Selasa, 1 Jun 2010

Tiada Wakil Umno Terbabit Dalam Rombakan Baru Kabinet

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Rombakan kecil Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari Selasa tidak membabitkan mana-mana wakil rakyat atau perwakilan yang dilantik daripada Umno, parti terbesar dalam gagasan Barisan Nasional (BN) yang memerintah.

Sebaliknya, perubahan itu membabitkan paling banyak wakil daripada MCA, kesemuanya sembilan orang yang terlibat.

Terdapat spekulasi yang hangat sejak beberapa minggu lepas mengenai rombakan beberapa orang menteri daripada Umno namun semuanya tidak menjadi kenyataan apabila rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri itu diumumkan kira-kira 4.30 petang.

Dua wakil daripada MCA digugurkan -- Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai Menteri Pengangkutan dan Datuk Wee Jeck Seng sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Tiga orang dilantik sebagai Timbalan Menteri iaitu Anggota Parlimen Labis Chua Tee Yong, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan Senator Gan Ping Shou alias Gan Ping Sieu.

Seorang dinaikkan pangkat daripada timbalan menteri kepada menteri penuh iaitu Datuk Wira Chor Chee Heung selain menyaksikan perubahan portfolio dua timbalan menteri iaitu Senator Heng Seai Kie dan Datuk Lee Chee Leong, serta seorang menteri iaitu Datuk Seri Kong Cho Ha.

Najib turut melantik seorang timbalan menteri masing-masing daripada MIC iaitu Datuk G. Palanivel dan Parti Progresif Penduduk iaitu Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan melakukan perubahan dalam portfolio dua timbalan menteri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (Datuk Hajah Rohani Karim) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (Jelaing Mersat).

Lim dan Gan dilantik masing-masing sebagai Timbalan Menteri kewangan dan Belia dan Sukan manakala Tee Yong, yang juga anak lelaki presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Datuk Mohd Johari Baharum ialah seorang lagi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Heng akan meninggalkan jawatan beliau sekarang sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang dikosongkan oleh Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, berikutan pemilihan jawatan MCA baru-baru ini.

Lee, yang ketika ini Timbalan Menteri Luar, akan menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baru. Seorang lagi Timbalan Menteri Dalam Negeri ialah Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Chor, yang ketika ini Timbalan Menteri Kewangan, akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menggantikan Kong yang mengambil alih daripada Ong, yang digugurkan selepas beliau gagal mengekalkan jawatan Presiden dalam pemilihan MCA awal tahun ini.

Rohani akan menjadi timbalan menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Seorang lagi Timbalan Menteri dalam kementerian ini ialah Datuk Tan Lian Hoe.

Jelaing akan meninggalkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk menjawat jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan bersama-sama seorang lagi timbalan menteri, Datuk Rahim Bakri.

Datuk Richard Riot anak Jaem daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri bersama-sama Datuk A. Kohilan Pillay sebagai seorang lagi timbalan menteri dalam kementerian berkenaan.

Palanivel, Timbalan Presiden MIC, dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama Datuk Hamzah Zainuddin di kementerian berkenaan.

Maglin, daripada PPP, ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bersama-sama Datuk Joseph Salang di kementerian itu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: