Rabu, 7 Julai 2010

Suara Perkasa diberi amaran keras, KDN mahu pantau tabloid


KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk memberi amaran keras terhadap Suara Perkasa, akhbar terbitan pertubuhan bukan kerajaan Perkasa, berhubung artikel muka depan edisi sulungnya bertajuk ”Tahan Ka Siong Bawah ISA” minggu lalu.

Kementerian itu memutuskan demikian pada mesyuaratnya yang diadakan lewat petang ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan lewat malam ini, kementerian itu berkata, Suara Perkasa dikenakan hukuman ringan atas faktor ia merupakan akhbar baru berada dalam pasaran.

“Memandangkan penerbitan Suara Perkasa keluaran bertarikh 1 hingga 15 Julai itu adalah penerbitannya yang pertama dan ini juga adalah pelanggaran syarat yang pertama, maka kementerian ini memutuskan untuk mengambil tindakan mengeluarkan ‘amaran keras’ terhadap penerbitan Suara Perkasa,” kata Setiausaha Bahagian Penerbitan, Teks dan Al-Quran Datuk Zaitun Abd. Samad.

Sehubungan itu kata beliau, kementerian juga akan meningkatkan tindakan pemantauan ke atas setiap keluaran akhbar-akhbar tabloid bagi memastikan syarat-syarat permit dan garis panduan penerbitan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipatuhi.

Kementerian Dalam Negeri memanggil Ketua Pengarangnya Daud Ibrahim semalam.

Daud telah mengadakan pertemuan kira-kira 105 minit dengan Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi dan beberapa pegawai kanan kementerian.

Pertemuan semalam adalah susulan mesyuarat kementerian itu dengan Editor Suara Perkasa, Amirudin Mohamad Jumaat lalu.

Edisi sulung Suara Perkasa muncul “garang” pada 1 Julai lalu dengan tajuk “Tahan Ka Siong di bawah ISA” – laporan yang merujuk kepada Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong yang menjadi sasaran kecaman NGO itu dua minggu lalu.

Dalam pada itu, pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya menafikan beliau pernah menyatakan akhbar itu akan mematuhi apa sahaja perkara terkandung dalam akta penerbitan seperti dilapor laman web Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Sebaliknya kata beliau, dalam pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri semalam, beliau hanya memberitahu menghormati fungsi kementerian itu dan memintanya juga menghormati peranan Harakah sebagai salah satu suara alternatif.

“Saya cuma kata kami menghormati peranan Kementerian Dalam Negeri sebagai agensi kerajaan, dalam masa yang sama saya juga minta Kementerian Dalam Negeri faham peranan Harakah sebagai akhbar oposisi dan juga penyalur suara alternatif,” katanya ketika dihubungi.

Menjelas lanjut Taufek berkata, pertemuan hampir setengah jam di pejabat Kementerian Dalam Negeri semalam lebih tertumpu kepada penghantaran lapan naskhah Harakah ke kementerian itu sebaik selesai dicetak dan sebelum diedarkan.

Kementerian Dalam Negeri juga, kata beliau, bersedia mengambil sendiri naskhah berkenaan di pejabat Harakah.

Selain isu lapan naskhah tersebut, Kementerian Dalam Negeri, juga kata beliau meminta Harakah lebih “berhati-hati” dalam melaporkan isu yang diklasifikasikan sebagai sensitif seperti isu judi bola, isu Felda dan Jemaah Islamiah (JI).

Bagaimanapun katanya, terserah kepada Harakah menetukan batas laporan tersebut.

“Saya juga minta Kementerian Dalam Negeri benar-benar memisahkan antara perkara berkaitan keselamatan negara dengan hal keselamatan parti pemerintah.

“Kita tidak mahu isu-isu yang kita bangkitkan berhubung keselamatan Umno BN dianggap sebagai menjejaskan keselamatan negara,” katanya lagi.

“Sama juga akhbar arus perdana yang memburukkan Pakatan Rakyat, kenapa tidak diklasifikasikan sebagai mengancam keselamatan negara?” soal beliau dipetik Harakah Daily.

Pertemuan semalam dipengerusikan Rahim.

Taufek turut memberitahu, Kementerian Dalam Negeri ada memaklumkan bahawa pertemuan semalam bukan untuk berdebat, tetapi untuk saling faham memahami dan sekadar berbincang perkara berkaitan penerbitan Harakah.

Pertemuan itu juga katanya tidak menyentuh soal permit penerbitan akhbar tersebut

(Dipetik daripada http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/suara-perkasa-diberi-amaran-keras-kdn-mahu-pantau-tabloid/)

1 ulasan:

azreen berkata...

bodoh punya kerajaan..suara melayu langsung tak laku..kalau bab kaum pendatang berlumba-lumba menteri nk tunjuk hero..