Ahad, 12 Julai 2009

Muhyiddin : Minta naib Presiden Pas buktikan



Oleh Daud Hj Ibrahim
daud772@hotmail.com

KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri meminta Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub membuktikan dakwaannya terhadap beliau kononnya mengadai maruah Melayu Johor ketika menjadi Menteri Besar Johor 1986-1995.
Menjawab pertanyaan itu melalui SMS, Timbalan Perdana Menteri ini menjadi sasaran Pas di Manek Urai kerana Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dikatakan memberi tentangan hebat kepada kepimpinan Pas yang sering memutar belitkan kenyataan dan sering menimbulkan suasana tidak tenang pengundi di situ.
Sebelum ini, harakahdaily.net dalam laporannya dipetik;

Muhyidin Yassin gadai maruah Melayu Johor
Muhammad Yusri Amin
Thu Jul 09, 09 4:56:38 pm MYT
KUALA KRAI, 9 Julai (Hrkh) - Masihkah anda ingat siapa yang bertanggungjawab memberi ruang lebih besar kepada penduduk dari Singapura memilik banyak hartanah di Johor. Akibat daripada dasar terbuka itu menyebabkan banyak tanah rezab Melayu di daerah Johor Bahru tergadai. Orang yang bertanggungjawab memberi kelulusan tersebut ialah pemimpin yang mengetuai kerajaan Johor pada 1989 hingga 1995. Itulah pengenalan ringkas bagi mengenali siapa Tan Sri Muhyidin Yassin yang dikaitkan dengan tragedi yang memalukan orang Melayu di Johor. Dan berikutan itu Muhyiddin dipindahkan ke pusat sebagai menteri kabinet oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai usaha menyelamatkan karier politiknya. Dan hari ini beliau berjaya mendaki tangga keemasan politik dalam Umno apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas menang jawatan Timbalan Presiden Umno. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pemimpin terbabit yang mengetuai Umno di Johor ketika menjadi menteri besar ternyata telah mengkhianati hak orang Melayu. "Bagaimana Umno hendak menjadi parti yang membela orang Melayu sedangkan mereka sendiri yang menggadai dan menjual rezab Melayu kepada orang asing dari Singapura. "Ini bukti bahawa Umnolah yang menggadai hak orang Melayu setelah rakyat memberi mereka kuasa sepenuhnya lebih 50 tahun mentadbir negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya pada ceramah di Temalir dekat sini malam semalam. Beliau menjelaskan bukti mengenai perkara itu didedahkan pada persidangan Dewan Negeri Johor baru-baru ini. "Tanah Rezab Melayu ini satu-satunya hak bagi orang Melayu. Umno tidak boleh jawab, dan ini bukan fakta yang saya pungut atau dengar di tepi jalan lalu dibawa ke dalam ceramah.. tidak. "Ini bukti yang kita bawa dalam persidangan Dewan Negeri Johor baru-baru ini di mana Umno dan anggota Dewan Negeri Negeri Johor dari Umno tidak boleh jawab,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata Umno tidak seharusnya diberikan peluang untuk terus hidup. Salahuddin yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, Muhyiddin telah mengkhianati orang Melayu di Johor dalam isu tanah rezab dan pemilikan dalam Dana Johor. Sedangkan katanya, kerajaan BN Johor begitu bangga dengan skim pelaburannya Amanah Saham Johor (ASJ) sehingga seramai 125,000 orang melabur ketika diterbitkan pada 1996. Saham ASJ pada awalnya dijual pada harga RM1 seunit kemudian memadangkan ASJ mendapat sambutan menggalakkan sehingga nilai saham dinaik menjadi RM5 seunit. Keadaan itu menyebabkan ramai rakyat Johor berebut-rebut membeli saham ASJ sehingga ada yang meminjam dari bank sebanyak RM10,000. Namun selepas berlaku krisis ekonomi pada 1997 menyebabkan ASJ jatuh menjunam. Perbadanan Johor kini berhutang melebihi setengah bilion ringgit. Kegagalan ASJ menjejaskan imej kerajaan BN Johor. Ketika era Muhyiddin sehingga Dato’ Ghani Othman menjadi Menteri Besar Johor bukan sahaja ASJ merosot sebaliknya banyak syarikat milik kerajaan negeri yang rugi berjuta-juta ringgit termasuk Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ). Sehingga Disember tahun lalu KPRJ direkod berhutang sebanyak RM429.4 juta. Salahuddin berkata, jenayah paling mencabar orang Islam di Johor apabila Muhyiddin menukar cuti mingguan daripada hari Jumaat kepada Ahad. Maka tidak hairanlah katanya, Johor yang dianggap sebagai kubu Umno paling kuat di dunia berjaya ditembusi PAS setelah memperolehi dua kerusi Dun pada pilihan raya umum lalu. "Sekarang kita sama-sama fikir pada malam ini. Hari ini Muhyidin datang ke Manek Urai bercakap mengenai pembelaan nasib orang Melayu. Begitu juga katanya Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan baru dilantik sudah hendak tunjuk lagak dan bercakap bohong. "Dia kata hendak menolong orang kampung sehingga sanggup pergi menoreh getah dan tunjukkan gambar kepada umum. Beliau bercakap di Parlimen kononnya hendak menolong orang susah di Manek Urai," katanya. Dan malam tadi ketika Muhyiddin berceramah di Kampung Manek Urai Lama hanya dihadiri kira-kira 200 penduduk lapor sebuan portal berita. - mj _



DALAM perkembangan lain, Muhyiddin membidas kepimpinan Pas kerana masih belum menyahut cabaran yang dibuatnya tiga hari lalu supaya membuktikan tuduhan bahawa Umno tidak memperjuangkan syiar Islam.
Timbalan Perdana Menteri berkata, cabaran itu dibuat kerana Pas secara konsisten membuat tuduhan tersebut walaupun terdapat pelbagai bukti jelas bahawa Umno memberi keutamaan dalam aspek itu.
“Saya dah cabar di kampung Manek Urai Lama kerana dia kata kita tak perjuangkan Islam dan tak majukan macam-macam hal.
“Saya cabar dia senaraikan dari tempoh 20 tahun lalu sampai hari ini apa rencana pembangunan baik yang berbentuk agama dan sosial ekonomi yang dilaksanakan pimpinan Pas Kelantan.
“Saya nak tahu sebab dah tiga hari saya cabar tapi belum jawab lagi. Cuba senaraikan (apa yang dilakukan Pas) dan saya akan senaraikan juga (apa yang dilakukan Umno), “ katanya sewaktu berucap pada Majlis Mesra Rakyat di Kampung Temalir, Kuala Krai.
Dalam perkembangan yang sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak berminat untuk menjawab cabaran dan persoalan yang ditimbulkan oleh pemimpin Umno berhubung isu dasar Islam yang dilaksanakan oleh Pas.
Menteri Besar Kelantan itu berkata di Kota Bharu, beliau tidak mahu melayan sebarang cabaran selagi Presiden Umno , Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak menjawab surat rasmi beliau mempelawa Perdana Menteri mengadakan pertemuan dan perdebatan terbuka.
“Saya tak (berminat) nak jawab segala cabaran dan persoalan yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden Umno (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) itu kerana surat pelawaan saya untuk berjumpa dan mengadakan perdebatan dengan PM tidak dijawab,” katanya.


Ketika ini, Pas tidak ada pilihan lain, kecuali mengajak berdebat kerana mereka yakin mereka sahaja yang pandai berdebat dan saingan mereka, Umno dianggap tidak mempunyai tokoh yang mampu berdebat dengan mereka.
Seperti kata Dr. Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan keinginan Nik Aziz Nik Mat mengajak Perdana Menteri berdebat, menyifatkannya sebagai sesuatu yang membuang masa dan Nik Aziz tidak akan faham apa yang Najib kata dan Najib juga tidak akan faham apa yang Nik Aziz kata.
Beberapa pihak berpendapat, Dr. Mahathir menyindir kepimpinan Pas yang dianggapnya hanya mahu berdebat tetapi tidak ada perancangan untuk membangunkan negeri dan negara.
Itulah sebabnya, apabila ada seorang lagi pemimpin Pas, Abdul Fatah Harun pula mengajak Barisan Nasional berforum tetapi ada yang berpendapat Abdul fatah bukan orang yang layak untuk diletakkan atas pentas untuk menjadi panel forum.
Kata mereka, itulah sebabnya Abdul Fatah yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan tidak popular seperti pemimpin-pemimpin lain di dalam Pas seperti Mohamad Sabu dan Husam Musa yang baru sahaja dikalahkan oleh Nasharudin Mat Isa bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Pas.
Kata satu sumber, jika Nik Aziz sekali pun bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas, Nik Aziz akan kalah di tangan Nasharudin Mat Isa yang dilihat lebih matang dan berketerampilan sebagai seorang pemimpin sebuah parti politik.

Tiada ulasan: