Jumaat, 16 Disember 2011

Kenapa Serang Shahrizat?


Oleh Zainal Yusof

SEBENARNYA isu NFC ini sepatutnya tidak perlu dipanjang-panjangkan. SPRM dan Polis sudah menjalankan peranan masing-masing. Namun, mereka yang berada di dalam PKR mahu isu ini sentiasa hangat kerana ia ada kaitan dengan kerusi Parlimen Lembah Pantai, yang diwakili Naib Presiden PKR, Nurul Izah Anwar.

Kini, peranan pembangkang itu disambung pula oleh Datuk Wira Syed Ali AlHabshi, Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Ghaffur Salleh dan Datuk Bung Mokhtar Raden. Keempat-empat orang Umno ini sebenarnya terperangkap dalam agenda media, sama ada untuk melariskan surat khabar atau pun mahu mempopularkan portal dan blog masing-masing.
Isu NFC sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Ketua pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Jika pembangkang tidak puashati dengan apa yang berlaku di dalam NFC, seranglah NFC dan seranglah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tadi.
Betul, Pengerusi Eksekutif NFC ialah suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail tetapi kenapa suaminya tidak diserang, sebaliknya Shahrizat yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dihalakan muncung senapang?
Sebagai Ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali sebenarnya lebih elok memperkemaskan lagi Umno bahagiannya dan membantu pucuk pimpinan menambah pendaftaran pengundi. Cuba dekati pengundi keturunan Cina di kawasannya, jika tidak boleh menang pun kerusi itu dalam pilihan raya, sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti DAP di situ.
Begitu juga dengan Dr Mohd Puad Zarkashi. Sebagai Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, eloklah jika dia menjalankan kerja-kerja menambah sokongan kepada BN. Apakah dia sudah berjaya menambah pengundi di kawasannya dan apakah tiada masalah dalaman di bahagian Batu Pahat?
Begitu juga dengan Ghaffur dan Bung Mokhtar. Masing-masing mempunyai masalah di tempat masing-masing. Tak usahlah apabila dihulurkan pertanyaan oleh wartawan, mereka menjawab dengan menyambung lidah pembangkang.
Dalam isu NFC, jika Shahrizat mengambil wang kementeriannya untuk dibahagi kepada syarikat suaminya, bolehlah dia dikaitkan dengan isu dan kontroversi ini.
Tetapi, NFC mendapat wang dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Jika Syed Ali, Dr Puad, Ghaffur dan Bung Mokhtar mempunyai banyak masa lapang, seranglah NFC dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Jangan gunakan kebolehan bercakap dan menulis, untuk menyerang Shahrizat.
Jika mereka berempat ini masih banyak masa terluang, bolehlah tolong pihak-pihak yang kehilangan jam Omega mendapatkannya balik.
Masalahnya mereka berempat ini melakukan kerja yang tidak perlu. Dulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sudah menegur Bung Mokhtar supaya isu sama-sama sendiri ini tidak usahlah dipanjang-panjangkan.
Lebih malang, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun tumpang sekaki. Dia pula mencadangkan Shahrizat supaya berhenti. Di zaman dia menjadi Perdana Menteri, ada menteri yang dikaitkan dengan rasuah, dia pertahankan. Ada menteri yang dikaitkan dengan penyelewengan, dia pertahankan. Apakah Melayu mudah lupa?
Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno sendiri menjadikan parti pembangkang sebagai sasaran dalam ucapan-ucapan di Perhimpunan Agung Umno. Malangnya mesej yang hendak Presiden dan Timbalan Presiden sampaikan, tidak dapat difahami mereka ini.
Shahrizat tidak rugi apa-apa jika beliau berhenti dari kedudukannya sebagai Menteri dan Ketua Pergerakan Wanita Umno tetapi Umno dan BN yang akan rugi kerana pemimpin mereka diserang oleh kawan-kawan sendiri.
Mustahil Dr. Mahathir, Dr Puad, Syed Ali, Ghaffur dan Bung Mokhtar tidak faham apa yang Datuk Seri Mohd Najib dan Muhyiddin perkatakan.
Jika sudah faham, tutuplah mulut yang luas itu. Cukuplah kerosakan yang sudah melanda Umno dan BN yang sedang Najib dan Muhyiddin perbaiki. Masalah parti akan semakin bertambah kalau ada mereka yang mulutnya lebih besar dari otaknya.
Saya kagum dengan beberapa pihak yang menyerang Syed Ali di Pejabat Umno Bahagian Cheras bagi menyampaikan mesej supaya mulut jangan celupar. Sepatutnya kumpulan ini juga menyerang Dr. Mahathir, Dr Mohd Puad, Bung Mokhtar dan Ghaffur. Beritahu mereka, jika tidak boleh membantu jangan memusnahkan parti ini.
Usahlah beri alasan sayangkan parti seolah-olah Shahrizat dan pemimpin-pemimpin lain yang lebih kanan tidak sayangkan parti ini.
Orang yang sayang parti ini tidak bertindak ikut hati dan ikut perasaan. Bertindak dan bercakaplah ikut otak dan dengarlah nasihat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Jangan menyusahkan Perdana Menteri dan jangan memberi tekanan kepada Timbalan Perdana Menteri.
Buat kerja untuk memperkuatkan parti dan seboleh-bolehnya, bantu parti supaya kembali mendapat sokongan. Jika kita bercakap ikut sedap mulut, walau apapun alasannya, ia tidak membantu parti sebaliknya menghancurkan parti.
Usah serang Shahrizat. Jika Perdana Menteri merasakan Shahrizat sudah tidak berguna lagi, Perdana menteri akan melakukan sesuatu untuk menyelesaikannya. Jika Perdana Menteri tidak merasakan Shahrizat sebagai liabilit, kenapa Dr Mahathir, Dr Puad, Syed Ali, Ghaffur dan Bung Mokhtar sibuk-sibuk ni.
Belajarlah menjadi ahli parti yang berdisiplin. Jangan berlagak seperti seorang Presiden parti hingga semua hal nak buat komen seolah-olah awak berlima sahaja yang sayangkan parti sedangkan orang lain tidak!

Tiada ulasan: