Isnin, 5 April 2010

PERKASA umum tindakan terhadap MCA, Gerakan esok

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) akan mengumumkan tindakan lanjut terhadap dua pemimpin MCA dan Gerakan serta dua lagi akhbar berbahasa Cina kerana gagal memohon maaf secara terbuka kepada NGO itu.

"Kita akan buat sidang media esok bagi mengumumkan perkara ini. Kita akan panggil semua pihak media, termasuk televisyen dan penulis blog," kata ketua Wiranya Arman Azha Abu Hanifah (bawah).


Jumaat lalu, PERKASA memberikan tempoh 48 jam kepada Timbalan setiausaha Pemuda MCA Low Chew Jun, Ketua Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nam, akhbar Sin Chew Daily dan China Press kerana didakwa melabelkan mereka sebagai "perkauman".

Sehari lepas itu, Teng dan Low dilaporkan enggan tunduk kepada desakan NGO Melayu tersebut dan tetap mempertahankan kenyataan mereka bahawa perjuangan PERKASA bertentangan dengan gagasan 1Malaysia.

Manakala kedua-dua akhbar Sin Chew dan China Press - dua akhbar berbahasa Cina berpengaruh - pula setakat ini tidak memberikan sebarang respons berhubung tuntutan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Arman bagaimanapun enggan menyatakan lagi bentuk tindakan yang akan diambil mereka.

"Sabarlah, tidak berapa jam lagi (kita akan umumkan)," katanya Arman Azha yang kini tidak berada di ibu negara.

Menurut beliau, tindakan lanjut NGO itu akan diumumkan di ibu pejabatnya di ibu negara pada jam 3 petang esok.

(dipetik dari malaysiakini.com )

Tiada ulasan: