Ahad, 13 Jun 2010

SIAPA KATA PERKARA 153 PERLU DIPERTAHAN MATI-MATIAN?


Oleh RAHIM ZAIN

rahimzain01@hotmail.com


Hari ini banyak perkara semasa yang menarik perhatian satu lepas satu sehingga masalah dan kelemahan yang perlu ditangani atau diperbetulkan terpinggir untuk muncul memberi masalah di hari muka. Dalam masa enam tujuh minggu kebelakangan ini orang Melayu yang berkumpul di sana sini membincang tentang nasib di bawah Model Baru Ekonomi tidak melepas peluang mengungkit Perkara 153 Perlembagaan Malaysia bagi meneguhkan tuntutan supaya diberi layanan.


Mereka lupa bahawa dalam masa 53 tahun, negara kita mencapai kemerdekaan dan di bawah batang hidung Perkara 153 begitu banyak kepentingan Melayu telah hanyut satu demi satu. Jika demikianlah pengalaman yang menimpa, kenapakah hari ini masih ada pemimpin Melayu yang beria-ia mengibar Perkara 153 sebagai payung dan penyelamat orang Melayu?


Tidakkah perbuatan sedemikian akan terus mengekalkan salah faham terhadap Perkara 153 dan mengekalkan juga harapan besar yang palsu di kalangan orang Melayu yang membabi buta mengikuti kepimpinan yang sudah lama berpegang secara salah faham tentang Perkara 153!

Pemimpin Melayu yang menggunakan sentimen perkauman untuk menarik pengikut dan yang mahu mengekalkan kebergantungan orang Melayu kepada kepimpinan mereka sudah sekian lama menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan/Malaysia tanpa fahaman yang betul sebagai 'penambat' untuk membelenggu hati dan otak orang Melayu.

Kononnya 153 menjamin kedudukan orang Melayu. Media perdana Melayu pun sama bersekongkol menghidupkan Perkara 153 sebagai 'penyimpan' beberapa peruntukan yang bernilai bagi kepentingan Melayu. Apa dia yang dapat menjadi penyelamat bagi orang Melayu? Tiada seorang pun dari kalangan pemimpin sedemikian boleh nyatakannya dengan jelas.


Sehingga kini boleh dikatakan bahawa Perkara 153 memberi faedah kepada mereka yang mahu kepada kegelapan sebagai tabir menyedapkan hati pengikut. Bagi pemimpin-pemimpin itu Perkara 153 hihup dan berguna dalam kegelapan dan kesamaran. Dalam sinar kebenaran orang Melayu yang mahu bergantung kepada hak dan keistimewaan yang dikatakan dijamin oleh Perkara 153 akan kecewa besar.

Perbuatan menanam harapan palsu daripada Perkara 153 seperti yang diperbesarkan dan disebar oleh pemimpin-pemimpin Melayu dulu dan hari ini perlu didedahkan.


Ketahuilah bahawa tidak ada apa yang perlu orang Melayu 'mati' untuk mempertahankan Perkara 153 jika selama ini kedudukan kepentingan orang Melayu tidak dapat dipertahankan. Pemimpin Melayu yang gila-gila dengan Perkara 153 seharusnya mengajak orang Melayu baca dan teliti Perkara 153 bagi mengenalpasti perkara-perkara di dalamnya yang boleh menjamin kepentingan orang Melayu.


Nampanya Perkara 153 hanya bernilai hebat kepada mereka yang tidak pernah ambil tahu tentang kandungannya. Dan mereka inilah yang bertepuk sorak apabila Perkara 153 disebut di dalam mana-mana majlis membincang masa depan orang Melayu.


Persoalannya apakah Perkara 153 relevan sebagai pagar atau naungan yang dapat menolong orang Melayu? Apakah isinya yang berguna kepada orang Melayu hari ini dan di hari depan? Jika selama ini Perkara 153 tidak menyelamatkan kepentingan orang Melayu apabila satu lepas satu unsur-unsur kepentingan Melayu dihanyutkan seperti hanyutnya bahasa Melayu, agama orang Melayu, huruf jawi, sekolah Melayu, budaya Melayu, media Melayu, nama Tanah Melayu, dan kekebalan Raja Melayu, apakah lagi yang boleh diharap dari Perkara 153?.


Pemimpim Melayu yang menerima Perlembagaan tanah air semasa mencapai kemerdekaan dahulu telah memulakan 'pengkhianatan' menyedapkan hati orang Melayu dengan Perkara 153 sebagai penyelamat bangsa Melayu. Generasi pemimpin di belakang mereka menebalkan kepercayaan itu sehingga Perkara 153 dianggap sebagai peruntukan keramat.


Dalam konteks keseluruhan Perlembagaan negara Perkara 153 adalah perkara yang tidak sepenting mana berbanding dengan perkara-perkara lain secara relatif, walaupun semuanya penting. Dalam cakap-cakap biasa mana ada perkara penting yang dilonggok dalam bahagian atau bakul pelbagai perkara perlu dilihat bahawa ianya diletak dalam Bahagian 'Am dan Pelbagai hampir di hujung dokumen Perlembagaan bagi menyatakan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan tentang perizaban kuota berkaitan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Apa dia yang istimewa tidak pula dinyatakan. Itulah dia Perkara 153 di mata penggubal Perlembagaan kita.


Dalam konteks pengalaman orang Melayu selama 53 tahun merdeka mungkin kandungan Perkara 153 dan amalan pentadbiran negara yang diasaskan kepada Perkara 153 membuat orang Melayu sendiri tidak lagi mahu ambil peduli dan tidak mahu lagi mengungkit-ungkitnya kerana perkara sebenarnya yang diperuntukkan boleh menjatuhkan maruah orang Melayu yang mahu bermaruah tinggi.


Hanya mereka yang tidak faham tentang 153 kerana didodoi oleh janji perlindungan yang ada padanya yang bercakap besar untuk mempertahankannya. Anehnya mereka yang hari ini mahu kepada Perkara 153 sepatutnya telah mati-matian mempertahankan dan perteguhkan kedudukan Raja semasa dilondehkan secara hebat di Parlimen yang mulia.

Isi Perkara 153 adalah tetang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu/ memastikan perizaban bagi orang Melayu/ daripada jawatan dalam perkhidmatan awam/ daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya /kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan/ permit atau lesen/ pertukangan atau perniagaan, dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu. Tetapi apa perkara yang istimewa bagi orang Melayu selain dari perizaban kuota perkhidmatan, permit dan sebagainya tidak dapat dicari dalam perkara 153.


Harapan besar orang Melayu dari Perkara 153 sehingga diajak supaya tidak dikopromi, biar putih tulang jangan putih mata, tidak pun dinyatakan dalam Perkara 153. Jadi apakah yang hebatnya tentang Perkara 153?


Jika selama ini Perkara 153 tidak berdaya melindungi kedudukan istimewa orang Melayu; jika selama ini Perkara 153 tidak berdaya memastikan perizaban bagi orang Melayu mengekalkan maruah orang Melayu; jika selama ini Perkara 153 tidak berdaya meletakkan pegawai yang besemangat menolong Melayu dalam perkhidmatan awam yang bekerja keras dan tidak korup dalam melaksanakan tugas meninggikan kedudukan orang Melayu sambil mentadbir dan mengurus pembangunan negara berbilang kaum; jika selama ini Perkara 153 tidak berdaya medapat kesan yang sangat baik daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya bagi memajukan orang Melayu sehingga hari ini orang Melayu tidak dapat rasa tenteram dan mulia di tanah air sendiri: jika selama ini Perkara 153 tidak berdaya melahirkan faedah dari kemudahan khas yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan/ permit atau lesen/ pertukangan atau perniagaan bagi peningkatan kedudukan dan maruah orang Melayu amnya; dan jika selama ini Perkara 153 tidak berdaya membuat Raja Melayu melindungi kedudukan istimewa orang Melayu tanpa perlu orang Melayu ke hulu ke hilir berkongres, berseminar, berkonvensyen dan berarak dengan susah payah menyerah memorandum kepada raja untuk menjaga kepentingan orang Melayu tidak wajarkah ditanya apakah gunanya Perkara 153 kepada orang Melayu.


Bukan sedikit maruah orang Melayu telah dicemari oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan di dalam perhidmatan awam, polis, kehakiman, pencegah rasuah, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan kementerian-kementerian yang tidak memcermin sifat dan kebijaksanaan yang harum.


Gesaan oleh pemimpin 'sesat' dan aktivis Melayu supaya orang Melayu jangan mudah tunduk kepada desakan kaum lain terutama dalam perkara 153 adalah 'lucu'. Sejarah moden tanah air menunjukkan bahawa tiap-tiap satu perkara yang orang Melayu 'sesat' mahu tegakkan hari ini telah sebenarnya dihanyutkan oleh pemimpin Melayu sendiri yang menerajui negara tanpa desakan dari kaum lain.


Bahasa Melayu hanyut; Sastera, Budaya dan kesenian Melayu hanyut; Adat dan istiadat Melayu hanyut; Agama orang Melayu hanyut; Tiang seri bangsa Melayu hanyut; Institusi pengajian dan pendidikan Melayu hanyut; Huruf jawi hanyut. Peruntukan yang ada dalam Perlembagaan untuk dipergunakan bagi memagari kaum Melayu tidak kedengaran dipergunakan bagi kepentingan Melayu.


Perkara 38. (5) dalam Perlembagaan memperuntukan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153. Dan Perkara 10 (4) memberi petunjuk yang amat berguna kepada orang Melayu untuk mengenakan sekatan-sekatan kerana Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan 153.


Nampaknya kecuali dalam perkara Bahasa Kebangsaan pemimpin Melayu dan orang Melayu yang sesat tidak peduli untuk bertindak memagari apa yang orang Melayu mahu mengelak dari kepentingan Melayu dibawa dan diruntuhkan satu persatu di mahkamah. Hanya orang Melayu yang tidak dicucuk hidung telah nampak semua kelemahan itu dan telah berhijrah mencari ketenangan sewajarnya.


Kenapakah aktivis Melayu tidak mahu melihat kepada cara lain yang lebih berkesan untuk meneguhkan kedudukan orang Melayu tanpa melihat kepada kemaraan dan kemahuan kaum lain sebagai penghalang kepada kemajuan orang Melayu?


Melayu akan musnah jika dipimpin tanpa ilmu pengetahuan yang baik. Pemimpin-pemimpin Melayu dalam pelbagai organisasi perlu berkisar dari sedap rasa dengan adanya Perkara 153 dan mengambil langkah untuk benar-benar secara praktik mempertingkatkan daya upaya orang Melayu dalam setiap bidang.


--lesungbaru.webs.com

Tiada ulasan: