Selasa, 23 Februari 2010

Isu saman parkir terhad

( Pernah dihantar ke berita harian tapi tidak disiarkan)

KELUHAN Peluru Asap, Durian Tunggal, Melaka (Surat & E-Mel, Berita Harian Selasa 9 Februari 2010) perlu diberi sedikit perhatian kerana ianya memang menjadi bahan percakapan semua pihak yang dikenakan saman oleh pihak penguatkuasa parkir, pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dari keluhannya, dia ke Istana Budaya Melaka kira-kira jam 3 petang dan mendapati tempat letak kereta di kota lama penuh. Selepas dua jam kemudiannya, keretanya yang diparkir bukan tempat yang dibenarkan dikenakan saman oleh peguatkuasa bandaraya.

Satu pertanyaan kepada semua pengguna kereta dan motosikal, apa yang sudah sangat meletakkan kereta di tempat letak kereta yang ada walaupun agak jauh dan terpaksa membayar? Misalannya kereta diletakkan di tempat parker hotel atau mana-mana sahaja, walaupun sedikit jauh dari tempat yang hendak kita tujui.

Kenapa kita yang melakukan kesalahan, tidak rela disaman? Kenapa pihak penguatkuasa yang menjalankan tugasnya menyaman dikecam dan dikutuk sedangkan kita yang melakukan kesalahan merasakan kita betul dan kita tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan termasuk saman.

Kita kena merubah cara berfikir. Kita harus terdidik untuk hidup di sebuah negara yang menuju negara maju. Kita kena sedar bahawa semua PBT mempunyai peraturannya termasuklah parkir, membuang sampah, melintas jalan dan menggunakan tandas-tandas awam.

Kalau kita semua mahu menggunakan semua kemudahan mengikut selera sendiri, rasanya kita belum bersedia untuk berubah. Cadangan supaya bayaran parkir tidak perlu dikenakan kerana Melaka sedang menggalakkan kedatangan pelancong tidak boleh dilayan kerana kedatangan pelancong sebenarnya tidak ada kena mengena dengan bayaran parkir.

Semua pengguna sebenarnya perlu dididik menjadi pengguna yang tahu undang-undang. Jika mereka mahu meletakkan kereta, mereka perlulah bersedia membayarnya. Jika mereka tidak sanggup meletakkan kereta jauh dari tempat yang hendak mereka tujui, dapatkanlah khidmat pemandu peribadi atau seelok-eloknya menggunakan kenderaan awam, termasuk beca.

Janganlah menjadi penggun yang hanya mementingkan diri sendiri. Melatakkan kenderaan di tempat yang bukan tempatnya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas, menghalang dan menyebabkan kesusahan orang lain.

Belajarlah berdisiplin dan akhirnya semua pihak akan senang dan urusan tidak terganggu dengan perkara-perkara yang tidak sewajarnya.

Kita tidak pernah marah jika orang meletakkan kenderaannya sesuka hati hingga menghalang lalu lintas tetapi kita marah kepada penguatkuasa yang menjalankan tugasnya kerana menyaman orang yang melakukan kesalahan.

Kita tidak pernah marahkan orang yang membuag sampah di merata tempat tetapi apabila ada penguatkuasa yang menyaman, kita akan marahkan penguatkuasa kononnya sampah itu nanti ada orang yang membersihkannya.

Kita tidak pernah marah orang yang melintas tanpa menggunakan jejantas yang disediakan tetapi kalau ada kemalangan jalan raya atau pihak berkuasa menyaman, kita akan marah kononnya mereka yang melintas jalan itu tidak patut disaman.

Kenapa kita bersikap sedemikian? Apakah kita belum bersedia untuk hidup dengan peraturan dan undang-undang yang dibuat untuk kemudahan dan keselesaan orang ramai?

DBI – Suka Disiplin,

Padang Kerbau, Melaka

Tiada ulasan: