Khamis, 23 Disember 2010

ADUN PAS Terengganu : Mahu ke mana?

Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

TULISAN Dr. Syed Azman Syed Ahmad di Ruangan GanuKite (Harakah Bil 1599 24-26 Disember 2010) bertajuk Melayu Terengganu terpinggir – Mahu ke mana mereka? Menarik perhatian saya.
Mauduk tulisannya itu, mahu memperendah-rendahkan kepimpinan Menteri Besar, datuk Seri Ahmad Said. Baguslah!
Ini memang tugas pembangkang dan kebetulan Syed Azman adalah salah seorang ADUN pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Kalau Syed Azman sudah bersetuju dengan Menteri Besar dan sudah menyokong apa yang Umno dan Menteri Besar dari Umno buat, ia sudah menjadi suatu keganjilan pula.

Cuma, hujah dalam tulisannya, terlalu dangkal. Dikatakannya, sudah RM6 bilion atas nama pembangunan untuk rakyat Terengganu dibelanjakan tetapi rakyat marhein di Kuala Terengganu menjadi umpama pelarian di bumi sendiri.
Rupa-rupanya, Syed Azman hanya mengikhtiraf orang di Kuala Terengganu sahaja sebagai rakyat Terengganu dan jika boleh, agaknya dia mahukan Menteri Besar Terengganu menghabiskan RM6 bilion itu, untuk orang Kuala Terengganu sahaja, khususnya di kawasan-kawasan kampong Tanjung, Ladang Sehat, Bukit Besar, Losong hingga ke Pasar Cabang Tiga.
Syed Azman terlupa, di Terengganu ada lapan kawasan Parlimen. Selain dari Kuala Terengganu yang Syed Azman pernah wakili, ada Kemaman, Kuala Nerus, Setiu, Dungun, Marang, Besut dan Hulu Terengganu.
Janganlah hanya kerana dia mewakili PAS, maka otak dan pemikirannya disempitkan dengan cara orang-orang Pas berfikir. Ini satu kesilapan dan Syed Azman jangan jadi seperti orang Pas yang lain, khususnya orang-orang Pas Kelantan.
Syed Azman jangan ingat Terengganu itu hanya Kuala Terengganu. Syed Azman juga jangan ingat Kuala Terengganu itu hanya Kampong Tanjung, Ladang Sehat, Bukit Besar, Losong hingga Pasar Cabang Tiga.
Sebagai Menteri Besar, datuk Seri Ahmad Said bertindak untuk kesenangan seluruh rakyat Terengganu. Seluruh pelosok Terengganu masih memerlukan pembelaan walaupun Syed Azman merasakan ada yang masih miskin dan digelar marhein.
Tidak adillah kalau Datuk Seri Menteri Besar hanya memberi tumpuan ke kawasan yang Syed Azman wakili sahaja di pinggir Bandar Kuala Terengganu.
Syed Azman boleh bertanya dengan bekas Menteri Besar yang baru-baru ini diserang sindrom bisu ketika persidangan DUN Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Apakah seluruh Besut yang dia ketuai Umno bahagiannya dan dia menjadi ADUN Jertih, bebas dari kemiskinan dan rakyat marhein?
Cuba juga Syed Azman bertanya dengan penyokong setia Idris Jusoh, YB Mohd Pehimi Yusof yang dijangkiti penyakit dan virus sindrom bisu baru-baru ini, ketika persidangan DUN Terengganu, apakah rakyat dalam kawasan yang dia wakili DUN Kota Putera juga sudah berubah sejak dia menjadi wakil rakyat di situ?
Tapi Syed Azman jangan marah kalau kedua-dua ADUN ini tidak menjawab pertanyaan Syed Azman kerana mereka masih diserang sindrom bisu yang memungkinkan mereka berdua tidak boleh bercakap atau menjawab pertanyaan.
Kalau Syed Azman rajin, cubalah juga bertanya dengan ADUN Bukit Besi yang pernah menjadi Exco ketika Idris Jusoh menjadi Menteri Besar dahulu, apakah rakyat di dalam DUN Bukit Besi sukakan dia macam peminat Erra Fazira meminati pelakon dan penyanyi tersebut?
ADUN Bukit Besi namanya Datuk Din Adam. Syed Azman mungkin kenal dia dan mungkin juga tidak. Dia ni rajin bercakap kalau ada orang besar dari Kuala Lumpur di sisinya. Kalau tidak ada orang besar, sekurang-kurangnya menteri atau timbalan perdana menteri, jarang dia hendak bercakap.
Ada dakwaan mengatakan, Din Adam hanya rajin bercakap kalau Idris Jusoh yang suruh dia bercakap.Kalau tidak, susah hendak dengar Din Adam bercakap.
Ada seorang lagi ADUN, yang mungkin Syed Azman kenal bernama Datuk Rosol Wahid. Dia juga pernah berjawatan Exco ketika Idris Jusoh menjadi MB Terengganu. Dalam politik Umno Terengganu, dia pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu. Dia adalah ADUN kawasan Ajil di Hulu Terengganu.
Bertanyalah dengan dia, ketika dia menjaga fotfolio kebajikan, apakah semua orang miskin dan orang susah dalam DUN Ajil mendapat segala apa yang diperlukan mereka?
Dalam politik Terengganu, Syed Azman pun sebenarnya ada sedikit masalah dengan Pas. Walaupun dia pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi apabila berlaku kekosongan Parlimen Kuala Terengganu, Syed Azman tidak dipilih menjadi calon.
Yang dipilih ialah Mohd Abdul Wahid Endut. Khabarnya Syed Azman berkecil hati tetapi, soal hati ini, manalah ada bukti. Siapalah yang tahu kecuali tuan punya badan dan Allah yang Maha Berkuasa.

Khabarnya Syed Azman cukup aktif bercakap ketika persidangan DUN Terengganu, 13-16 Disember 2010 yang lalu.
Baguslah. Inilah yang diperlukan oleh rakyat Terengganu. Mereka mahu masalah mereka diberikan perhatian dan pembelaan.
Malangnya, Umno mempunyai empat ADUN yang tidak bercakap ketika persidangan DUN Terengganu baru-baru ini.
Keempat-empat ADUN ini, seorang bekas Menteri Besar, dua orang bekas Exco dan seorang lagi, pengikut setia idris Jusoh yang TTT (teringin tapi takut). Teringin nak berucap tetapi takut dimarahi Idris.
Maka, Syed Azman, kalau boleh dan ada masa, buatlah kelas cara-cara berucap di persidangan DUN dan boleh pelawa empat ADUN Umno yang dilanda sindrom bisu menjadi peserta kelas belajar berucapnya itu.
Saya percaya Ibu Pejabat Umno sedia membayar yuran penyertaan keempat-empat ADUN ini. Jika tidak, mereka kenalah minta biasiswa MARA ketika Idris Jusoh masih menjadi Pengerusi MARA

1 ulasan:

hafsyam berkata...

melayu mudah lupa memag camgitulah jadinya..