Mungkin sesuatu yang sukar dibayangkan, apabila UMNO ditikam lidah sendiri setelah Setiausaha Agungnya menyatakan pendirian untuk menjauhi PERKASA. Malah, Presiden PERKASA Ibrahim Ali dijulang lebih tinggi, seolah-olah lebih berpengaruh ke atas Utusan Malaysia, jika dibandingkan dengan sesetengah pemimpin UMNO.
Keadaan ini mencungkil kesangsian ramai, yang mungkin tertanya-tanya apakah yang membuatkan Ibrahim Ali begitu popular, sehingga dilihat terserlah dalam ruang dada Utusan Malaysia? Bahkan kadang-kala Ibrahim Ali, pemimpin politik veteran yang pernah ditendang keluar UMNO, diberi liputan yang lebih besar dalam Utusan Malaysia, berbanding dengan pemimpin UMNO sendiri.
Keraguan ini dikongsi bersama Hata Wahari, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia baru, yang telah 15 tahun berkhidmat di Utusan Malaysia sebagai wartawan. Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview kelmarin (28 September), Presiden NUJ yang mencungkil kontroversi sejak terpilih pada 17 September 2010 ini mendedahkan bagaimana dirinya menerima layanan dingin, selepas kenyataan untuk mengkritik majikannya dikeluarkan.
Isu yang dibawa Ibrahim Ali remeh temeh
Biarpun terkenal dengan lonjakan dari parti ke parti, Ibrahim Ali akhirnya diberi nafas baru untuk melanjutkan hayat politiknya apabila menubuhkan PERKASA, badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang mempertahankan kepentingan Melayu. Namun demikian, perjuangannya dipertikaikan oleh seorang wartawan Utusan Malaysia bernama Hata Wahari.

"...saya pernah menolak menulis berita Ibrahim Ali, dia berucap di Parlimen dan saya tak tulis, editor suruh tulis tapi saya tak tulis. (Mengapa?)... sebab benda dan isu tu remeh temeh, tidak penting, tak membina dan membangunkan minda, news (berita) lain lagi bagus."
Mengapa Ibrahim Ali mempunyai pengaruh yang begitu besar terhadap Utusan Malaysia, tanya wartawan MerdekaReview.
"Kalau you tanya, kenapa Utusan utamakan Ibrahim Ali, soalan ini saya tertanya-tanya sejak dua tiga tahun ni!" tambah beliau.
Malah, Hata Wahari tidak faham mengapa dibangkitkan isu artikel 153, "Kalau dia (Ibrahim Ali) nak perjuangkan artikel 153, benda itu ada dalam Perlembagaan. Siapa nak pertikaikan? Saya tak berani pertikaikan Perlembagaan. Mungkin you akan tanya, tapi siapa pertikaikan Perlembagaan? Benda tu memang dalam perlembagaan!"
"Presiden sepenuh masa"
Hata Wahari membeliakkan khalayak ramai apabila mengeluarkan tiga kenyataan yang sudah semestinya tidak menyenangkan pihak majikannya (pengarang kanan) dan bosnya, UMNO.
Keberanian dan kelantangan Hata Wahari disambut dengan pujian dan tepukan. Namun, di sebalik "semangat berkobar-kobar" yang diperlihatkan dari Hata Wahari, ramai mungkin tidak mengetahui bahawa beliau telah "dibekukan" oleh pihak atasannya setelah kenyataan tersebut dikeluarkan.
"Saya memang tidak diberi apa-apa tugasan, saya sekarang ni seperti Presiden (NUJ) sepenuh masa, " Hata Wahari sempat menyindir dirinya. "Sudah masuk hari kelima saya tidak diberi apa-apa tugasan atau susulan, selepas kenyataan...(dikeluarkan). Sebelum kenyataan (dikeluarkan) memang tiap-tiap hari saya ada buat berita. Sebenarnya, pada hari saya buat kenyataan, saya ada dapat berita eksklusif..."
Namun, tiada lagi berita untuk Hata Wahari pada keesokannya. "Saya tidak diberi apa-apa berita, saya duduk senyap dalam office (pejabat), masuk pukul 10 pagi dan balik pukul 6 petang. Saya tak kisah, hak dia orang nak bagi tugasan, pada masa sama saya cari berita, sama ada mereka nak pakai atau tidak, terpulang kepada editor." (Bahagian pertama, bersambung)
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Wawancara ini dijalan oleh Chen Shaua Fui di sebuah kafe, Kuala Lumpur pada 28 September 2010. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
dipetik dari : http://www.merdekareview.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan