Jumaat, 18 Jun 2010

BN Sarawak diminta terima wakil rakyat Bebas

Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu mempertimbangkan penerimaan kemasukan wakil rakyat Bebas kawasan Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa ke dalam parti komponen BN sebelum pilihan raya negeri bagi mengelakkan berlaku keadaan satu kes contoh, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) President Datuk Seri James Masing hari ini.

Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah negeri, berkata parti komponen BN yang berpusat di luar bandar tiada masalah dengan Dr Rayong diterima masuk menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetapi masanya hendaklah betul.

"Dr Rayong merupakan seorang ahli politik yang baik dan anggota Dewan Undangan Negeri mesra BN yang melakukan kerjanya dengan baik. Saya tiada masalah dengannya tetapi ada beberapa perkara teknikal yang kami (BN negeri) perlu bincang terlebih dahulu," katanya semasa mengadakan majlis "Ngiling Tikai" atau menutup sambutan Gawai Dayak 2010 di kediamannya di Kuching hari ini.

Semalam, Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan berkata parti pimpinannya berminat untuk menerima Dr Rayong kerana mahu meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya negeri akan datang tetapi keputusan bergantung kepada sama ada parti komponen BN yang lain bersetuju mengenainya.

Selepas sahaja pilihan raya negeri 2006 berakhir, Dr Rayong mengumumkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas yang menyokong BN selepas bertanding kerusi Engkilili di bawah Parti Nasional Sarawak (SNAP) dan menewaskan calon BN Jonathan Krai Pilo.

Masing berkata BN perlu menangani kes ini dengan berhati-hati bagi mengelakkan daripada "serbuan" pada pilihan raya negeri akan datang oleh mana-mana orang yang bertanding menentang BN berfikir bahawa mereka akan diterima masuk BN jika menang.

Beliau berkata SUPP, bagaimanapun, membuat keputusan bijak jika mereka menerima Dr Rayong sebagai anggota kerana kerusi Engkilili secara tradisinya adalah milik SUPP.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Dr Rayong telah mengelilingi kawasannya mengedarkan geran-geran projek kecil luar bandar kepada rakyat.

Mengenai pilihan raya negeri, yang mesti diadakan sebelum Mei tahun depan, Masing berkata tiada masalah dihadapi kerajaan BN kerana ia masih menerima sokongan kuat kaum bumiputera di kawasan luar bandar, yang kekal menjadi kubu kuat BN.

Penghijrahan dari luar bandar ke bandar tidak menjejaskan sokongan itu kerana pengundi luar bandar masih lagi mengundi di luar bandar manakala pengundi bandar mesti membuat keputusan sama ada kekal menyokong kerajaan sedia ada atau pun pembangkang, kata Masing.

- Bernama

Tiada ulasan: