Selasa, 10 Ogos 2010

Muhyiddin ikrar setia sokong PM meskipun diprovokasi

Oleh Salhan K Ahmad

Timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengulangi sokongannya terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bagi menepis tanggapan bahawa hubungan antara mereka berdua bermasalah.

Berucap ketika merasmikan pelancaran sebuah buku bertajuk "Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia" hari ini, Muhyiddin berkata masalah berkenaan sengaja ditimbulkan oleh pembangkang.

"Saya sudah nyatakan walau diprovokasi berulang kali, saya akan kekal sokong beliau (Najib)," katanya dalam majlis di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur petang ini.

Ketika ditanya lanjut dalam sidang media selepas itu, Muhyiddin juga menafikan bahawa berlakunya krisis antara beliau dengan Najib.

Katanya lagi, beliau juga akan terus menyokong Najib yang telah memberikan kepercayaan kepadanya.

"Saya tahu kedudukan saya," tambahnya yang menjelaskan bahawa soal kesetiaannya itu ditimbulkan sebagai masalah oleh "pihak di sebelah sana."

"Ini tidah berjaya mereka (pembangkang) lakukan," katanya yang turut menegaskan bahawa tidak ada apa-apa krisis antara beliau dan Najib.

--malaysiakini

Tiada ulasan: