Ahad, 26 Disember 2010

ADUN Kota Putera – Cukuplah!

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah





MALU sebenarnya mengaku diri kita sebagai orang Terengganu, kalau kita mengikuti perkembangan politik Umno, Melayu dan BN negeri Penyu Menangis ini.

Membaca kisah Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam yang telah membuat pelbagai perkara yang tidak sepatutnya, rasa muak dan loya dibuatnya.
Tetapi, yang menghairankan kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Pehimi Yusof juga terikut-ikut rentak mereka bertiga, timbul tanda-tanya, kenapa ya?
Nak kat Mohd Pehimi budak-budak, dia sudah berumur. Nak kata dia tidak bijak, dia seorang ADUN. Nak kata dia sakit, nampak macam dia sihat.
Jadi, apa masalah dia ni? Kalau saja-saja nak terikut-ikut rentak Idris, Rosol dan Din (kita panggil 3 Abdul), lebih baiklah tidak payah meneruskan khidmatnya sebagai ADUN di Kota Putera.
Cukuplah! Umno ada agenda yang lebih besar untuk membela rakyat. BN mempunyai banyak kerja yang hendak dilakukan. Mana ada masa nak melayan karenah Mohd Pehimi Yusof yang terikut-ikut gerak dan tari 3 Abdul ini.
Kalau Mohd Pehimi ada masalah, tidak sanggup lagi menjadi wakil rakyat di Kota Putera, buatlah temujanji dengan Perdana Menteri, lepaskan jawatan itu. Kosongkanlah kerusi tersebut atau, tunggu genap tiga tahun, berundurlah.
Genap tiga tahun ini penting kerana Umno dan BN tidak perlu bersusah payah bertanding kerana kekosongan ini tidak perlu diisi.
Janganlah terikut-ikut kerja sia-sia. Janganlah melakukan perbuatan yang boleh melemahkan Umno. Janganlah jadi pengkhianat kepada Umno dan BN yang meletakkan Mohd Pehimi sebagai ADUN dengan pelbagai ganjaran dan keistimewaan.
Sepatutnya, kalau Mohd Pehimi dapat berfikir sebagai seorang yang sudah dewasa, kalau mahu meniru, tirulah perkara-perkara yang baik.
Jika dia seorang yang matang, lakukanlah kerja-kerja yang baik dan menguntungkan Umno dan BN.
Janganlah kerana Idris berdendam dengan Istana Terengganu, Mohd Pehimi yang tidak ada masalah dengan Istana Terengganu pun mahu berdendam.
Janganlah kerana Idris marahkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Mohd Pehimi yang mendakwa dia sudah matang, mahu marahkan Menteri Besar juga.
Apa dosa Menteri Besar Terengganu kepada Mohd Pehimi yang menjadikan Mohd Pehimi hendak marahkan Menteri Besar?
Apa yang Menteri Besar telah lakukan untuk memusnahkan Umno, hingga Mohd Pehimi seperti dirasuk hantu hingga tidak mahu berdamai dengan Menteri Besar?
Dari segi sejarahnya, apakah Mohd Pehimi ini hebat sangat dalam Umno Terengganu? Apakah tidak ada tokoh lain yang layak menggantikan Mohd Pehimi di DUN Kota Raja hingga menyebabkan Mohd Pehimi merasakan dia tidak boleh disingkirkan dari kerusi yang diwakilinya?
Sekali lagi, cukuplah! Mohd Pehimi tidak perlu mengikut apa sahaja yang Idris buat hingga memperlihatkan dia sebagai patung wayang kulit dalam politik Melayu, politik Umno dan politik BN di Terengganu.
Bila Idris diam, Mohd Pehimi diam. Bila Idris memboikot persidangan DUN, Mohd Pehimi juga memboikot. Bila Idris kata hitam, Mohd Pehimi kata hitam sedangkan warna yang dikatakan hitam itu, mungkin biru.
Di luar Terengganu, orang mentertawakan Mohd Pehimi. Kata mereka, masih ada dalam Abad 21, seorang ADUN sanggup diperkudakan sebegini rupa, hingga tidak ada langsung suara sendiri.
Kerana apa Mohd Pehimi memboikot persidangan DUN Terengganu dulu? Tentulah jawapannya, kerana ada Sembilan lagi, termasuk Idris memboikot persidangan.
Kalau kita bertanya, kenapa Mohd Pehimi mendiamkan diri sepanjang persidangan DUN Terengganu bermula 13-16 Disember lalu, tentulah jawapannya serupa, kerana ada tiga lagi ADUN termasuk Idris mendiamkan diri.
Kalau nak ikut, ikutlah perkara yang baik. Perkara yang boleh memudaratkan Umno, merugikan BN dan menjejaskan nama baik Perdana Menteri dan kerajaan, usahlah dibuat.
Sebenarnya, tidak ada masalah jika Mohd Pehimi mahu berpatah balik kepada kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said. Ramai yang yakin, Menteri Besar akan menerima dan memaafkan Mohd Pehimi asalkan Mohd Pehimi tidak mengulangi perbuatan kebudak-budakan yang dilakukan oleh Mohd Pehimi selama ini.
Ingat, jika Mohd Pehimi masih menyimpan dendam terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar tidak ada apa-apa masalah tetapi Mohd Pehimi yang menderita sendirian.
Tanpa sokongan dan kehadiran Mohd Pehimi sekali pun, Datuk Seri Ahmad Said masih Menteri Besar Terengganu.
Maknanya, Mohd Pehimi ini hanyalah melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tidak ada tidak mengurang.
Jangan sesekali Mohd Pehimi menyangka, kehadirannya akan memberi banyak kesan kepada kepimpinan dan kedudukan Menteri Besar. Tak ada langsung.
Yang rugi, Mohd Pehimi sendiri. Yang berdosa, Mohd Pehimi sendiri. Yang menanggung kesannya, pengundi-pengundi dan rakyat dalam kawasan DUN Kota Putera yang Mohd Pehimi wakili.
Malanglah rakyat dan pengundi di kawasan itu kerana mempunyai seorang wakil rakyat yang tidak matang, tidak serius, tidak bertanggungjawab dan berperangai seperti budak-budak. 

Tiada ulasan: