Oleh Hassan Md Hussein
KARPAL Singh meramalkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib akan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke 13 pada Januari 2012, demi survival Najib ekoran kritikan dari Tengku Razaleigh Hamzah dan penerbitan sebuah buku bertajuk Kesilapan2 Najib.
Seperti biasa, pembangkang akan terus meramal, setelah mereka gagal membuktikan ramalan mereka 11.11.2011 akan berlaku pembubaran Parlimen kerana Najib dikatakan terlalu berminat dengan angka 11, nombor plet keretanya sejak sekian lama.
Jika ia tidak berlaku dalam bulan Januari, nanti akan muncul pula ramalan baru, bahawa Mac akan menjadi pilihan PM Najib dan seterusnya mereka akan meramalkan dan meramalkan sehinggalah Parlimen dibubarkan.
Sebenarnya, Karpal Singh sendiri tidak tahu nasibnya, sama ada boleh bertanding lagi atau tidak kerana DAP juga kurang senang dengan kenyataan-kenyataan Karpal sejak kebelakangan ini, terutama dalam isu hudud.
DAP sebenarnya mahu berdiam diri dalam isu hudud hingga selesai PRU 13 kerana sokongan PAS menguntungkan DAP berbanding sokongan DAP menguntungkan PAS. Malangnya, strategi DAP itu menjadi terganggu dengan kenyataan-kenyataan Karpal Singh itu.
Malangnya, dalam Umno seperti tidak ada kaki pukul sekarang. Sepatutnya serangan dan usikan Karpal ini perlu dijawab oleh kaki pukul Umno supaya Karpal tidak terus menyerang PM Najib. Namun, masing-masing seperti tidak mempunyai cukup kemampuan untuk mempertahankan PM Najib.
PM Najib nampaknya terpaksa mempertahankan diri sendirian sekarang, ekoran penerbitan buku politik yang menyerangnya.
PM Najib juga terpaksa berdepan dengan serangan atas serangan isu NFC dan Laporan Ketua Audit Negara.
Lebih dahsyat, usaha melaga-lagakan PM Najib dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin juga seperti sengaja dibuat sekarang. Ini kerana mereka yang membawa dan menjaja cerita ini memang mencari makan dengan mengada-ngadakan cerita kononnya pucuk pimpinan berkrisis.
Isteri PM Najib, Datin Seri Rosmah Mansor juga teruk diserang kerana mereka melakukan strategi yang sama ketika menyerang bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu.
Mereka yakin akan dapat menjatuhkan PM Najib dengan mudah. Tetapi, percayalah, ia tidak akan berlaku begitu kerana Muhyiddin merupakan seorang timbalan yang setia dan beliau terhutang budi kepada PM Najib yang menyokongnya menjadi Timbalan Presiden Umno dan dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ramai yang tahu usaha melaga-lagakan PM Najib dan TPM Muhyiddin adalah orang yang sama ketika mahu menjatuhkan Abdullah dahulu. Disebabkan kejayaan mereka menjatuhkan Abdullah, maka mereka ingat mudah juga menjatuhkan Najib.
Jika Abdullah dikaitkan dengan pengaruh Khairy Jamaluddin dalam pentadbiran, kini mereka cuba mengambarkan bahawa Rosmah terlalu berpengaruh di dalam kehidupan PM Najib.
Segala-galanya terletak di tangan PM Najib. Jika beliau terkesima dengan cakap-cakap mengenai Muhyiddin, yang ruginya ialah Najib sendiri. Najib menjadi begitu kuat sekarang hingga merisaukan pembangkang kerana berpasangan dengan Muhyiddin.
Rata-rata merasakan ada yang berangan-angan mahu mengambil tempat Muhyiddin, hingga mereka sedia untuk menyambung fitnah kononnya Muhyiddin mahu menjatuhkan PM Najib. Jadi, kalau PM Najib menyingkirkan TPM Muhyiddin, sampailah hajat mereka yang kepingin mahu menggantikan Muhyiddin itu.
Ada juga yang masih berdendam dengan TPM Muhyiddin yang menang kerusi Timbalan Presiden atas sokongan PM Najib. Maka, mereka gunakan peluang untuk mengocakkan situasi ini dalam keadaan PM Najib tertekan dengan pelbagai isu.
Sebenarnya, PM Najib menanggung bebanan masalah ini yang diwarisi dari bekas PM Tun Dr. Mahathir dan bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
PM Najib bukannya mempunyai cincin ajaib untuk digosok-gosok bagi menyelesaikan satu-satu isu dalam sekelip mata. PM Najib memerlukan sokongan semua pihak untuk membantunya berdepan dengan pembangkang dan menyokong usahanya menjayakan Gagasan 1Malaysia.
Mereka yang menyerang PM Najib, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah hanya kerana beliau tidak mahu rakyat melupakannya. Bagi pencacai-pencacai yang menghebahkan cerita kononnya PM Najib akan dijatuhkan TPM Muhyiddin, itu kerana pencacai ini mencari sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan dengan suasana krisis.
Penulis-penulis buku di Malaysia, sama ada yang baru mahu menulis dan yang sudah lama menulis, kerjaya ini adalah kerjaya “mengepau” duit orang politik dan mereka ini menulis kerana kelangsungan hidup.
Jika tidak, mereka juga tidak mampu untuk bergaya mewah seperti orang politik yang mereka belasah siang dan malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan