Jumaat, 17 Disember 2010

Sulaiman Taha…Semoga Aman Di Sana






Oleh Daud Haji Ibrahim

MENERIMA sms dari Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenggara, Abd Halim Abd Jalil memberitahu Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia menyebabkan saya tergamam tiba-tiba.
Maklumlah, sejarah hubungan saya dengan Allahyarham Sulaiman, Ketua Umno Bahagian Labis dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tenang bermula sejak 20 tahun lalu.
Allahyaham cukup banyak membantu saya dan bertanggungjawab menemukan saya dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang ketika itu adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan Menteri Belia dan Sukan.
Setiausaha Politik Datuk Seri Mohd Najib ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Pertemuan antara saya dengan Datuk Seri Mohd Najib yang berlangsung selama 30 minit, membina persahabatan antara saya dengan Perdana Menteri, hingga kini.
Allahyarham yang menjawat jawatan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno ketika itu, sering belanja saya makan nasi bungkus di pejabatnya, Tingkat 37 Menara Dato’ Onn.
Dalam waktu yang sama, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat adalah Setiausaha Agung Umno. Pernah sekali Tok Mat menegur Sulaiman di depan saya, Allahyarham Sulaiman tidak menjawab sepatah pun teguran Tok Mat itu.
Bila saya tanya kepada Allahyarham, kenapa tak jawab; Allahyarham berkata, “Aku terlalu menghurmati Tok Mat.”
Banyak juga kisah-kisah peribadinya Allahyarham berkongsi dengan saya. Ketika beliau menjadi Setiausaha Kerja Umno Negeri Johor, jarak antara Johor Bahru dengan Kuala Lumpur menyebabkan kami terpisah.
Sesekali, apabila saya ke Johor Bahru atau Allahyarham ke Kuala Lumpur, kami akan duduk minum dan makan bersama.
Apabila Tan Sri Muhyiddin berpindah ke Kuala Lumpur, melepaskan jawatan Menteri Besar Johor, Sulaiman tidak ikut sama ke Kuala Lumpur sebaliknya terus di Johor Bahru sehinggalah Allahyarham berundur dari jawatannya sebagai Setiausaha Kerja Umno Negeri Johor.
Kalau tidak silap saya, tempat Allahyarham digantikan Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Saya tahu Allahyarham memang mengidap kencing manis tetapi tidaklah serius sangat. Cuma kebelakangan ini, bila saya terserempak dengannya, saya lihat badannya cukup kurus tetapi saya yakin Allahyarham sihat.
Sulaiman seorang yang bersifat pemurah. Ramai kawan-kawannya tahu perangainya itu dan sesekkali apabila Allahyarham ke luar negara, ada-ada sahaja cenderamata yang dibelikannya untuk saya.
Apabila saya ada kesempatan ke Segamat kerana menziarahi anak saya yang menuntut di UiTM Segamat, saya sering menghubunginya melalui telefon tetapi jarang dapat bertemu kerana Allahyarham kadang-kadang berada di kawasan Felda yang jauh di pendalaman dan kadang-kadang, berada di Johor Bahru kerana ada urusan.
Berita kematiannya seperti meragut tangkai jantung saya dan kepada Allah saya mendoakan agar roh Allahyarham Sulaiman Taha di tempatkan di kalangan para solehin. Sesungguhnya, semua yang hidup akan mati dan amanlah hendaknya di sana.

1 ulasan:

ila de cute berkata...

salam uncle, terima kasih kerana sudi tulis entry baik2 tentang aruah abah saya ni...