Jumaat, 17 Disember 2010

Bajet Terengganu - RM1.887 Bilion Untuk 2011



Menteri Besar menunjukkan Buku Bajet 2011 sebelum membentangkannya pada persidangan DUN semalam.
Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM1.887 bilion untuk Bajet 2011 yang merupakan pertambahan sebanyak RM6.04 juta atau 0.32 peratus berbanding peruntukan sebanyak RM1.881 bilion pada tahun ini.

Daripada jumlah itu RM1.699 bilion diperoleh daripada kerajaan pusat termasuk royalti petroleum yang mewakili sebanyak 90 peratus daripada bajet itu, manakala bakinya RM188 juta atau 10 peratus pula adalah daripada sumber kerajaan negeri sendiri.

Menteri Besar Terenganu Datuk Seri Ahmad Said bagaimanapun berkata jumlah bajet untuk tahun depan itu sebenarnya berkurangan RM57.18 juta atau 2.94 peratus jika dibandingkan dengan peruntukan pada tahun ini yang disemak.

Ketika membentangkan Bajet 2011 yang meneruskan tema pada tahun lepas "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan", pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha sedaya mungkin untuk menjana pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

"Dalam masa yang sama kerajaan negeri akan pastikan perbelanjaan akan dilakukan secara lebih berhemah dan melaksanakan langkah berjimat cermat tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan," katanya.

Ahmad Said berkata kesan pemulihan ekonomi telah mempengaruhi senario ekonomi Terengganu dan kadar pengangguran dijangka menurun 3.5 peratus pada tahun ini berbanding 3.9 peratus pada tahun lepas.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri pula dijangka tumbuh positif kepada enam peratus pada tahun ini berbanding pertumbuhan negatif 1.5 peratus pada tahun lepas.

Malahan bagi tahun depan, pertumbuhan ekonomi negeri dijangka mencapai 6.5 peratus hingga tujuh peratus.

Ahmad Said bermesra dengan pelawat selepas membentangkan Bajet 2011 semalam.

Berhubung kedudukan kewangan negeri, beliau berkata kerajaan sedar Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit terkumpul yang besar iaitu RM699.01 juta pada tahun lepas berbanding defisit RM424.96 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, kekurangan dalam Akaun Hasil Disatukan itu telah menyebabkan baki Kumpulan Wang Disatukan Negeri susut dari RM404.65 juta pada 2008 kepada RM240.45 juta pada 31 Dis tahun lepas.

"Seperti yang dibentangkan dalam bajet tahun lalu, defisit ini adalah disebabkan kerajaan tidak menerima sepenuhnya pemberian Dana Khas daripada kerajaan persekutuan seperti mana dalam anggaran bajet 2007, 2008 dan 2009," kata Ahmad.

Bagaimanapun, katanya kerajaan komited untuk memastikan defisit ini berada di tahap yang munasabah dan dapat dikurangkan secara berperingkat dengan penerimaan Dana Khas daripada kerajaan persekutuan.

Bagi kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan pula, ia menjadi lebih baik kerana bakinya telah meningkat daripada RM28.62 juta pada tahun 2008 kepada RM59.16 juta pada tahun lepas dan kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM678.17 juta untuk pelbagai projek pembangunan.

"Kumpulan Wang Bekalan Air juga mengekalkan baki positif tetapi menurun sedikit daripada RM128.43 juta pada tahun 2008 kepada RM125.11 juta pada 2009," katanya.

Beliau berkata, penurunan ini disebabkan kerajaan pusat hanya mengeluarkan RM45.61 juta pinjaman bagi projek bekalan air berbanding RM75.75 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lepas, kerajaan telah membelanjakan RM470,000 bagi pengurusan dan RM53.86 untuk pelbagai projek bekalan air.

Menurut Ahmad Said,  daripada jumlah RM1.887 bilion yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM97.84 juta adalah untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.790 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

Menerusi Perbelanjaan Bekalan katanya, sebanyak RM1.377 juta untuk pemberian dan bayaran tetap, emolumen (RM213.34 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM166.57 juta), aset negeri (RM31.85 juta) dan RM1.16 juta untuk perbelanjaan lain.

Ahmad Said berkata, hala tuju Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013 ialah dengan memberi penekanan terhadap sektor yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi di samping membasmi kemiskinan.

Empat sektor yang diberi tumpuan ialah pendidikan dan pembangunan sumber manusia, pertanian dan asas tani, pelancongan serta industri, perdagangan, perkhidmatan dan teknologi maklumat.

"Bajet kali ini juga akan tertumpu terhadap empat strategi utama iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, memperkasa pembangunan modal insan, meningkat daya saing negeri dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

(Dipetik dari http://teganukini.blogspot.com)

Tiada ulasan: