Jumaat, 15 Januari 2010

Laporan sudah diserah semalam

Oleh RADHUAN HUSSAIN dan FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 14 Jan. - Tanda tanya mengenai punca sebenar kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak runtuh bakal terjawab apabila ia didedahkan dalam waktu terdekat.

Laporan lengkap mengenai kejadian yang berlaku pada 2 Jun lalu itu dijangka diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia mengesahkan yang laporan tersebut telah diserahkan kepada Ahmad, hari ini.

Sumber memberitahu Menteri Besar Terengganu itu akan mengambil sedikit masa untuk meneliti laporan penuh tersebut terlebih dahulu sebelum mendedahkannya kepada umum.

"Buat masa ini, Menteri Besar agak sibuk dan beliau memerlukan masa yang sesuai untuk meneliti sepenuhnya laporan kejadian tersebut.

"Jika semua berjalan dengan baik, beliau (Ahmad) mungkin mengadakan sidang akhbar minggu depan untuk mengumumkannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, Pejabat Menteri Besar Terengganu di sini menerima laporan penuh mengenai kejadian bumbung stadium yang runtuh itu pagi ini.

Laporan itu mengandungi butiran siasatan 10 penyiasat bebas yang dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari punca runtuhan tersebut.

Kementerian melalui siasatan itu sebelum ini mengenal pasti tiga punca bumbung stadium tersebut runtuh iaitu reka bentuk bahagian bumbung yang tidak mengikut spesifikasi bangunan, kualiti bahan binaan yang digunakan serta pengawasan yang lemah ketika stadium itu dibina.

Semalam, Ahmad menegaskan kerajaan negeri bersedia mendedahkan laporan penuh mengenai kejadian itu bagi menjamin integriti dan imejnya terus terpelihara.

Menurut beliau, pihaknya akan berbuat demikian sebaik sahaja laporan tersebut diterima kerana tidak mahu menyembunyikan perkara itu dan pada masa sama, kerajaan serta kontraktor juga perlu tahu punca kejadian.

Sebelum ini, arkitek prinsipal stadium berkenaan, Senibahri Arkitek, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyarankan supaya pihak berkuasa menyiarkan laporan penuh berhubung kejadian itu agar rakyat tidak tertanya-tanya mengenai siapa sebenarnya yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, selagi laporan lengkap mengenainya tidak didedahkan kepada umum, selama itu juga aspek integriti dipersoalkan.

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin terletak di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang menjadi venue utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.

Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu Diraja serta orang kenamaan.

( Dipetik dari http://utusan.com.my/ )

Tiada ulasan: