Ahad, 29 Ogos 2010

Terengganu terima royalti minyak RM1.6 bilion selepas Aidilfitri


KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan menerima wang royalti RM1.6 bilion selepas sambutan Aidilfitri.
Namun beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana ia bergantung kepada perjanjian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang hanya akan muktamad selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Kita akan menandatangani perjanjian dengan kerajaan pusat selepasa Aidilfitri nanti.
“Tapi apa yang saya boleh katakan kerajaan negeri akan menerima sebanyak RM1.6 bilion wang royalti minyak,” katanya kepada pemberita selepas program Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Terengganu bersama Anak-anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Seramai 3,000 anak Terengganu terdiri daripada pelajar-pelajar Institut Pengajian Tingga Awam hadir memeriahkan program itu.
Ahmad berkata jumlah wang royalti minyak yang bakal diterima kerajaan negeri Terengganu juga bergantung kepada harga pasaran minyak dunia.
“Sekarang ini harga minyak dunia AS$60 satu tong, jika harga itu naik maka wang royalti juga bertambah dan ia merupakan satu bonus kepada kerajaan negeri.
“Tapi kalau harga minyak jatuh, teruklah kita nanti,” katanya.
Ahmad berkata lebih 100,000 remaja berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan di bawah RM1,500 sebulan akan menerima wang sebanyak RM200 seorang sebelum Aidilfitri melalui program Dana Bakti Remaja Terengganu hasil wang royalti minyak Terengganu.
“Tahun ini kita beri kepada lebih 100,000 remaja di negeri ini dan juga anak Terengganu yang menuntut di luar.
“Setiap remaja yang terlibat yang berumur 21 tahun ke atas akan menerima sebanyak RM200 seorang dan wang tersebut akan diagih-agih tidak lama lagi kerana borang-borang sudahpun diedarkan kepada remaja-remaja berkenaan.
“Jadi kita harap remaja-remaja yang menerima wang ini supaya tidak menggunakan wang tersebut kepada benda-benda yang tidak mendatangkan manfaat,” katanya.

dipetik dari :  http://www.themalaysianinsider.com/

Tiada ulasan: