Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dapat diterima dengan baik oleh semua pihak agar tidak mengundang masalah di kemudian hari.
Beliau berkata perubahan yang dilakukan itu perlu konsisten agar setiap pembaharuan yang akan dilakukan dapat dilaksanakan dengan sempurna serta tidak mengelirukan tenaga pengajar dan pelajar.
"Saya harap dalam hal ini dan isu berkaitan yang telah diputuskan dibuat dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah perubahan dan pembaharuan yang dilakukan ini tidak akan beri masalah lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sebahagian daripada 42 ekor lembu korban kepada penduduk di dalam kawasan parlimennya di Kepala Batas hari ini.
Pengumuman pemansuhan PPSMI dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil kira hasil kajian bahawa sebahagian besar sekolah tidak melaksanakan PPSMI, sebaliknya menggunakan dwi bahasa dalam proses pembelajaran dua subjek itu.
Dengan pemansuhan PPSMI, kerajaan akan menggunakan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Terdahulu, Abdullah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamiul Badawi bersama penduduk setempat dan kemudiannya menghadiri jamuan Hari Raya Aidiladha anjuran wakil rakyat sekitar Parlimen Kepala Batas.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan