Ahad, 17 Mei 2009

Kemelut Politik Perak : Husam jangan nak tunjuk pandai


Oleh Ujang Syamsul Bahri

NAIB Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengadakan pertemuan dengan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan kemelut politik di Perak bagi meminta Tengku Razaleigh mencadangkan kepada Perdana Menteri (PM) supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Khabarnya, selain Tengku Razaleigh, Husam yang hanya mendapat sekitar 20 peratus pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden Pas juga mahu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan beberapa pimpinan parti komponen BN yang dikatakan bersetuju supaya DUN Perak dibubarkan.
Kalau ada orang politik yang mengikuti perkembangan politik Husam dalam Pas, tentulah mereka tahu bahawa Husam ini jenis orang politik yang suka kepada populariti dan publisiti.
Dulu, dia pernah berdebat dengan Tan Sri Annuar Musa. Teruk juga dia dikerjakan Annuar dalam perdebatan tersebut. Malangnya, media arus perdana macam kurang berminat untuk memberi publisiti kepada Annuar, maka terselamatlah Husam dari publisiti buruk tersebut.
Selepas kebah dari demam kena pukulan Annuar dan dia ingat orang sudah lupa peristiwa dia dimalukan Annuar, maka dia berdebat pula dengan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno (yang kini sudah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda), Khairy Jamaluddin.
Teruk dia kena dengan Khairy. Nasib baiklah ada pensyarah universiti Islam yang turut menjadi panel debat tersebut, Aziz Bari dan moderator, Agus Mohd Yusof yang merupakan anak Kelantan, membantu Husam. Kuranglah ‘lebam-lebam’ muka Husam terkena ‘tinju’ Khairy.
Lepas itu, ada penulis yang menulis Husam ini sangat teruk kerana ada kawan-kawan nak berniaga kambing pun ‘diselekohnya’ sampai tauke kambing hilang kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana sikap Husam.
Hari ini, Husam mengesahkan sedang menulis buku kecil kerana mahu mendedahkan sesuatu apa sebenarnya yang berlaku dalam Pas tetapi apabila ada serangan mengatakan berlaku politik wang dalam Pas, Husam memilih untuk ‘berpuasa dengan media’ buat seketika.
Hari ini, selepas menerima pencalonan yang kecil bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden dan pendedahan Nik Abduh Nik Aziz bahawa terdapat orang-orang keliling bapanya, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang tidak bertanggungjawab melaporkan cerita sebenar, Husam memilih untuk bertemu dengan Tengku Razaleigh bagi mencari jalan supaya Tengku Razaleigh dapat menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya bersetuju agar DUN Perak dibubarkan.
Husam tentunya tahu, kepimpinan Pakatan Pembangkang sudah bermesyuarat dan kenyataan bersama antara Lim Kit Siang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meminta masa dari Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan masalah politik di Perak.
Kenapa Husam memilih jalan lain? Jalan mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh, Soi Lek dan beberapa pemimpin parti komponen BN kerana mahu bercakap perkara yang sama, mengenai kemelut politik Perak?
Adakah Husam tidak yakin dengan Abdul Hadi? Mungkinkah Husam tidak mahu namanya tertinggal dalam pertemuan dengan Najib? Atau Husam sengaja mencari populariti dan publisiti menjelang Muktamar Pas nanti?
Satu perkara yang Husam perlu tahu, politik Perak tidak ada apa-apa kemelut kalau Husam boleh menasihatkan Nga Kor Ming yang berucap menyebut sepotong ayat al-Quran dan ia mendapat bantahan dari ramai orang tetapi Subky Latif dan Nik Aziz menyokong Nga.
Husam juga boleh menasihatkan V. Sivakumar, janganlah memakukan dirinya di kerusi Speaker kerana dia bukan lagi Speaker dari segi prinsipnya apabila BN sudah menguasai DUN Perak, sebaik sahaja ada tiga ADUN pembangkang mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN Bebas dan menyokong BN.
Husam tak perlu menasihatkan Najib untuk membubarkan DUN kerana Husam kena menasihatkan rakan-rakannya dalam Pakatan Pembangkang agar tahu menerima hakikat bahawa mereka (Pakatan Pembangkang) sudah kehilangan majoriti.
Jadi, kalau sebelum ini Husam dikatakan ada menulis surat kepada Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya memperkenankan agar DUN Perak dibubarkan, tariklah balik surat itu dan memohon ampun dari Paduka Seri Sultan Perak kerana Paduka Seri Sultan tentunya jauh lebih tahu apa yang Baginda buat ketika memperkenankan perlantikan YAB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.
Jika ada masa, layari http://www.puu-umno.blogspot.com/ untuk mengetahui secara sahih apa yang berlaku di Perak dari sudut undang-undang dan kisah sebenar apa yang berlaku di siding DUN Perak, 7 Mei 2009 yang lalu.
Amatlah malang bagi rakyat Malaysia jika ada orang-orang seperti Husam yang nampak macam serius sangat hendak mengambil berat hal ehwal rakyat Perak tetapi hakikat sebenarnya, dia ni jenis penyibuk dan buat kerja yang dia tak perlu buat.
Sepatutnya, sebagai orang kuat Nik Aziz, bukankah dia boleh minta kebenaran Nik Aziz yang memegang jawatan Mursyidur Am Pas, supaya Husam yang memainkan peranan di depan sekali dan bukan Abdul Hadi.
Orang Pas, khususnya Husam dan kawan-kawannya yang bercadang naik ke jawatan lebih tinggi dalam Pas, termasuk Mahfudz Omar dan Mohamad Nizar Jamaluddin, adalah lebih baik menjadi manusia politik yang jujur dan jangan sesekali terus membohongi rakyat dan penyokong Pas kononnya mereka ‘hebat’ padahal, mereka adalah orang yang terus menerus mengelirukan rakyat.
Husam kena beritahu orang ramai di Perak, khususnya penyokong Pas, PKR dan DAP bahawa dalam politik, Umno cukup gentleman. Pernah Umno (BN) hanya kurang satu kerusi di DUN Kelantan tetapi Umno (BN) tidak pernah buat kacau bilau seperti apa yang Pakatan Pembangkang, khususnya DAP di Perak sekarang.
Mana ada orang Umno menghina OKU dan orang yang lumpuh kakinya seperti mana DAP menghina ADUN Jelapang, Hee Yit Fong sambil melemparkan buku peraturan mesyuarat?

1 ulasan:

Unknown berkata...

Siapa lagi yang percaaya CELOTEH KOSONG lagi DUSTA ini... Kalau betul la Husam teruk kena hentam oleh Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin agak MENGHAIRANKAN semua media perdana pro Kerajaan tidak melaporkannya, sedangkan perkara BOHONG dan FITNAH pun media perdana berani melaporkannya... FIKIR-FIKIR la beb...
Rakyat pada masa kini sudah tidak boleh ditipu lagi...