya boleh beri jaminan buku akan sampai di sekolah sebelum sesi sekolah dibuka ... itu saya boleh beri jaminan. Bagaimana kami akan lakukan, kami ada caranya ... kami ada cara,” kata beliau ringkas mengenai perkembangan isu membabitkan DBP dan Dawama.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

“Saya tahu mahu jawab, biar keadaan reda dulu,” kata beliau.

The Malaysia Insider difahamkan DBP telah menghantar notis perundangan kepada Dawama mengenai isu ini pada Mei lalu. Pengurusan Dawama pula dikatakan telah menjawabnya awal bulan ini.

Buku teks membabitkan kegunaan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Ia dilihat paling kritikal selain mencetak dan memasarkan 10 majalah bulanan DBP.

The Malaysian Insider membawa laporan akhir bulan lalu, antara lain menyebut bahawa DBP dan Dawama kini berhadapan dengan ‘perang dingin’ — dipercayai meruncing akhir Jun, di sebalik isu kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan agensi itu sejak beberapa tahun lepas.

The Malaysian Insider difahamkan pengurusan kedua-dua entiti itu kini memasuki satu persekitaran yang sangat parah dengan dikatakan tidak dapat bersemuka dalam menyelesaikan isu mereka, sekali gus meletakkan DBP dalam keadaan serba salah.

DBP merupakan agensi yang terletak di bawah pengawasan Kementerian Pelajaran.

Ekoran ‘perang dingin’ itu, satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, pengurusan DBP pula berhadapan dengan dilema, kemungkinan tidak dapat menyediakan bekalan buku teks sesi persekolahan 2012-2013 menjelang Ogos ini.

Selain itu, ekoran masalah ini DBP juga buat julung kali tidak dapat mengeluarkan 10 majalah bulanan mereka bulan ini.

Menurut sumber, pada kebiasaanya buku-buku teks akan diedarkan kepada sekolah di seluruh negara antara empat hingga lima bulan sebelum sesi baru bermula, bermakna mulai bulan depan.

The Malaysian Insider difahamkan DBP sedang mengambil langkah untuk menerbitkan buku-buku teks menggunakan pihak ketiga.

Sumber itu juga berkata, hubungan tidak mesra itu wujud selepas DBP memutuskan untuk melantik pihak ketiga bagi mencetak buku-buku teks agar ia dapat dibekalkan kepada sekolah menjelang Ogos.

Malah difahamkan ‘perang dingin’ DBP dan Dawama meruncing sehingga ke tahap menutup ‘pintu’ kepada pengurusan agensi itu ekoran selepas kata dua Termuzi baru-baru ini — yang memberi satu tempoh kepada Dawama agar melakukan penambahbaikan dalam mengatasi masalah kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan sejak beberapa tahun lepas.

Termuzi bagaimanapun tidak menyatakan tempoh yang diberikan kepada Dawama untuk memperbaiki prestasinya.

Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.

Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Awal Mei lalu, Gerakan Darurat Bahasa menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri dengan segera bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan bahawa ia mengalami kerugian berterusan dan sudah tidak lagi berintegriti.

Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan ketua pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

Gerakan Darurat Bahasa yang merupakan gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan agar mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan media sebelum ini menyebut, sejak 2002 DBP telah kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun.

Termuzi sebelum ini berkata, sebelum penswastaan, secara purata DBP menerbitkan sebanyak 300 judul buku baru setahun dan purata terbitan buku cetak ulang adalah sebanyak 290 judul setahun berbanding selepas penswastaan apabila hanya 250 judul diterbitkan setahun manakala bagi buku cetak ulang sebanyak 95 judul sahaja yang diterbitkan.

Katanya, sebelum penswastaan itu juga hasil jualan bahan terbitan DBP pernah mencapai sehingga RM35 juta, malahan majalah Dewan Masyarakat misalnya, pernah mencecah jualan sehingga 150,000 naskhah.

Dawama ditubuhkan pada Oktober 1999 untuk mengambil alih aktiviti-aktiviti DBP yang diswastakan iaitu kerja pracetak, reka bentuk, percetakan, pengedaran dan pemasaran penerbitan DBP dan telah memulakan operasinya sepenuhnya pada 1 September 2002.

Tiada ulasan: