Oleh G Manimaran dan Lisa J. Ariffin
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melakukan serbuan ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, Rabu lalu yang mencetuskan kontroversi dan bantahan banyak pihak.
Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Dr Yusri Mohamad berkata, Jais tidak pernah melakukan “serbuan”, “menyerang” dan “merempuh” masuk ke dalam Gereja Methodist Damansara Utama seperti mana yang dilaporkan media.
“Berdasarkan maklumat yang diterima Jais, sebab melakukan pemeriksaan itu hanya untuk melihat sama ada terdapat orang Islam dalam majlis itu dan mahu memastikan tiada usaha menghina Islam,” katanya pada sidang media di sini.
“Operasi itu telah dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada,” kata beliau.
Yusri menambah laporan media terhadap operasi Jais itu tidak benar, sebaliknya pegawai agensi penguat kuasa itu telah berunding dengan penganjur program selama sejam, namun menemui jalan buntu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) A. Karim Ombar berkata, berdasarkan laporan agensi agama itu, “Jais hanya masuk ke dalam selepas program itu tamat, bukan semasa.”
Pembela juga menuduh sesetengah ahli politik telah masuk campur dalam urusan hal ehwal Islam melebihi bidang kuasa mereka sambil menegaskan, orang Islam tidak sepatutnya terpengaruh, sebaliknya berfikir semula tentang perkara itu.
“Pembela tidak bersetuju dengan campur tangan politik dalam hal ehwal agama Islam oleh pemimpin yang berkepentingan.
“Kenyataan Menteri Besar Selangor yang bersifat ‘apologetic’ amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan.
“Begitu juga kenyataan beberapa pemimpin politik yang bukan beragama Islam menghiris hati dan perasaan umat Islam serta menggambarkan seolah-olah agama Islam tidak bertempat di negara ini,” tambahnya.
Kata Yusri, kenyataan-kenyataan itu akan menambah kekeliruan dan boleh mewujudkan prasangka antara umat Islam dan bukan Islam.
Pembela juga menegaskan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Sultan.
“Ini adalah fakta yang diterima semua dan had-hadnya perlu difahami dan (diamalkan) dalam kehidupan seharian.
“Kita tidak menentang akta kebebasan beragama, malah ia digalakkan,” kata Yusri dan menambah, pihak penganjur seharusnya berhati-hati apabila menganjurkan program yang boleh menimbulkan keraguan.
Beliau menambah pihaknya menuntut pihak berkuasa untuk menghalang tindakan provokasi agama yang boleh menghakis kedaulatan agama Islam.
Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.
Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.
Majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti dihadiri kira-kira 100 orang termasuk orang Islam.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Persatuan Peguam Muslim Malaysia berkata pihaknya memandang berat terhadap kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin politik sebagai reaksi susulan terhadap tindakan Jais ke atas premis Gereja Methodist Damansara Utama.
“Melihat pada respons sebahagian besar daripada pemimpin politik yang keliru dengan peranan dan tugas Jais, PPMM berasa sangat kesal atas kejahilan berkaitann hakikat kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan Enakmen-Enakmen.
“Malah sepanjang sejarah negara, hatta sebelum kemerdekaan sekalipun, urusan berkaitan Islam tidak pernah diletakkan di luar naungan sultan dan diambil alih pemimpin poitik,” kata Setiausaha Agungnya Abdul Halim Bahari.
Halim menambah hakikat itu mestilah dihormati dalam pemimpin memberikan sebarang komentar demi memberikan keadilan terhadap semua pihak dalam menilai isu ini.
Justeru kata beliau, PPMM membuat penegasan bahawa tindakan Jais dilakukan di bawah ruang lingkup peruntukan Perlembagaan dan enakmen negeri.
“Pemeriksaan tersebut adalah jelas berdasarkan pada aduan yang harus diselidiki pihak Jais sebagai pihak yang diberikan kuasa dan bertindak mengikut lunas dan perntukan undang undang.
“Ternyata kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak berdasarkan fakta-fakta serta tidak bertanggungjawab serta mungkin bermotif jahat untuk merendahkan kedudukan institusi Islam di negara ini,” kata beliau lagi.
Halim juga memberitahu aduan yang diterima pula adalah berkaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.
Seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan tiap-tiap orang yang mengetahui pelakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta merta memberikan maklumat kepada Pegawai Penguat Kuasa Agama atau pegawai polis yang terdekat tentang pelauan atau niat itu.
Seksyen 57 Enakmen yang sama pula memperuntukkan “jika daripada maklumat yang diterima atau selainnya seseorang pegawai penguat kuasa agama mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap, maka dia hendaklah, melainkan jika kesalahan itu adalah daripada jenis yang telah diarahkan oleh Ketua Pendakwa Syarie tidak perlu dilaporkan kepadanya, dengan serta-merta menghantar laporan mengenai maklumat itu kepada Ketua Pendakwa Syarie dan hendaklah pergi sendiri atau hendaklah mempertanggungjawabkan seorang daripada pegawai bawahannya pergi ke tempat kesalahan itu dilakukan untuk menyiasat fakta-fakta dan hal keadaan kes itu dan untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi penemuan pesalah itu.”
“Oleh hal yang demikian apa yang dilakukan oleh Jais adalah dalam kuasa yang diberikan kepada mereka,” kata Halim.
Halim juga menambah, PPMM sekali lagi menegaskan bahawa dalam hal dan urusan melibatkan pentadbiran Islam, tiada sesiapapun yang sepatutnya campur tangan, khususnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengelirukan dan membawa pada penghinaan terhadap Islam dan institusi Islam.
Oleh itu katanya, PPMM menggesa semua pihak, terutamanya pemimpn politik agar lebih bertanggungjawab dalam memberikan komen terhadap isu semsasa ini.
“PPMM juga menggesa agar pihak Jais diberikan ruang seadilnya untuk menyelesaikan siasatan dengan lengkap dan sekiranya terdapat kes yang boleh dibawa ke ruang pengadilan, maka proses undang-undang hendaklah mengambil tempat sewajarya,” kata beliau lagi.
Isnin, 8 Ogos 2011
Isu gereja: Pembela, Peguam Muslim pertahan Jais
--malaysianinsider
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan