Selasa, 23 Februari 2010

Jurulatih boleh timbul atau tenggelamkan pemain


( tulisan ini pernah dihantar ke berita harian tetapi tidak disiarkan )

MEMBACA tulisan Raja Ahmad Zainuddin di Ruangan Pro & Kontra (Berita Harian Februari 8, 2010) bertajuk ‘Pemain, jurulatih usah mudah melatah’ membuatkan saya terpanggil untuk menambah apa yang saya tahu mengenai pasukan bola sepak negeri-negeri.

Sebenarnya pemain-pemain adalah mereka yang mengeluarkan keringat di tengah padang untuk mencari kemenangan pasukan demi mengharumkan nama negeri yang mereka wakili. Mereka ini semuanya berbakat dan mustahil mereka tidak tahu langsung bermain bola sepak tetapi terpilih.

Malangnya, ada jurulatih yang tidak professional. Mereka menjadikan kedudukan mereka seperti seorang yang terlalu berkuasa dan tidak mahu mendengar langsung idea dan cadangan pemain-pemain hingga menyebabkan berlaku jurang antara pemain dengan jurulatih.

Memang betul jurulatih biasanya adalah bekas pemain. Makanya, mereka cukup berpengalaman. Tetapi bukanlah kerana mereka berpengalaman menjadikan mereka manusia angkuh yanhg kononnya serba tahu dan mampu melakukan segala-galanya dalam mencorak pasukan.

Kalau kita sedar bahawa kita hanyalah seorang dari ratusan pemain yang bernasib baik menjadi jurulatih, sepatutnya jurulatih itu tidak perlu angkuh, tidak perlu menabur pasir ke periuk nasi pemain yang mereka tidak disukai dan jangan sesekali menabur fitnah kononnya pemain yang disingkirkan dari pasukan bimbingannya itu memang tidak akan dapat bermain lagi dengan pasukan-pasukan lain.

Salahkah seorang jurulatih yang mahu menggugurkan pemain-pemain, mungkin dengan alasan prestasi yang tidak memuaskan atau kesalahan-kesalahan lain merekomenkan pemain yang mereka singkirkan itu ke pasukan lain, dengan satu panggilan telefon kepada rakan-rakan jurulatih mereka?

Salahkah jurulatih yang mahu menggugurkan pemain berbincang dengan pemain-pemain itu supaya dapat dibantu untuk disalurkan ke pasukan lain dengan nasihat yang berguna – kemungkinan penghijrahan pemain yang tersingkir itu akan menyebabkan dia menjadi pemain yang lebih baik di masa-masa akan datang?

Dunia bola sepak ini kecil sahaja. Lambat laun akan berjumpa semula. Pemain yang sudah menabur jasa dan mencurah keringat bertahun-tahun ditendang macam bola tetapi pemain baru yang mereka beli dari pasukan lain, ditatang macam minyak yang penuh.

Apakah dalam sukan bola sepak, jasa dan pengorbanan pemain tidak dianggap sebagai budi? Persatuan bola sepak yang bertanggungjawab membayar gaji dan imbuhan biasanya dianggotai mereka yang pandai mencari wang tetapi tidak diberikan maklumat sebenar prestasi setiap pemain.

Tahukah pihak persatuan, ada pemain yang diminati dan disenangi jurulatih dibayar dengan gaji yang tinggi tetapi hanya memanaskan kerusi pemain simpanan tetapi pemain yang berpeluh di tengah padang, dibayar gaji jauh lebih rendah.

Apakah mereka yang memegang jawatan penting dalam persatuan tahu perkara ini? Atau mereka sentiasa mendapat maklumat palsu dari para jurulatih yang tidak professional – berpolitiking ketika membuat pemilihan pemain.

Ada jurulatih menggugurkan seseorang pemain kerana berjaya mendapatkan khidmat pemain dari pasukan lain yang mereka minati. Mungkin juga pemain yang mereka minati itu ada pertalian dengan mereka, anak kawan-kawan mereka atau saudara mara mereka. Bila pemain yang mereka minati itu menolak tawaran mereka, para jurulatih ini terhegeh-hegeh mencari semula pemain yang sudah mereka gugurkan.

Apakah pemain bola sepak di negara ini disamakan seperti sampah? Bila suka mereka simpan dan bila mereka ada pemain baru, mereka buang. Apakah pemain-pemain ini tiada maruah dan sanggup dibuat seperti bola, ditendang sesuka hati.

Ketika Raja Ahmad Zainuddin mahukan pihak yang terlibat supaya ‘menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak, saya pula mahu mencadangkan kepada pihak yang berkenaan terutama pemimpin-pemimpin dalam persatuan sukan supaya memastikan jangan menyimpan jurulatih yang bersikap ‘yang dikejat tidak dapat, yang dikendong berciciran’.

Sukan bola sepak boleh maju jika ada jurulatih yang professional mengendalikan pemilihan. Malangnya, mereka bukan sahaja gagal malahan memusnahkan bakat dan serta masa depan pemain dengan menabur fitnah kononnya pemain yang mereka buang itu adalah mereka yang ‘melarikan diri kononnya mahu mencari gaji yang lebih tinggi’ padahal ia sebenarnya menjadi magsa jurulatih.

Tidak bolehkah pemimpin-pemimpin persatuan bola sepak memanggil semua pemain dan bersemuka dengan jurulatih – supaya cerita sebenar dapat diketahui dan bukan dengan hanya mendengar cerita dari jurulatih sahaja, cerita sebelah pihak yang akhirnya menyebabkan ada pemain dan bekas pemain yang menjadi mangsa!

Peminat No 1

Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur



Tiada ulasan: