Jumaat, 5 Jun 2009

Orang yang menganiaya dibela, orang jujur dicaci


Oleh Ujang Syamsul Bahari
BUKAN mahu mendahului keputusan mahkamah, tetapi bila sudah sampai ke peringka pendakwaan, masihkah pucuk pimpinan tidak nampak sesuatu berlaku, seperti ada usaha mahu menganiaya seseorang, yang ditakdirkan Allah menjadi Menteri Besar Terengganu?
Laluannya cukup sukar. Beliau bukan tidak layak menjadi Menteri Besar tetapi ada pihak-pihak tertentu yang berusaha siang dan malam, mahu memberi tahu pucuk pimpinan di Kuala Lumpur, tukarlah Menteri Besar ini kerana kononnya beliau tidak mampu menerajui kepimpinan parti dan kerajaan negeri.
Timbul cerita bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri, runtuh. Ada budak-budak yang simpati dengan Geng 10 menulis dalam blognya dengan kata-kata, ini mungkin bala dari Allah kerana Terengganu diterajui oleh seorang Menteri Besar yang datangnya dari Bahagian Kemaman dan bukan dari Besut. Kalaulah Korea Utara menjalankan ujian-ujian nuklear di Terengganu, mungkin Menteri Besar ini juga dikaitkan dengan cerita peluru berpandu itu.
Nasib baiklah cerita Ambalat dan tuntutan bertindih tidak berlaku di sekitar Terengganu. Jika tidak, tentulah Menteri Besar yang ada sekarang dikaitkan dengan isu ini.
Begitu juga dengan isu LTTE di Sri Lanka tidak boleh dikaitkan dengan Menteri Besar Terengganu kerana Sri Lanka tidak terletak di sekitar Kemaman dan Kijal.
Kalaulah Aung Suu Kyi kenal dengan Menteri Besar Terengganu, barangkali bagaimanalah agaknya serangan dihalakan kepada Menteri Besar Terengganu ini.
Tetapi apabila timbul isu ada orang-orang yang dekat dengan bekas Menteri Besar terlibat dengan dakwaan menghantar SMS bernada ugutan, seolah-olah ia sesuatu yang tidak ada memberi apa-apa kesan kepada kemelut politik Terengganu.
Padahal, bertitik tolak dari SMS itu, ada tiga Abdul dalam kalangan ADUN di Terengganu enggan menghadirkan diri di persidangan DUN Terengganu dengan alasan DUN Terengganu tidak selamat untuk mereka bertiga.
Takut mati, kalau mereka pergi dan bekas Menteri Besar nanti akan kehilangan penyokong, maka ada tujuh lagi ADUN ‘menunjukkan simpati’ kepada tiga Abdul dan menjadikan sidang DUN Terengganu lengang angkara perbuatan mereka yang mengkhianati perjuangan Umno dan BN ini.
Mereka menganjurkan ‘road show’ mengutuk kepimpinan Menteri Besar. Pihak Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai ‘road show’ ini berkata, pihak sebelah sana pun buat juga! Maknanya, bebal sungguh pegawai-pegawai pucuk pimpinan di Kuala Lumpur kerana jika pihak yang berjawatan mengadakan road show, ia adalah menepati prinsip parti yang mahukan pemimpin sentiasa bersemuka dengan rakyat tetapi kalau pihak yang tidak berjawatan dalam parti turut mengadakan ‘road show’ ia membuktikan bahawa mereka mahu merosakkan kepimpinan parti di peringkat negeri.
Menteri Besar Terengganu nampaknya tidak mempunyai masa untuk melayan karenah dari mereka yang menganiaya dirinya dan merosakkan kepimpinan parti, tetapi yang peliknya, mereka yang tahu ada ‘dalang’ dalam isu kemelut politik di Terengganu seolah-olah tidak merasakan apa-apa yang boleh dibantu.
Sepatutnya, tiada siapa perlu mengganggu pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. Begitu juga, kepimpinan Umno di peringkat negeri sepatutnya diserah balik kepada Menteri Besar yang ada kerana isunya, ada dalang yang mahu melihat Umno Terengganu dilihat seperti bermasalah sedangkan ia tidak bermasalah.
Kenapa tidak ada apa-apa tindakan kepada bekas Menteri Besar yang tidak pernah hadir walau sekalipun ke mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri, sejak Menteri Besar yang ada sekarang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri?
Apakah Umno dan MT tidak mempunyai apa-apa mekanisme untuk ‘mengenakan’ tindakan tidak bertanggungjawab seorang manusia yang pernah dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Ahli MT Umno dan Menteri Besar?
Inilah salah satu sebab mengapa Umno semakin lemah kebelakangan ini kerana mereka yang pernah menjawat pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan, apabila tidak dilantik semula, membuat perangai merosakkan parti.
Manusia seperti ini menyangka hanya dia sahaja boleh jadi Menteri Besar, orang lain tidak boleh. Manusia seperti ini menyangka dia sahaja yang layak menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, orang lain tidak layak. Manusia seperti ini menyangka dia sahaja boleh mentadbir sedangkan orang lain, mungkin lebih baik dari dia.
Umno sebenarnya tidak memerlukan manusia seperti ini. Ketika dia menjadi pemimpin dia hendak orang lain menyokongnya tetapi ketika orang lain menjadi pemimpin, dia mula membuat onar dan enggan menjadi pengikut yang baik.
Cuba belajar dari Timbalan Presiden Umno yang pernah kalah untuk mempertahankan kerusi Naib Presiden dalam tahun 1996-2000. Beliau bukan sahaja sahaja tidak merajuk, malahan tidak langsung menjadi pengacau dengan tujuan merosakkan kepimpinan dan parti. Beliau memilih menjadi pengikut yang baik sepanjang tidak berjawatan tinggi.
Mudah-mudahan, rakyat Terengganu dan orang-orang Umno di Terengganu sudah kenal siapa sebenarnya pengkhianat, dalang dan penjahat dalam kemelut politik Terengganu. Tolak mereka. Jauhkan diri kita dari mereka supaya mereka sedar bahawa manusia seperti mereka tidak diperlukan dalam Umno, bukan setakat di Terengganu, tetapi di mana-mana sahaja orang akan menolaknya.

1 ulasan:

PUTRA MERDEKA berkata...

dah hishammuddin minat kat bekas mb tu dgn geng10, jadi ikut jer la rentak walau sebagai Pengerusi Perhubungan.
najib pun takut nak letak MB sebagai PPUN terengganu..kenapa?
setakat ni muhyiddin jer yg berterus terang mengatakan bahawa MB kekal tapi puak-puak tu nak dengar ke?
nak tunggu UMNO pusat gantung keahlian mamat yg kena dakwa di mahkamah tu... atau tak da tindakan atas dasar 'kengkawang'