Selasa, 22 Disember 2009

PEMBANGKANG DALAM KERAJAAN

Politik negeri-negeri Pantai Timur cukup menarik.

Di Terengganu, anggota Barisan Nasional memanaskan suasana persidangan Dewan Undangan Negeri sehingga Menteri Besar Dato' Ahmad Said menyindir Dato' Din Adam (BN-Bukit Besi) dengan mengatakan beliau jarang hadir persidangan DUN dan tidak menjejakkan kaki ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga tidak tahu apa yang berlaku.

Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad berkata apa yang berlaku dalam sidang DUN ini sebagai satu petanda baik.

"Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan... seolah-olah sebagai parti pembangkang... tapi kita tidak kisah.

"Kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja di kalangan wakil rakyat tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan. Saya tidak ada masalah," kata Ahmad yang dilantik menggantikan Dato' Seri Idris Jusoh. Din ialah Exco Kerajaan Negeri sewaktu Idris menjadi Menteri Besar.

Sementara itu, politik Kelantan juga bertambah panas. Ketua Penerangan PAS Saudara Idris Ahmad menyifatkan tindakan anak Menteri Besar Kelantan, Nik Amalina Nik Abd Aziz mencabar seorang anggota exco Kelantan meletakkan jawatan, rentetan daripada kontroversi melibatkan suaminya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK dalam blognya sebagai membuka pekung di dada.

Desakan untuk Abdul Ariffahmi Ab Rahman berundur meningkat apabila Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abd Kadir berkata, pengunduran segera Abdul Ariffahmi sangat penting kerana kontroversi yang membelenggunya boleh menjejaskan PAS.

Rosli bukanlah orang yang pertama mendesak menantu Dato' Nik Aziz Nik Mat segera meletakkan jawatan. Sebelum ini, Naib Presiden PAS Dato' Mahfudz Omar juga meminta beliau melakukan hal yang serupa.

Nampaknya pembangkang bukan saja ada di luar, tetapi juga dalam parti-parti politik itu sendiri.

Ini baik untuk politik Malaysia - ada semak dan imbang sesama sendiri - selama mana penentangan ini tidak sampai memberikan lawan di luar parti senjata ampuh untuk menyerang sewaktu pilihanraya nanti!

(Dipetik dari http://nobisha.blogspot.com)

Tiada ulasan: