Khamis, 28 Januari 2010

MELAYU BERSATU. MUDAH DISEBUT TAPI BOLEHKAH?

Datuk Seri Adnan Yakub - MB Pahang yang bercakap terus terang mengenai masa depan politik bangsa Melayu dan bangsa pribumi di negara ini.

Saya mohon maaf kerana lambat buat posting pelancaran Perkasa negeri Pahang pada 24hb Januari lalu. Perkasa mencipta sejarah kerana buat pertama kali seorang MB melancarkan Perkasa negeri. Seperti kata Datuk Seri Adnan Yakub, "Saya boleh menghantar wakil, samada ketua UMNO Temerloh atau Datuk Saifudin Abdullah, tetapi saya sendiri ingin menjelaskan beberapa perkara kepada ahli Perkasa dan bangsa Melayu amnya"

"Pada hakikatnya bangsa Melayu hari ini ramai yang telah menjadi penakut dan lemah" kata Adnan Yakub memulakan ucapannya. "Keadaan hidup yang senang dan mewah menjadikan bangsa Melayu begitu sayangkan kehidupan dan takut kehilangan kesenangan yang dikecapi. Ramai yang takut hilang pangkat dan jawatan". Tegas Adnan.

Saya setuju dengan ucapan Adnan Yakub. Bukan saja bangsa Melayu takut menghadapi cabaran, malah dikritik pun mereka takut. Jika dikritik mereka akan mudah kecil hati dan bertindak balas.

"Oleh itu dalam keadaan Melayu amat lemah dalam semua aspek, kita mesti berterus terang kepada bangsa kita. Kita mesti buat reappraisal. Dalam dunia global, penjajahan boleh berlaku pada bila-bila masa. Dan kedudukan kuasa politik bangsa Melayu seperti telur di hujung tanduk". Sambung MB Pahang itu.

"Keujudan Perkasa memang kena pada masa dan waktunya ketika Melayu mencari arah perjuangan. Kewujudan Perkasa seperti ketika UMNO baru ditubuhkan dahulu melihat semangat orang-orang Melayu yang hadir pada hari ini. Nampak diwajah mereka semangat ingin mempertahankan hak mereka. Inilah semangat yang ada pada bangsa Melayu satu ketika dulu. Semangat ingin bersatu menjadikan bangsa Melayu kembali kuat dan dihormati"

Menurut Datuk Seri Yakub, ayat kunci ialah perpaduan Melayu, iaitu Melayu bersatu. Tetapi dia juga secara terus terang bertanya, "Bolehkah? bolehkah perpaduan Melayu di capai? Penyelesaian mulut memang mudah tetapi bolehkan direalisasikan?"

"Logiknya parti yang boleh diterima oleh kaum Cina dan India ialah parti UMNO kerana sifat liberalnya, tetapi kenapa mereka sokong PAS? Parti UMNO boleh kata PAS dan PR jual bangsa tetapi PAS juga kata UMNO jual bangsa dan agama! Dimana kesudahanya perpaduan bangsa Melayu?"

Dalam ayat-ayat penutup, Adnan meminta kepimpinan Perkasa jangan takut untuk menyatakan perkara-perkara yang berkaitan dengan hak orang Melayu dan Perkasa bukan ambil hak orang lain tetapi hanya mempertahankan hak pribumi. Dalam hal ini Adnan cadangkan agar Perkasa mengadakan dialog dengan NGO bukan Melayu dimasa akan datang dan secara terbuka membincangkan masa depan rakyat negara ini.

Ketokohan Datuk Seri Adnan jelas terserlah daripada ucapannya. Beliau bukan sahaja fokus kepada soal bangsa Melayu tetapi juga kaum-kaum Cina dan India yang memberi sumbangan yang signifikan kepada keselamatan dan kestabilan politik negara.

(Dipetik dari http://muslioli.blogspot.com/)

Tiada ulasan: