Khamis, 26 Ogos 2010

Indonesia diminta pastikan keselamatan rakyat Malaysia


PUTRAJAYA, 25 Ogos — Kerajaan Indonesia diminta memastikan  keselamatan rakyat Malaysia di republik itu serta mengambil tindakan terhadap kumpulan yang melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, bukan sahaja nama baik Malaysia malah reputasi Indonesia turut tercemar akibat perbuatan sebegitu keji oleh segolongan rakyat negara itu baru-baru ini.
“Saya juga telah meminta kerajaan Indonesia memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia dipelihara, demi menjaga hubungan baik kedua-dua negara yang amat kita hargai,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Tatang B Razak di Wisma Putra bagi mendapat penjelasan berkaitan perkara itu.
Beliau berkata tindakan berunsur provokasi seperti membakar dan memijak bendera Malaysia serta membaling najis, adalah satu penghinaan kepada Malaysia, malah perbuatan itu mencabar kedaulatan negara.
Beberapa pihak di Indonesia telah mengadakan demonstrasi sebagai tanda kemarahan terhadap Malaysia yang didakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan negara tersebut oleh Polis Marin Malaysia di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu.
Ditanya sama ada Malaysia akan bertindak balas sekiranya demonstrasi berterusan, Anifah berkata rakyat negara ini sudah banyak bersabar walaupun  kedaulatan negara diancam.
“Kita masih memelihara hubungan yang begitu baik, dan kita juga berpendapat bahawa ini dilakukan oleh segolongan kecil orang tertentu. Oleh itu Malaysia telahpun bersabar dan tidak akan ambil tindakan buruk sebegitu.”
“Tetapi sejauh mana rakyat Malaysia boleh bersabar, itu satu yang hendak kita tangani. Salah satunya, kita minta sekiranya berdemonstrasi, buatlah secara aman, berhemah dan jangan cuba menimbulkan kemarahan dan menghina rakyat kita,” katanya.
Ketika ditanya sama ada insiden itu akan menjejaskan rundingan dua hala Malaysia-Indonesia, Anifah berkata beliau dan rakan sejawatannya Dr Marty Natalegawa telah bersetuju supaya keadaan tersebut ditangani dengan rasional.
“Saya telah menjelaskan kepada Kabinet sebab berlakunya insiden 16 Ogos (demonstrasi), saya belum memanggil Duta Indonesia untuk menjelaskannya kerana saya berhubung terus dengan rakan sejawatan di Indonesia.”
“Menteri Luar Indonesia telah meminta agar saya bersetuju untuk tidak emosi dalam menangani perkara ini. Kita mesti melihatnya secara objektif berdasarkan hubungan baik kedua-dua negara sebelum ini,” katanya.
“Mereka mempunyai masalah politik dalaman tetapi kita tidak mahu Malaysia menjadi mangsa. Perkara ini telah saya sampaikan kepada rakan sejawatan tetapi beliau meminta kita memahami keadaan dan membantu mereka agar keadaan tidak menjadi bertambah buruk.”
“Ini bukan bermakna kita mengalah. Dalam perhubungan antarabangsa seperti ini, kita mesti bertolak ansur. Kita boleh berbuat demikian tetapi kita juga mesti melindungi integriti rakyat negara ini. Kita sudah sampai ke suatu tahap yang melampaui paras kesabaran,” katanya.
Anifah juga berkata Dr Marty akan datang ke Malaysia pada 6 Sept depan untuk bertemu dengannya bagi membincangkan isu demonstrasi tersebut.
“Mereka juga menunjukkan keseriusan kerana parlimen mereka sedang bersidang. Duta mereka ke Malaysia telah dipanggil pulang. Kerajaan Indonesia amat bimbang dengan reaksi kita. Itu sebab mereka meminta kita fahami keadaan. Saya telah memberitahu mereka bahawa kita tidak boleh bersabar lagi,” katanya.
Anifah berkata tindakan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang mengugut untuk mengusir rakyat Malaysia juga menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat negara ini yang berada di republik itu.
Dalam pertemuan itu, Anifah turut melahirkan rasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak di Indonesia yang dilihat sengaja mahu merosakkan hubungan dua hala antara pemimpin dan rakyat kedua-dua negara.
Beliau juga meminta supaya Kedutaan dan Konsulat Jeneral Malaysia di republic itu diberi jagaan sewajarnya selain pihak yang berdemonstrasi dihalang daripada membaling sebarang objek.
Katanya, walaupun pihak berkuasa Indonesia telah menangkap mereka yang melempar najis ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia, namun dibebaskan setelah siasatan dijalankan.
“Walau bagaimanapun, kita akan mendapat ulasan dari pihak Indonesia, dan yang penting, mereka yang menghina dengan memijak dan membakar bendera perlu diambil tindakan secepat mungkin bagi meredakan rakyat Malaysia yang begitu marah dengan gelagat segolongan kecil rakyat Indonesia itu,” katanya.
Beliau juga berkata nasihat perjalanan ke Indonesia akan dikeluarkan sekiranya perlu.
“Kami akan memantau keadaan (di sana). Buat masa ini, berdasarkan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini (di Indonesia), saya menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak ke Indonesia sekiranya tidak ada perkara penting yang perlu diselesaikan dengan segera,” katanya.
“Namun sehingga hari ini, kita belum mengeluarkan nasihat perjalanan secara rasmi,” katanya.
Mengulas kenyataan Tatang yang mendakwa kemarahan rakyat Indonesia berpunca daripada tindakan pihak berkuasa Malaysia menanggalkan pakaian seragam serta  menggari tiga anggota pihak berkuasa Indonesia, Anifah berkata ia bukan punca sebenar demonstrasi itu berlaku.
“Saya tidak fikir itu punca sebenarnya kerana demonstrasi itu telah bermula sebelum mereka mendapat maklumat.”
“Mereka anggap kita tidak terlalu cerdik untuk menilai. Bila seseorang atau sesetengah pihak mahu melakukan sesuatu perkara, mereka selalunya mempunyai alasan tersendiri sama ada rasional atau tidak,” katanya. — Bernama

1 ulasan:

C L J berkata...

Masaalah paling besar ialah sikap sesetengah pemimpin Indonesia itu sendiri yang agak mempunyai kebanggaan diri yang agak berlebihan. Maknanya sudah agak keangkuhan sehingga tidak sudi mengakui kesilapan pihak mereka.

Lupakah mereka bahawa Malaysia ini adalah saudara yang cukup perihatin sehingga apabila ada sahaja Malaysialah negara paling pantas muncul membantu?

Lupakah mereka bahawa Malaysia ini adalah negara luar paling selesa untuk rakyat Indonesia turut mencari rezeki?

Lupakah mereka berapa banyak syarikat syarikat dari Malaysia yang muncul untuk membantu menyertai aktiviti ekonomi dan pelaburan di Indonesia dalam keadaan Indonesia menghadapi kegawatan yang parah?

Lupakah mereka bahawa kita ini adalah saudara kembar yang seharusnya saling membantu dan merasai susah senang bersama?