Sabtu, 14 Ogos 2010

Pembangunan Kijal tetap diutamakan



Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my

KIJAL: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak melupakan kampung kelahirannya di Kijal, Kemaman biarpun sibuk menjalankan tugas rasminya.

Walaupun ada ketikanya terpaksa berulang alik dari Kijal ke Kuala Terengganu sejauh kira-kira 320 kilometer dalam tempoh sehari, demi melaksanakan tanggungjawab diamanahkan, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal, masih mampu mengukir senyuman apabila bersua muka dengan rakyat.
Selain kebajikan rakyat, Ahmad akan memastikan peruntukan untuk melaksanakan setiap projek pembangunan dilakukan secara menyeluruh ke setiap daerah dan tidak hanya memberi tumpuan ke satu daerah saja seperti Kemaman.
Ini bermakna, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk diwakili pembangkang akan menikmati projek pembangunan selain bantuan lain disediakan kerajaan seperti bantuan membina rumah baru, membaiki kediaman penduduk serta kemudahan lain. DUN Kijal yang terletak di kawasan Parlimen Kemaman juga turut menerima pelbagai projek sama.

Ahmad yang mula mengambil alih teraju pentadbiran negeri sejak 2008 dan tampil dengan slogan ‘Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran’ bukan saja dikagumi semua peringkat rakyat berbilang bangsa dan agama, malah pemimpin dan penyokong parti pembangkang teruja dengan cara kepemimpinannya.

Tidak keterlaluan dikatakan Ahmad adalah pemimpin yang bukan saja berjiwa rakyat, malah bersedia memenuhi setiap impian masyarakat.

Walaupun ada suara nakal di DUN Kijal mengatakan masyarakat di kawasan itu tidak akan menikmati arus pembangunan selepas Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar, tetapi suara nakal yang sengaja dicanangkan itu tersasar apabila Kijal mendapat peruntukan untuk pembinaan bandar baru yang akan menjadi bandar satelit kepada Chukai.
Bagi merealisasikan impian dan harapan seluruh penduduk di Parlimen Kemaman, yang sebelum ini tiada pilihan untuk membeli-belah melainkan di bandar Chukai, menjelang akhir tahun depan masalah itu akan selesai selepas sebuah bandar baru yang sedang dibangunkan di Paya Lasir, Kijal siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Walaupun sibuk melaksanakan tanggungjawab di peringkat negeri, di bawah pemerintahan Ahmad, DUN Kijal dan masyarakat di Parlimen Kemaman tidak dilupakan. Tanah terbiar yang sebelum ini ditumbuhi pokok nipah dan hutan tebal seluas 222.82 hektar dipilih untuk pembangunan bandar baru Kijal.

Pelbagai projek pembangunan akan dilaksanakan mengikut dua fasa iaitu fasa pertama adalah zon komersial yang akan dibangunkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala fasa kedua atau dikenali zon institusi akan dibangunkan pihak swasta.

Ahmad berkata, pembiayaan untuk melaksanakan projek pembangunan fasa pertama akan menggunakan peruntukan Kerajaan Pusat dan negeri manakala peruntukan untuk melaksanakan projek fasa kedua akan dibiayai syarikat swasta.

Katanya, antara komponen pembangunan projek bandar baru Kijal ialah pembinaan 12 unit rumah kedai membabitkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM7.4 juta dan 40 unit rumah kedai serta pejabat, juga di kawasan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM40.8 juta.

“Kerajaan Pusat akan membina kompleks usahawan MARA membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta. Secara keseluruhannya peruntukan akan dibelanjakan untuk menyediakan pelbagai komponen pembangunan di bandar baru Kijal membabitkan perbelanjaan sebanyak RM144 juta,” katanya.

Sebelum ini, kebanyakan penduduk terutama suri rumah akan berlumba-lumba menganjurkan rombongan ke Nilai, Negeri Sembilan serta Segamat, Johor, untuk membeli-belah terutama menjelang Ramadan.

Tetapi apabila bandar baru Kijal siap akhir tahun depan, kawasan itu bukan saja akan dibanjiri penduduk tempatan, malah penduduk negeri jiran seperti Pahang dan Kelantan dijangka datang untuk membeli-belah pelbagai produk termasuk pakaian sama seperti produk dijual di Nilai, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor.

Walaupun status pembinaan bangunan rumah kedai itu baru siap sebanyak 71 peratus, tidak termasuk kemudahan jalan dan kemudahan asas lain, permintaan peniaga termasuk yang mempunyai gerai perniagaan di Nilai, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor untuk berniaga di bandar baru itu sangat menggalakkan.

Peniaga berpendapat, pelbagai kemudahan disediakan di kawasan bandar baru Kijal lebih baik dan mampu memberi saingan serta pendapatan lumayan jika diberi peluang menjalankan perniagaan dengan menggunakan kaedah sama seperti di sediakan di Nilai dan Segamat.

(Dipetik dari http://www.bharian.com.my/)

Tiada ulasan: