Isnin, 24 Januari 2011

Tewaskan Mohd Azahar Menangkan Cikgu Mala


Oleh Safar Jumaat




TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan Mohd Azahar Ibrahim sebagai calon BN DUN Tenang dalam pilihanraya kecil (PRK) 30 Januari depan.
Tentunya, Umno Johor sudah berfikir panjang kenapa mereka memilih Mohd Azahar, yang merupakan seorang ADO dan bekas Bendahari Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Labis dengan mengenepikan Pemangku Ketua Bahagian, Rusdin Mahmud dan Naib Ketua Bahagian, Hashim Daud.
Dari cakap-cakap yang tersebar, pucuk pimpinan Umno Johor tidak berminat mencalonkan Rusdin kerana dia dilahirkan di Negeri Sembilan, manakala Hashim yang juga merupakan bapa saudara kepada Mohd Azahar sudah tua kerana berusia 63 tahun dan seorang pesara guru.
Dari apa yang dilakukan di Tenang ini, bermakna sesiapa yang sudah berusia 63 tahun ke atas, sudah tidak lagi dianggap layak untuk dicalonkan oleh Umno Johor dan mereka bolehlah membuat persiapan, untuk tidak menyibuk mahu melobi menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.
Begitu juga, sesiapa yang tidak dilahirkan di Johor, atau tidak dilahirkan di kawasan tertentu, tidak layak untuk dicalonkan walaupun dia seorang pemimpin di peringkat Umno bahagian.
Mungkin, keputusan ini keputusan yang baru digunapakai kerana sebelum ini, ramai yang tidak dilahirkan di Johor boleh menjadi calon BN Johor, termasuk ADUN Renggam, Datuk Abdul Hamid Abd Rahman, MP Johor Bahru, Datuk Sri Shahrir Abd Samad, MP Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar dan beberapa orang lagi termasuk Datuk Othman Jais dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebenarnya, Rusdin adalah calon yang paling layak bertanding di DUN Tenang dalam PRK 30 Januari ini. Tetapi, beberapa pihak cuba mensabotajnya kerana dia bukan anak kelahiran Labis.
Kata mereka, dari dapat kat Rusdin, lebih baik tiada sesiapa dari kalangan pemimpin Umno Labis yang dapat.
Kalau Pas mencalonkan calon lelaki, BN mahu mencalonkan calon Wanita. Tetapi, disebabkan Pas mencalonkan Cikgu Normala Sudirman, BN takut mahu mencalonkan Ketua Pergerakan Wanita Umno Labis yang dikatakan terlalu banyak kelemahan jika dibandingkan dengan Cikgu Normala.
Yang pasti, Mohd Azahar yang merupakan anak kepada bekas ADUN Tenang, Allahyarham Ibrahim Daud terpaksa berhadapan dengan musuh dalam selimut. Pengundi Cina sudah tentu akan menolak calon Umno ini kerana banyak masalah mereka yang tidak berjaya diselesaikan, manakala pengundi Melayu, tidak mahu membenarkan dinasti menguasai politik Labis.
Allahyarham Ibrahim pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Labis tetapi tidak terpilih menjadi calon di DUN Tenang kerana ketika itu, Datuk Bahari Harun yang merupakan seorang peguam dipilih menjadi calon.
Bahari bukan setakat menjadi ADUN Tenang tetapi hubungannya yang rapat dengan Muhyiddin (yang ketika itu merupakan Menteri Besar Johor) turut dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri.
Muhyiddin juga terpaksa ‘menurunkan’ Allahyarham Ibrahim dari menjadi ketua bahagian kepada timbalan ketua bahagian, bagi melayakkan Bahari menjadi ketua bahagian.
Semua ini sudah menjadi sejarah. bekas Naib Ketua Umno Bahagian Labis dan merupakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Labis, Datuk Abd Rahman Yunus juga tidak pernah terpilih menjadi calon BN di Tenang walaupun dia terlibat dengan politik kepartian seangkatan dengan Muhyiddin.
Hari ini, bukanlah mudah untuk memujuk bagi mendapatkan sokongan Rahman dan beberapa orang lagi yang sepatutnya berpeluang menjadi calon dalam PRK ini, termasuk Rusdin.
Berbeza dengan Hashim, walaupun dia tidak terpilih, tetapi disebabkan dia adalah adik kepada Allahyarham Ibrahim dan merupakan bapa saudara kepada Mohd Azahar, barangkali kesedihannya dapat disembunyikan dengan pemilihan ini.
Kalau orang labis tahu menjaga maruah Umno Labis, mereka perlu mengalahkan calon BN Mohd Azahar ini kerana mustahil dari hampir 90 ahli jawatankuasa Umno, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Labis, mustahil tidak ada seorang pun yang layak diketengahkan.
BN terpaksa meminta seorang Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Johor (JCS) berhenti kerja kerana mahu diletakkan sebagai calon mewakili BN di DUN Tenang. Apakah istimewanya Mohd Azahar ini di mata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak?
Apakah jika pengundi di DUN Tenang menolak calon BN ini pada 30 Januari depan, kerajaan Johor akan tumbang? Tentulah jawapannya tidak. Oleh itu, gunakanlah kuasa undi masing-masing untuk menyatakan sokongan kepada kepimpinan Umno Bahagian Labis dengan mengalahkan Mohd Azahar dan memenangkan Cikgu Normala dari Pas.
Kepimpinan Umno Johor seolah-olah tidak mahu mengikhtiraf Wanita di Labis dan kepimpinan Umno Johor seolah-olah tidak mahu mengakui sumbangan orang luar (yang tidak dilahirkan di Labis) juga banyak membantu Umno Labis dan Umno Johor selama ini.
Jadi, jika ada pengundi yang bukan dilahirkan di Labis, gunakanlah kebijaksanaan masing-masing untuk menolak calon BN yang dikatakan anak Labis tetapi tidak ada apa-apa baktinya kepada Umno dan orang Melayu selama ini di Labis, kecuali pernah dilantik menjadi Bendahari Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Labis.
Baru sekarang, Ghani Othman mengatakan orang luar tidak diperlukan di Labis (Tenang).
Begitu rendah pandangan Najib, Ghani dan Muhyiddin terhadap kepimpinan Umno Labis. Bukan sahaja mereka semua dikatakan sebagai tidak layak untuk dicalonkan, malahan, pelbagai penghinaan dilemparkan sebelum ini, kononnya mereka tidak cukup syarat.
Jadi, disebabkan Najib, Ghani dan Muhyiddin mahukan Mohd Azahar sebagai calon mewakili BN, biarlah najib, Ghani dan Muhyiddin sahaja bekerja mencari undi buat Mohd Azahar.
Mereka yang terlibat dengan Umno di Labis kena sedar diri bahawa keringat mereka selama ini, mengekalkan Tenang dan Labis sebagai kubu kuat BN rupa-rupanya tidak dihargai oleh Najib, Muhyiddin dan Ghani dengan mengatakan bahawa Tenang memerlukan anak tempatan untuk dicalonkan.
Jika dalam PRU 12, pengundi boleh mengurangkan 3,025 undi, mengapa tidak sekali lagi ini, sejumlah 3,025 undi dikurangkan kepada BN supaya calon Pas akan mendapat lebihan 533 undi, sekiranya rentak PRU 12 diambil kira.
Sejumlah 5,635 pengundi Cina akan dapat melakukan sesuatu bagi mengajar BN yJohor yang tidak pernah sedar bahawa Johor bukan lagi kubu BN yang boleh dibanggakan.
Seluruh kepimpinan Umno Labis, kenalah tahu bagamana cara jika mereka mahu meninggikan harga diri mereka. Mesej ini hendaklah disampaikan dengan cara mengalahkan Mohd Azahar.
Sepatutnya, pengalaman kalah di Bukit Gantang, kerana memilih calon BN yang tidak berjawatan dalam Umno Bahagian Bukit Gantang memberi pengajaran kepada pucuk pimpinan BN, tetapi nampaknya mereka tidak pernah mahu memperlajarinya.
Jika mereka tidak mahu Rusdin (Pemangku Ketua Bahagian), mereka boleh memilih Hashim (Naib Ketua Bahagian). Jika mereka tidak mahu kedua-duanya, mengapa mereka tidak mahu memberi peluang kepada Setiausaha Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Bendahari Bahagian atau salah seorang dari AJK Bahagian?
Mereka juga boleh memilih Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita atau Puteri. Jika ketiga-tiganya tidak layak, apakah naib-naib Pemuda, Wanita dan Puteri juga tidak layak?


(Dipetik dari Harakah Bil 1608, 24-27 Januari 2011)

Tiada ulasan: