Isnin, 9 Ogos 2010

MB Terengganu: Pembangkang masih sikap konservatif


KUALA TERENGGANU, 8 Ogos — Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said membidas pembangkang yang menurutnya tidak pernah bersetuju dengan apa yang dibuat kerajaan negeri walaupun ia jelas menampakkan kejayaan.

Katanya, kerajaan negeri berani berbelanja untuk sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat Terengganu seperti perlaksanaan program e-book atau buku elektronik kepada pelajar sekolah dan juga guru walaupun ia dikatakan sebagai membazir oleh pihak lawan.

Menurut beliau, pembangkang bersikap konservatif dan enggan bergerak ke hadapan dan mengharapkan kerajaan negeri mengambil pendekatan sama.

“Kita (dimaksudkan pembangkang) masih lagi bersikap konservatif, lihat orang maju berniaga goreng pisang, kita pun nak berniaga goreng pisang, lihat orang berniaga air tebu, kita pun nak berniaga air tebu, tak bolehlah bersikap begitu.

“Kita mesti berani mulakan terutama perkara yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika menggulung usul pembentangan bajet tambahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Ahmad berkata selain menyelesaikan masalah bebanan beg berat yang dihadapi pelajar, projek e-book sehingga kini menampakkan hasil positif dengan kebanyakan pelajar yang menggunakannya mencatat keputusan peperiksaan memberangsangkan.

“Kalau nak tahu projek ini membazir atau tidak, tanyalah guru, ibu bapa dan 25,000 pelajar yang menerimanya,” katanya.

Setakat ini, seramai 800 guru telah menerima e-book dan kerajaan merancang untuk memberikan e-book kepada 3,000 guru di negeri ini.

“Kita juga bakal mempunyai bank soalan yang mempunyai 300,000 soalan dan pada masa depan kita akan adakan kelas maya,” katanya.

Beliau juga menjelaskan harga RM1,000 untuk setiap unit e-book dilengkapi program yang diperlukan untuk proses pembelajaran.

“Memang ada yang berharga murah, i-pod pun ada yang berharga RM100 sekarang ni tapi guna sehari, rosak,” katanya ketika mengulas dakwaan wakil rakyat pembangkang ketika berbahas bahawa e-book dijual dengan harga RM200 seunit di China.

Sementara itu, usul untuk tambahan peruntukan berjumlah RM157,096,700 untuk perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi tahun 2010 diluluskan dengan suara majoriti.

Dewan bersidang lagi esok. — Bernama

Tiada ulasan: