Khamis, 1 Disember 2011

Khairy dedah 'Formula 6 Jahanam' pembangkang

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini mendedahkan formula "6 Jahanam" yang didakwanya cubaan pembangkang yang berangan-angan untuk melaksanakan formula "kehancuran negara".


NONESambil mengambil kisah dari filem P Ramlee '6 Jahanam', Khairy menempelak pembangkang berhubung cubaan tersebut yang disifatkannya "polemik politik pembangkang jijik".

Enam formula tersebut yang didakwa akan dilaksanakan adalah menjahanamkan sistem demokrasi, menjahanamkan sistem pentadbiran, menjahanamkan maruah negara, menjahanamkan sejarah negara, menjahanamkan jati diri bangsa, dan menjahanamkan kemakmuran ekonomi negara.

"Pada mereka sistem demokrasi itu tidak wujud di bawah pentadbiran BN. Pada mereka BN adalah pencuri pilihan raya, menidakkan suara rakyat dan menggunakan serba macam taktik kotor untuk kekal berkuasa.

"Jika benarlah pakatan pembangkang mendukung demokrasi, mengapa sehingga hari ini mereka tidak pernah melahirkan rasa kesal mengenai insiden September 16?

"Sedarkah kita, propaganda rampasan September 16 adalah satu bentuk penghinaan kepada amalan demokrasi yang wajar dirakam sebagai satu detik hitam dalam sejarah negara," katanya.

'Tiup api kebencian'

Beliau juga membidas pembangkang yang didakwanya menghasut rakyat dengan meniupkan api kebencian kepada kerajaan dengan menggunakan kebangkitan "Arab Spring" tatkala idea mengadakan perhimpunan BERSIH,

NONE"Matlamat mereka bukannya pemerkasaan sistem pilihan raya yang adil. Sebaliknya ia adalah wahana menyebarkan debu-debu sangsi yang akan menimbulkan kekacauan yang maha kelam kabut dalam sesebuah negara berdaulat," katanya bagi menghuraikan formula pertama.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasar bertemakan "Memacu Generasi, Melakar Tranformasi" di PWTC hari ini.

Khairy juga turut menempelak timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang mengumumkan hasrat PKR untuk memecah tembok penjara bagi membebaskan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sekiranya didapati bersalah dalam kes liwatnya.

"Semestinya ini bukan kenyataan pendukung demokrasi yang sebenar. Undang-undang negara, sistem kehakiman negara semuanya tidak diendahkan.

"Sudah terang lagi bersuluh, keluar dari mulut mereka sendiri, agenda mereka hanya satu, iaitu memastikan Anwar menjadi perdana menteri Malaysia dengan apa jua cara - halal atau haram. Dan konsep demokrasi ini hanya menjadi alat bermusim ke arah sasaran sempit mereka," katanya sambil menegaskan demokrasi negara menjadi mangsa pertama di bawah kerakusan pakatan tersebut.

Khairy juga mempersoalkan pembangkang yang masih gagal mengemukakan 'kabinet bayangan' berbanding BN yang berupaya mentadbir negara dan mengutamakan semangat setiakawan dalam pemilihan jemaah kabinet.

'Tiga kepala satu badan'

"Yang mereka ada, 3 penyelia untuk satu portfolio - tiga kepala, satu badan. Bayangkan kalau mereka perlu menubuh kabinet di masa hadapan - siapa perdana menterinya? Anwar, Guan Eng atau Haji Hadi?," katanya.

NONESelain itu, beliau juga menempelak pembangkang yang didakwanya angkuh kerana mahu mengurangkan bilangan kakitangan kerajaan

"Pembangkang tabur statistik bahawa nisbah penjawat awam dengan penduduk di Malaysia adalah tinggi dan membebankan.

"Tetapi mereka sengaja menyembunyikan hakikat bahawa negara-negara lain tidak mengambil kira golongan anggota keselamatan dan warga pendidik sebagai kakitangan awam.

"Sedangkan di Malaysia, dua golongan ini merangkumi lebih 50 peratus daripada semua penjawat awam. Maka, sudah pastilah nisbah kita lebih tinggi daripada negara-negara lain," katanya.

NONEBeliau juga mempersoalkan terhadap apa akan berlaku kepada pentadbiran undang-undang sekiranya pembangkang mentadbir negara ini.

"PAS mahu laksanakan hudud, tetapi DAP pula minta langkah mayat mereka dulu. Jika Pakatan mengambil alih Kerajaan Persekutuan, apakah akan ada undang-undang berbeza di negeri berbeza?

"Apakah definisi jenayah sendiri akan berubah mengikut geografi? Kalau mencuri di Kelantan, potong tangan. Kalau di KL, sumbat penjara. Kalau di Pulau Pinang, itu kita tengok dulu apa kata Khalifah Lim Guan Eng.

"Inilah realiti yang akan berlaku sekiranya kita benarkan pakatan pembangkang yang tandus persefahaman mengambil alih kepimpinan negara," katanya.

(Dipetik dari http://www.malaysiakini.com/news/182773)

Tiada ulasan: