Oleh Zainal Yusof
DI kalangan empat ADUN yang dilanda sindrom bisu dalam Persidangan DUN Terengganu, 13-16 Disember 2010 yang lalu, Datuk Rosol (BN-Ajil) adalah salah seorang ADUN senior selepas Datuk Seri Idris Jusoh.
Ketika Idris menjadi Menteri Besar, Rosol dilantik menjadi Exco dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu.
Dalam banyak hal, Rosol dilihat terkehadapan dari lain-lain Exco dan ADUN Terengganu, seolah-olah, Idris menyediakan Rosol sebagai bakal penggantinya jika berlaku apa-apa perkara yang menyebabkan Idris hilang kelayakan sebagai Menteri Besar.
Itulah sebabnya, apabila Rosol mendapat berita Idris tidak diterima sebagai MB Terengganu selepas PRU 12, Mac 2008 yang lalu, Rosollah yang dilihat begitu menonjol mahu menyerang sesiapa sahaja yang dilihat cuba menghalang Idris mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Sekali imbas, ramai yang beranggapan, Rosol ini adalah panglima kepada Idris. Kalau Idris menjadi raja, mungkin Rosol adalah memandanya…ini cerita rekaan tetapi ibaratnya begitulah.
Rosol kini tidak lagi berjawatan di dalam Umno Bahagian Hulu Terengganu kerana dia tewas.
Rosol masih dilihat berdendam dengan peristiwa dua tahun dahulu. Itulah sebabnya, dia sanggup melibatkan dirinya dengan 10 Budak Hitam – geng yang memboikot Persidangan DUN Terengganu, dengan isu menerima sms bernada ugutan kononnya datang dari Pejabat Menteri Besar Terengganu.
Kalau tidak salah, Rosol tampil membuat laporan polis ke atas sms ugutan tersebut.
Itu cerita lama. Rosol tidak dikenakan apa-apa tindakan. Cuma, Rosol masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Menteri Besar Terengganu sekarang ini bernama Datuk Seri Ahmad Said, Ketua Umno Bahagian Kemaman dan bukan lagi Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Umno Bahagian Besut yang dipuja-pujanya selama ini.
Jadi, kalau Rosol tidak dapat menerima hakikat ini, tidak mahu mengakui Ahmad Said adalah Menteri Besar Terengganu, adalah lebih baik dia bertindak sebagai anak jantan, mengosongkan sahaja kerusi DUN Ajil dan menyerahkannya kembali kepada pucuk pimpinan menentukan siapa yang layak menggantikannya.
Apakah Rosol tidak dapat menerima hakikat bahawa Ahmad Said sekarang ada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu? Hurmatilah, hirerki kepimpinan ini kerana Rosol pun bukan budak baru dalam politik dan bukannya tidak ada pelajaran.
Kalau ADUN Paka, Zakaria Abdullah sudah boleh bercakap dalam Persidangan DUN baru-baru ini walaupun turut tidak menghadirkan diri dalam pre-council di Kediaman Rasmi Menteri Besar, kenapa Rosol tidak mahu bercakap?
Apakah dalam DUN Ajil, kawasan yang Rosol wakili tidak ada masalah yang perlu dikemukakan di dalam Sidang DUN?
Amatlah malang bagi Umno Bahagian Hulu Terengganu dan rakyat di kawasan DUN Ajil yang diwakili Rosol kerana mempunyai seorang wakil rakyat seperti Rosol, yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang wakil rakyat.
Kalau boleh, Umno dan BN Hulu Terengganu tidak usahlah mencalonkan lagi nama Rosol untuk dihantar kepada pucuk pimpinan Umno dan BN, bagi dicadangkan menjadi calon BN di DUN Ajil dalam PRU 13 akan datang.
Rosol juga perlu sedar, tindak-tanduknya selama ini tentulah mengecewakan pucuk pimpinan. Cara dia bertindak, mendiamkan diri dalam DUN, merupakan satu bentuk memprotes kepada DYMM Tuanku Sultan Terengganu.
Apakah dia tidak tahu bahawa Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu atas perkenan Baginda Sultan? Tidak bersetuju dengan kepimpinan negeri, bererti tidak bersetuju dengan perkenan Baginda Sultan.
Tak kanlah nak berlawan dengan pihak Istana pula. Apakah Idris bersetuju dengan tindak-tanduk Rosol ini?
Rosol kena menghurmati Umno dan BN yang meletakkan dia di tempat yang cukup istimewa.
Janganlah kerana ada sifat dendam di dadanya, menyebabkan dia mahu menjahanamkan Umno dan BN di Terengganu.
Janganlah musnahkan Umno hanya kerana mahu menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Idris yang pernah melantiknya menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu.
Dalam politik, cara yang dilakukan Rosol adalah tidak betul. Kalau ada kawan-kawan Rosol yang sama-sama belajar di sekolah menengah atau di Universiti, nasihatkanlah Rosol supaya berubah.
Dia tidak boleh bersikap demikian selama-lamanya. Walaupun dia mungkin sedar, hayat politiknya sudah sampai ke penghujung, jangalah Umno mahu dimusnahkan.
Tindak-tanduknya itu adalah satu usaha untuk memusnahkan Umno secara tidak langsung.
Jika Idris melakukan ‘protes’ janganlah Rosol terikut-ikut stail Idris. Idris sudah sampai ke penghujung hayat politiknya walaupun dia sering didakwa akan menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana terlalu hebat mencipta tamadun ketika menjadi MB Terengganu dahulu.
Cerita-cerita yang tidak dapat disahkan bahawa Idris sudah diberi kepercayaan menjadi Pengarah IT Pilihan Raya Umum – satu tugas yang sepatutnya dipikul Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menjadikan sebab mengapa ramai penyokong Idris, khususnya Datuk Dr. Ahmad ramzi dan Datuk Din Adam membayangkan suatu hari nanti, Idris akan menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Kalau Rosol yakin Idris akan menjadi PM Malaysia, janganlah Rosol musnahkan Umno dengan tindak-tanduknya seperti sekarang, termasuk mendiamkan diri dalam DUN ketika persidangan berlangsung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan