Sabtu, 25 Disember 2010

Hishammuddin : Jangan Tunggul Disangka Hantu

Oleh Ujang Shamsul Bahari



SEJAK Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, macam-macam kejadian yang mencemarkan nama baik Umno berlaku.
Namun, tidak ada langsung tindakan diambil untuk menyelesaikan kemelut yang telah mencemarkan imej Umno Negeri Terengganu itu.
Contoh paling ketara, tidak bolehkah Hishammuddin yang mendakwa begitu rapat dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh menegur dan mengarahkan Idris supaya bercakap dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu?
Kalau Hishammuddin tidak mempunyai cukup kekuatan untuk berbuat demikian, kerana Idris dianggap terlalu hebat, kenapa Hishammuddin tidak mahu menegur dan mengarahkan budaknya yang bernama Din Adam supaya turut berucap di Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu yang berlangsung 13-16 Disember 2010 yang lalu?
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melantik Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu kerana mengharapkan Hishammuddin dapat membawa nafas baru kepada Umno Terengganu yang sudah dorosakkan oleh 10 ADUN Umno yang pernah mencipta rekod memboikot persidangan DUN tersebut.
Malangnya, Hishammuddin tidak ada kekuatan. Hishammuddin ternyata lemah. Hishammuddin kelihatan tidak bermaya malahan dikatakan ketakutan bila berdepan dengan Idris Jusoh.
Sepatutnya, Hishammuddin mampu memainkan peranan sebagai pendamai. Yang berbalah di Terengganu bukan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tetapi, beliau diboikot kerana perlantikan beliau sebagai Menteri Besar menyebabkan Idris terpaksa turun pangkat.
Dari seorang YAB, Idris kini hanya seorang YB. Kehilangan huruf A di tengah-tengah Y dan B itu menyebabkan macam-macam Idris lakukan untuk memperlihatkan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said sebagai bergolak dan tidak tenang.
Begitu juga dengan dua ADUN lagi. Dulu mereka adalah Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Ada pemandu, ada kereta dan ada macam-macam keistimewaan sebagai Exco.
Tetapi apabila Idris tidak menjadi MB Terengganu lagu, kedua-dua orang ini, Rosol Wahid dan Din Adam kehilangan pemandu yang gajinya dibayar oleh kerajaan dan kehilangan kereta rasmi Exco Kerajaan Negeri yang mereka gunakan selama ini.
Idris lebih teruk lagi. Dia bukan sahaja kehilangan jawatan MB, dia juga kehilangan kereta rasmi, kehilangan pemandu, kehilangan pengawal peribadi dan kehilangan macam-macam.
Itulah sebabnya, bijak pandai mengatakan, kita boleh hilang kawan, boleh hilang duit, boleh hilang harta tetapi jangan sampai hilang akal.
Kalau hilang akal, bermakna hilanglah segala-galanya. Hilang akal ini samalah dengan gila, walaupun mungkin tidak moroyan, mengejar sesuatu yang sudah terlepas.
Dalam hal ini, apabila ada empat ADUN memboikot Mesyuarat Agung Umno Bahagian yang dirasmikan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sepatutnya ada sesuatu tindakan yang perlu diambil – walaupun mungkin bukan dari segi undang-undang tetapi, Hishammuddin kena bertindak!
Bila ada ADUN BN (Umno) berucap dalam Persidangan DUN Terengganu, dengan tujuan menendang bola masuk ke gawang sendiri, sepatutnya Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, boleh memanggil ADUN-ADUN yang kurang cerdik ini untuk diberikan amaran.
Namun, Hishammuddin bukan sahaja tidak ada keberanian untuk menegur dan mengambil tindakan terhadap Idris Jusoh, malahan terhadap ADUN-ADUN yang menendang bola ke gawang sendiri ini pun tidak berani Hishammuddin menegurnya.
Maka, adalah lebih baik bagi Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, memikirkan semula perlu atau tidak mengekalkan Hishammuddin yang begitu lemah ini mengetuai Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ini.
Kehadiran beliau di Terengganu bukan menambah kekuatan kepada Umno di Terengganu, malahan menyebabkan beliau tidak dihurmati oleh ADUN-ADUN BN (Umno) ini hingga ada empat ADUN yang dilanda sindrom bisu ketika persidangan DUN sedang berlangsung.
Sepatutnya, Hishammuddin mendapatkan laporan dari Speaker DUN Terengganu yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu untuk dibuat satu laporan khas kepada Presiden Umno dan MT untuk tindakan selanjutnya.
Malangnya, Hishammuddin mungkin tidak mampu untuk melaporkan perkara ini dalam MT kerana Idris Jusoh ada dalam MT. Takut Hishammuddin kepada Idris terserlah, jika beliau lebih ‘sayangkan’ Idris dari sayangkan Umno Terengganu.
Hishammuddin kena ingat, jika Umno Terengganu kecundang dalam pilihan raya, ia juga akan memberi sumbangan kepada kekalahan BN di peringkat Pusat. Jika BN tumbang di peringkat Pusat, Hishammuddin pun tidak akan menjadi Menteri seperti sekarang.
Jadi, tunaikan hasrat Presiden Umno untuk menjadi seorang ketua yang baik, bagi membantu menyelesaikan kemelut di Terengganu. Jangan terlalu menjaga hati Idris Jusoh hingga sesuatu tindakan yang hendak diambil, terpaksa merujuk kepada Idris.
Kalau Idris tidak setuju, maka tidak ada tindakan yang akan diambil. Kalau Idris setuju, baru hendak mengambil tindakan.
Ini bukan tuduhan tetapi rakyat terbanyak menafsirkan sedemikian. Tidak ada nampak sebarang perubahan sejak Hishammuddin menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu ini.
Balik-balik, beliau akan bergambar selepas mengadakan mesyuarat dengan menjulang tangan, kononnya masalah sudah selesai dengan bergambar dan gambar itu keesokkannya disiarkan dalam akhbar arus perdana.
Sejak Hishammuddin menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, sudah banyak kali gambar Hishammuddin bergambar beramai-ramai dengan kepimpinan bahagian-bahagian di Terengganu seolah-olah tiada masalah yang berlaku.
Hakikatnya, bila ada empat ADUN memboikot majlis perasmian Umno bahagian oleh Timbalan Presiden Umno, ada ADUN enggan berucap di Persidangan DUN, ada ADUN berucap dengan hasrat mahu ‘memalukan kepimpinan negeri’ dan enggan hadir ke mesyuarat pre-council di Kediaman Rasmi Menteri Besar, ia membuktikan Hishammuddin sebenarnya takutkan tunggul yang disangka hantu.

Tiada ulasan: