Sabtu, 9 Januari 2010

Sebidang Tanah Dijanjikan Buat Pemain Skuad T'Team Jika Muncul Juara

KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Bernama) -- Terengganu menjanjikan hadiah berupa sebidang tanah kepada pemain bola sepak dari skuad T'Team sekiranya pasukan itu berjaya menjulang Piala Malaysia tahun ini.

Pengurus pasukan Datuk Rahin Mohd Said berkata ganjaran itu dilihat sesuai diberikan kepada pemain pasukan tersebut sekiranya mereka berjaya mengungguli kejohanan bola sepak berprestij negara itu.

"Walaupun terlalu awal untuk membuat janji, tetapi itulah ganjaran yang bakal diterima skuad T'Team jika menjadi juara Piala Malaysia musim ini," katanya kepada pemberita pada majlis suai kenal pemain-pemain di sini Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata dalam masa yang sama juga T'Team mensasarkan untuk menggondol Piala FA dan Piala Liga selain Piala Malaysia.

Beliau berkata memandangkan kepada perkembangan skuad T'Team yang begitu dinamik, beliau yakin pasukan itu mampu muncul sebagai pasukan kedua berstatus kelab merangkul Piala Malaysia selepas MPPJ pada tahun 2003.

Rahin berkata pasukan T'Team yang pertama kali akan beraksi dalam Liga Super musim ini akan diwakili oleh muka lama serta baru, dan juga beberapa bekas pemain pasukan Sukma 2008.

T'Team musim ini mengimport dua pemain luar Terengganu untuk menajamkan pasukan yang terdiri daripada Abdul Hadi Yahya, bekas pemain Kuala Lumpur, dan Harizul Izuan Abd Rani, bekas pemain Proton FC.

Katanya T'Team akan memulakan kempen Liga Malaysia dengan menentang pasukan Kuala Lumpur di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: