Khamis, 24 Januari 2013

Umno Bahagian Pasir Gudang Jangan Buat Perangai


Oleh Zamzuri Damanhuri



AMARAN yang dikeluarkan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan kepada beberapa cawangan Umno dalam Bahagian Pasir Gudang Johor supaya tidak menutup bilik gerakan amat mengejutkan.


Khabarnya, terdapat beberapa pihak yang tidak berpuashati dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang lambat menyelesaikan permohonan tanah yang dibuat, sejak 13 tahun yang lalu.
Jadi, gertakan yang mereka buat ini kerana pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) sudah semakin hampir menunjukkan ahli-ahli Umno berjuang selama ini hanya kerana mahu meminta tanah dan bukan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Yang akan terjejas dalam isu ini ialah Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang juga Menteri Pengajian Tinggi.

Apa yang berlaku, mengambarkan Mohamad Khaled tidak mampu mengawal kehendak anak-anak buah hingga sanggup menggugut kepimpinan negeri.

Satu pihak lain pula memberi tahu, jika Menteri Besar menyelesaikan masalah di Pasir Gudang ini, beberapa Umno bahagian lain, yang mempunyai masalah yang sama akan turut menggugut Abdul Ghani supaya meluluskan permohonan mereka juga.

Satu sumber dari Pakatan Rakyat memberitahu, jika Abdul Ghani gagal menyelesaikan masalah ini, mereka akan memastikan kesemua kerusi Parlimen dan DUN di kawasan Pasir Gudang kali ini akan menjadi milik mereka.

Satu pihak lain mendakwa, ada penulis blog yang diupah untuk menyerang kepimpinan Abdul Ghani, termasuk isu pembangunan Wilayah Iskandar.

Ia sekaligus mengaitkan cerita AbdulGhani akan berundur dari kerusi MB Johor dan tempatnya akan digantikan Mohamad Khaled.

Banyak pihak mendakwa, nama Mohamad Khaled semakin kerap disebut sebagai bakal MB Johor selepas PRU 13 walaupun dalam yang sama, Abdul Ghani dikatakan akan terus dilantik menjadi Menteri Besar sepenggal lagi.

Sementara itu, satu pihak lain kesal dengan kenyataan Ahmad Maslan yang mengeluarkan kenyataan memberi amaran kepada Umno Pasir Gudang melaui media kerana ia seolah-olah mengganggu pentadbiran Umno bahagian tersebut.

“Bukankah elok jika Ahmad Maslan ke Pasir Gudang untuk mengadakan pertemuan dengan mereka yang mendakwa menghadapi masalah dengan Menteri Besar?” kata seorang penganalisis politik tempatan.
Cara yang dilakukan Ahmad ini seolah-olah memberi peluang pembangkang mengambil kesempatan di atas pergolakan yang berlaku, katanya lagi.

Rata-rata berharap, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dapat campur tangan membantu masalah ini kerana Muhyiddin selaku bekas MB Johor tentulah mempunyai pengalaman menyelesaikan masalah seperti ini.

“Lebih baik selesaikan segera sebelum keadaan menjadi semakin gawat, “ kata seorang bekas ketua bahagian dari Johor yang ditemui.

Tiada ulasan: