Rabu, 25 Mei 2011

Projek BBCC: Bumiputera tetap diberi peluang penuh, kata UDA

KUALA LUMPUR, 25 Mei – UDA Holdings Bhd memberi jaminan kontraktor Bumiputera berkelayakan dan berkredibiliti terutama sekali kontraktor Kelas B dan ke bawah akan diberi peluang sepenuhnya menyertai projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) di tapak bekas Penjara Pudu.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, UDA Holdings perlu berhati-hati dalam melaksanakan pembangunan BBCC dan atas sebab itu, mengenakan syarat yang ketat kepada semua 11 syarikat yang membentangkan kertas cadangan kepada pihaknya untuk tidak mencagar tanah seluas 7.76 hektar bagi mencari sumber pembiayaan.

Kata beliau, ia penting bagi mengelakkan perkara sama berulang kepada projek Bandar Wawasan di Kampung baru dan Plaza Rakyat apabila pemilik tanah tidak mempunyai hak terhadap tanah berkenaan apabila ia dicagarkan kepada bank dan institusi kewangan oleh rakan usaha sama.

“Projek pembangunan BBCC ini, berskala besar dan memerlukan pembiayaan kewangan besar dengan kos pembangunan sahaja dijangka mencecah antaraRM3 bilion dan RM4 bilion.

“Atas sebab itu, UDA Holdings mahu meminimumkan risiko kewangan terhadap syarikat dengan menjalin kerjasama dengan rakan kongsi strategik yang bertindak sebagai pelabur dan bukannya kontraktor,” katanya.

Jelas beliau, melalui pendekatan berkenaan, UDA Holdings akan menjadi pemaju utama projek BBCC ini, dan mempunyai kata putus dalam setiap bentuk pembangunan aset yang dimiliki termasuk kerja kontrak yang hendak ditawarkan.

Dalam pembangunan BBCC ini, tambah beliau, UDA Holdings mensyaratkan kepada rakan kongsi strategik berkenaan supaya membina terlebih dahulu aset UDA terdiri daripada terminal bas, ruang niaga serta tempat letak kenderaan sebelum syarikat pelabur itu membina aset mereka.

“Rakan kongsi strategik itu juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemasaran aset mereka dan UDA Holdings tidak akan memainkan atau memikul peranan itu, sebaliknya hanya menumpukan kepada aset dimiliki UDA Holdings yang dijangka kira-kira RM2 bilion serta pulangan tahunan kepada syarikat kira-kira RM300 juta sekali gus meletakkan semula kedudukan kewangan syarikat berada dalam keadaan kukuh,” katanya.

Model pembangunan BBCC, kata beliau, tidak memerlukan UDA Holdings menggunakan sumber kewangan sama ada daripada dalam syarikat atau wang kerajaan bagi melaksanakan projek BBCC.

Sebaliknya, kata beliau, UDA Holdings secara mutlak akan memegang aset strategik seperti ruang niaga, tempat letak kenderaan dan terminal bas sekali gus memberikan pulangan terbaik kepada syarikat.

Kata beliau, ia juga membolehkan UDA Holdings terus melaksanakan agenda Bumiputera dalam jangka masa panjang kerana sebagai sebuah agensi milik penuh Kementerian Kewangan, UDA Holdings yang seharusnya menjaga kepentingan Bumiputera terutama sekali dalam penyediaaan ruang niaga bukannya syarikat swasta lain.

Nur Jazlan juga berkata, projek pembangunan BBCC yang dijangka siap dalam tempoh antara empat ke lima tahun akan datang tidak akan menggunakan langsung wang rakyat atau kerajaan.

Pelaksanaan projek BBCC ini, perlu dijalankan dalam tempoh berkenaan bagi mengelakkan berlakunya lebihan penawaran dalam ruang pejabat dan kediaman khususnya, kondominium dan apartmen servis di Kuala Lumpur hingga boleh menyebabkan projek hartanah ini gagal atau terbengkalai, katanya.

UDA Holdings, jelas beliau, mahu pelaksanaan pembangunan tapak bekas Penjara Pudu siap sebelum pembinaan Menara Warisan 100 tingkat, Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (IFC) serta pembangunan semula Lapangan Terbang Sungai Besi.

Ia diharap akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur, katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, rakan kongsi strategik UDA Holdings yang terpilih dalam projek pembangunan BBCC perlu menggunakan keupayaan kewangan sendiri bagi menjana pembangunan terbabit sekali gus memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual serta tidak terbengkalai.

Mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedudukannya sebagai Pengerusi UDA Holdings atas alasan bertindak sebagai Pengerusi Eksekutif, Nur Jazlan berkata, beliau membuka pintu seluas-luasnya untuk agensi itu menyiasat sebarang dakwaan penyelewengan.

“SPRM juga boleh menyiasat UDA Holdings secara keseluruhan bagi memastikan syarikat ini bebas daripada sebarang penyelewengan atau rasuah.

“Tugas, fungsi dan tindakan saya sebagai Pengerusi UDA Holdings Bhd sentiasa dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah UDA Holdings dan Kementerian Kewangan dan mereka sedia maklum peranan serta tanggungjawab yang saya pikul,” katanya.

Justeru kata beliau, segala tuduhan dan dakwaan itu bukan bersifat peribadi sebaliknya, bertujuan untuk membantu UDA Holdings merealisasikan agenda Bumiputera.

“Sehubungan itu, saya menjemput Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Musa Sheikh Fadzir datang berjumpa saya bagi mendapatkan penjelasan mengenai UDA Holdings dan projek BBCC,” katanya.
Dipetik dari :
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/

Tiada ulasan: